Sabtu, 24 Jun 2017

Rakyat Lebih Berkuasa

KABINET Najib Razak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI)  bagi menyiasat skandal matawang asing Bank Negara pada tahun 1990an semasa era Dr Mahathir Mohamad yang melibatkan kerugian berbillion ringgit.

Kes ini sudah berlalu lebih 25 tahun. Dan kerajaan pimpinan Najib kelihatan begitu bernafsu mahu membongkar skandal ini ke akar umbi. Sedangkan sebelum ini tiada usaha dan minat untuk menyiasat kes tersebut.

Ini tentunya lebih bertujuan politik bagi mendiskreditkan imej Dr Mahathir yang kini berulang kali melabel Najib sebagai penyamun,  pencuri,  perompak dan penyangak dalam isu 1MDB yang kehilangan berbillion dollar dan telah mencemar imej negara seluruh dunia.

Apa kurangnya skandal forex di Bank Negara itu berbanding dengan 1MDB yang terang-terang mempunyai unsur penipuan dan salah guna kuasa mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan syarikat pelaburan kerajaan itu.


Bezanya skandal forex itu 25 tahun dulu dan 1MDB baru beberapa tahun lepas sejak Najib berkuasa.

Kenapa tidak tubuhkan sama RCI bagi menyiasat isu 1MDB? Kerana ia lebih relevan dan seluruh rakyat lebih ingin mengetahui dan melihat para pengkhianat duit rakyat dibicarakan dan dihukum.

Kenapa sehingga sekarang akaun 1MDB tidak diaudit?  Kerajaan mengakui pengurusan 1MDB lemah dan diurus mereka yang bertaraf mangkuk hayun. Kerajaan cuba mahu perbaiki kelemahannya.

Namun kerajaan kelihatan cuba mahu melindungi mereka yang terlibat dari diheret ke mahkamah.

Laporan Ketua Audit Negara berkaitan penyelewengan 1MDB sehingga sekarang tidak didedahkan pada umum dan diletakkan dibawah Akta  OSA.  Pada hal Najib sendiri berjanji pada awalnya untuk membentangkannya di parlimen.  Ironinya, seluruh ahli parlimen tidak berpeluang untuk meneliti dan membacanya.  Apa lagi untuk membahasnya.

Cerita bodoh apakah ini ?

Kerajaan boleh tubuhkan RCI bersabit skandal forex Bank Negara. Tapi dalam masa yang ia juga perlu lakukan perkara sama dalam skandal 1MDB.

Tidak perlulah pilih bulu.  Tidak perlulah ada dua set undang-undang: satu untuk kerajaan dan satu untuk pembangkang.

Seperti yang berlaku pada SPRM sekarang ini yang begitu rajin menangkap perasuah dikalangan pegawai kerajaan dan orang awam sedangkan orang-orang politik kelas ikan Yu lepas bebas. Nampak sangat SPRM berani tangkap ikan bilis sahaja.

Keadaan ini tidak akan berubah sekiranya rakyat tidak tahu menggunakan kuasa yang ada pada mereka bagi melakukan perubahan dan reformasi seluruh institusi kerajaan dalam Pru 14 ini.

Ianya terpulang pada rakyat.  Dan ini bersabit pada setakat mana kefahaman dan kesedaran mereka apa yang sedang berlaku dalam negara ini.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan