Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri - Kedah, Kelantan, Trengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negri Sembilan akan diadakan selepas bulan Jun ini.
Ramai melihat PRN ini penting kerana ia akan memberi gambaran sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin pula begitu yakin PN akan mendapat sokongan kuat para pengundi dengan mengekalkan kerusi yang ada malah dapat menawan kerusi-kerusi milik Pakatan Harapan.
Dan buat pertama kali dalam sejarah parti Umno dan DAP akan bekerjasama menghadapi PN.
Apa pun kesan dan keputusan PRN ini, saya melihat ia tidak akan menggugat dan menjejaskan kedudukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Malah sekiranya PN menang besar pun ia tidak akan berjaya mengambil alih kuasa di Putrajaya.
Ini kerana kerajaan Anwar Ibrahim mempunyai 148 kerusi di Parlimen. Dan ini adalah melebihi majoriti dua pertiga. Apa lagi dengan adanya Akta Anti Lompat Parti tidak mungkin berlakunya pertukaran kerajaan sehinggalah genap lima tahun - satu penggal tempoh kerajaan tamat.
So, apa signifikannya PRN di enam buah negeri tersebut? Apa prioriti dan kepentingannya?
Zahid Hamidi |
Saya lebih fokus pada parti Umno pimpinan Zahid Hamidi. Kerana ia ada masalah dalaman dalam parti. Soal isu kepimpinan Zahid dalam Umno, isu demokrasi serta isu pemecatan beberapa pemimpin tertinggi parti yang tidak sehaluan. Dan banyak lagi isu bersabit personaliti dan liabiliti Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno.
Setakat ini Zahid berjaya menguasai parti dengan mencantas semua pemimpin yang kritikal terhadap pimpinannya. Khairy, Hisham, Anuar Musa, Noh Omar dan lain-lain lagi adalah antara yang menjadi mangsa politik cantas.
Yang lebih terkesan sekali adalah langkah parti tidak membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan. Ertinya proses demokrasi dalam parti telah mati.
Lebih ironinya keputusan parti itu salah dari segi undang-undang dan perlembagaan parti. Pendaftar pertubuhan atau RoS telah mengesahkan tindakan tersebut bertentangan dengan Akta Pertubuhan. Justeru itu Umno boleh diharamkan.
Namun Umno dikecualikan dari diambil tindakan diatas budi bicara Menteri Dalam Negeri yang kebetulan seorang khadam Perdana Menteri. Maka selamat lah Umno dari dikenakan tindakan undang-undang.
Soalnya, apakah majoriti ahli Umno bersetuju dengan Zahid Hamidi serta boleh menerima apa yang berlaku dalam parti?
Suasananya dalam parti kini jelas berjaya dikuasai Zahid. Tidak ada lagi yang berani bersuara menentang pucuk pimpinan kerana semua saluran telah disekat. Sekiranya ada yang berani sudah pasti kepalanya akan dipancung. Begitulah keadaannnya.
So, sementara ini semua pemimpin bahagian dan para ahli parti senyap macam tikus. Mereka tidak puas hati dengan Zahid. Ini belum dikira soal isu ahli Umno mesti undi calon DAP dalam PRN ini. Ramai yang tidak dapat menerima realiti ini - terpaksa tidur sebantal dengan DAP.
Mereka tidak boleh buat apa-apa terhadap Zahid. Saluran dalam parti sudah tertutup dan disekat.
Jadi mereka hanya ada satu saluran sahaja sebagai suara atau boleh disebut sebagai referendum terhadap kepimpinan Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno.
Referendum itu adalah dalam bentuk undi menolak Umno dalam PRN nanti.
Sekiranya ini menjadi kenyataan Umno mengalami kekalahan teruk dalam PRN di enam buah negeri tersebut maka sudah pasti ia adalah satu mesej jelas dan signal pada Zahid agar meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.
Ini tidak mustahil berlaku kerana ahli ahli Umno sudah tidak ada peluang dan saluran lagi bagi memberi isyarat pada Zahid Hamidi agar memberi laluan pada calon lain sebagai Presiden parti.
Sekiranya ini berlaku apakah Zahid akan berundur ??
Mungkin tidak semudah itu keputusan Zahid. Kerana prioritinya adalah kes mahkamah yang dihadapinya.
Jika dia berundur maka peluangnya bebas dari mahkamah adalah tipis.