Rabu, 5 Oktober 2022

Selepas Pru 15 : Kerajaan Majoriti Kecil

 Dr Mahathir berjaya menjadi teraju memimpin Pakatan Harapan menumbangkan Umno/BN pada Pru 14, 2018.

Apakah kali ini pada Pru 15, Dr Mahathir dapat mengulangi kejayaan tersebut sekali lagi? 

 Pada 2018 Dr Mahathir berjaya menyatukan semua parti pembangkang bawah satu simbol terdiri dari parti Bersatu, PKR, Amanah dan DAP. Tetapi kali ini ianya tidak akan berlaku. 

Dr Mahathir,partinya Pejuang melalui Gerakan Tanah Air (GTA)  bekerjasama dengan parti Putra, Berjasa dan badan NGO bagi menghadapi pru 15.

Bersatu pula dalam Perikatan Nasional. Masing-masing mempunyai haluan sendiri. 

Satu pihak lagi adalah PKR, DAP dan Amanah. 

Ertinya, pada Pru 14 mereka semua dalam satu pakatan sehingga berjaya menewaskan Umno/BN . Namun kini mereka berpecah.

 Justeru sejarah 2018 tidak akan berulang. Mereka pasti tidak dapat menumbangkan Umno kali ini. 

Pengaruh Dr Mahathir terhadap para pengundi juga merosot kesan dari tindakannya yang meletakkan jawatan PM secara mengejut yang mengakibatkan kerajaan PH tumbang. 

Para pengundi sudah tidak yakin dengan Dr Mahathir setelah beliau tidak berbincang dengan sekutunya dalam PH sebelum meletakkan jawatan. 

Jadi pengaruh Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15 ini boleh dijangka. Ia tidak akan memberi impak besar seperti mana pada Pru 14 dulu. 

Begitu juga dengan Muhyiddin pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional. Muhyiddin akan hanyut dalam Pru 15 ini. Dia langsung tidak akan beri sebarang impak pada para pengundi lantaran tindakannya mengkhianati PH. 

Cuma tinggal PKR, DAP dan Amanah sebagai alternatif pada Umno/BN. Namun ketiga parti tersebut mempunyai bebanan yang besar bagi menarik sokongan orang melayu. Dan ini bukan mudah. 

Namun begitu ini tidak bererti Umno akan menang besar pada Pru 15 ini. Belum tentu! Kerana sebahagian besar rakyat sudah fedap dengan politik cash is king dan rasuah melibatkan para pemimpin Umno. 

Justeru itu senarionya pada Pru 15 tidak ada sebuah parti pun yang akan menang kerusi secara majoriti. 

Kemungkinan parlimen akan tergantung selepas keputusan Pru 15. Masing-masing parti akan berunding, berpakat dan berbincang untuk bekerjasama bagi menubuhkan kerajaan. 

Umno kini walau pun begitu yakin akan kembali berkuasa belum tentu lagi dapat memenangi lebih 60 kerusi dari 222 kerusi parlimen. Ertinya Umno terpaksa berkongsi kuasa dengan bantuan parti lain. 

Lebih meresahkan lagi kerajaan yang dibentuk bakal memempunyai majoriti kecil yang tentunya tidak kuat dan stabil. 

Sebuah kerajaan yang diimpikan adalah kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga. Dan ini mustahil akan berlaku dalam masa terdekat ini. 


Isnin, 3 Oktober 2022

Rakyat Akan Hukum Umno

 Umno terutama Presidennya Zahid Hamidi, begitu bernafsu mahukan Pru 15 diadakan juga tahun ini. Ini bererti Pru akan diadakan pada musim banjir. Dari Oktober hingga November biasanya musim tengkujuh. Dan Disember adalah masa kritikal. Ertinya dari sekarang hingga Disember musibah banjir tidak dapat dijangka.

Sekiranya pru 15 diadakan juga sudah tentu ianya akan menyusahkan semua orang.  Suasananya tidak kondusif. Sedangkan parlimen hanya tamat tempoh matang pada Jun tahun hadapan. 

Kedudukan kerajaan kini pula stabil. Tidak ada percubaan mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan. Malah kerajaan mendapat dukungan dari parti pembangkang bagi memastikan politik stabil. 

Namun sekiranya Umno bertegas mahukan Pru 15 segera maka rakyat akan menjadi hakim di atas keputusan tersebut. 

Pada Pru 14 , 2018 rakyat telah menghukum Umno sehingga tumbang kerana skandal 1MDB. Walaupun Pakatan Harapan hanya bertahan selama 22 bulan sebagai Kerajaan namun ianya bukanlah sia-sia begitu sahaja. 

Justeru Umno tumbang maka kes 1MDB telah berjaya dilondehkan sehingga dibawa ke mahkamah. 

Sekiranya Umno masih berkuasa sudah tentu skandal 1MDB akan ditutup dan disapu ke bawah permaidani. Itu lah yang dilakukan Umno sebelum Pru 14, mereka menghalang, menutup, menyembunyikan segala maklumat atau perbahasan berkaitan 1MDB.

Bukan sedikit pemimpin dalam Umno sendiri dikena tindakan pecat dan diugut serta dihalang dari menimbulkan soalan berkenaan skandal kewangan terbesar di dunia itu. 

Tetapi bila selepas Pru 14, Umno tumbang semua yang terlibat dibawa ke mahkamah. Ini sesuatu yang mustahil berlaku jika Umno masih berkuasa. 

Jadi kerajaan PH selama 22 bulan tidak sia-sia. Walaupun singkat namun mereka telah memenuhi mandat rakyat pada Pru 14, 2018.

Dan kini datang pula Pru 15. Rakyat tidak akan lupa mereka telah pun menghukum Umno kerana skandal 1MDB lima tahun dahulu. 

Kali ini mereka akan menghukum Umno sekali lagi pada Pru 15 gara-gara para pemimpin Umno begitu gatal mahu Pru diadakan musim banjir. 

Masalah dan kesan dari banjir pada tahun lepas belum lagi pulih sepenuhnya sehingga rakyat terpaksa bergelut menghadapi kehidupan seterusnya.

Tetapi itu semua bukan menjadi pertimbangan Umno. Yang penting adalah kuasa. Tamak berkuasa mengatasi segalanya.

Jadi,  ayuh mari kita ajar dan hukum Umno, terutamanya top five kononnya - yang gila kuasa agar bala 2018 menimpa mereka buat kali kedua.