BANYAK diperkatakan tentang peranan dan sumbangan
generasi muda dalam pembangunan negara. Peri pentingnya
golongan ini sehingga ia menjadi faktor penting dalam
menentukan sesebuah kerajaan yang akan dipilih dalam
setiap pilihan raya dan seterusnya masa depan negara.
Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 55 pada
31 0gos ini. Setakat manakah rasa kesedaran dan kecintaan kita
terhadap negara yang telah dipimpin oleh pemimpin terdahulu
sehingga kita dapat menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera.
Setiap kali tiba bulan Ogos, maka setiap kalilah pihak kerajaan
terpaksa berkempen agar Jalur Gemilang dikibarkan disetiap bangunan,
kedai, kenderaan dan sebagainya bagi menyambut dan memeriahkan
hari bersejarah itu.
Seolah kita tidak mempeduli dan perihatin pada hari bersejarah negara.
Di manakah rasa cinta dan sayang pada negara ? Di manakah silapnya ?
Barangkali kita terlalu hidup mewah dan senang membuatkan kita
tidak dapat menilai dan menghargai segala kenikmatan yang kita perolehi.
Sedangkan apa yang dicapai negara hingga kini adalah hasil pengorbanan
dan perancangan para pemimpin negara bagi memastikan negara terus
menikmati keamanan dan kemakmuran.
Rakyat perlu melihat apa yang berlaku di negara-negara Timur Tengah
yang sedang bergolak sekarang. Syria, Iraq, Afghanistan, Libya dan lain-lain
terus bermandikan darah. Mangsa korban terus meningkat saban hari hasil
pembunuhan sesama bangsa dan agama. Perpecahan terus berlaku antara
mazhab dan kumpulan tertentu.
Suasana begitu menyayatkan hati; kanak-kanak, wanita dan orang-orang
tua menjadi mangsa. Rumah kediaman hancur musnah dan terpaksa menjadi
pelarian di negara asing. Segala kenikmatan hidup mereka selama ini
musnah sekelip mata.
Apakah kita menjangka perkara seumpama ini tidak akan berlaku di negara
kita ? Sekiranya kita mengambil sikap mudah dan tidak bersyukur dengan
segala nikmat yang kita perolehi kini tentunya tidak mustahil ia juga akan
berlaku di sini.
Rakyat negara ini, terutamanya generasi muda perlu berfikir dalam
konteks dan gambaran yang lebih luas dan tidak terlalu emosi dan berfikiran
sempit dalam menilai sesuatu.
Apa yang dicapai selama 55 tahun bukanlah sesuatu yang mudah dengan
berbagai halangan dan rintangan. Janganlah kita hancurkannya dengan
sekelip mata kerana ia mungkin tidak akan kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan