Isnin, 29 November 2021

Tengku Razaleigh Hamzah Berundur Dari Politik

 Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li akhirnya memberi bayangan tidak akan bertanding lagi dalam Pru15 akan datang. Ertinya,  Ku Li akan terus bersara dari dunia politik setelah menjadi ahli Parlimen paling lama sejak 1974.

Sudah menjadi rahasia umum Ku Li, 84 tahun mempunyai cita-cita dan impian untuk menjadi Perdana Menteri sejak zaman Tun Razak lagi. 

Tengku Razaleigh Hamzah



Namun impian itu tidak tercapai. Tun Razak merupakan tokoh yang membawa Ku Li masuk politik dan melatihnya sebagai salah seorang calon PM negara ini. 

Selepas Tun Razak meninggal dunia, Hussein Onn mengambil alih jawatan PM. Ketika itu orang semua tertumpu pada Ku Li akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana beliau adalah Naib Presiden Umno paling kanan.  Dua orang lagi adalah Tun Ghafar Baba dan Dr Mahathir. 

Dari segi kedudukan dalam parti maka Ku Li berhak dipilih sebagai TPM. 

Namun Tun Hussein Onn melakukan kejutan dengan memilih Dr Mahathir, Naib Presiden Ketiga untuk menjadi Timbalannya. 

Ku Li kecewa.  Tetapi beliau boleh menerima keputusan tersebut kerana masa itu beliau masih muda dan seolah ada perjanjian mulut bahawa bila Tun Hussein berundur dan Dr Mahathir menjadi PM, beliau akan dilantik menjadi TPM. 

Namun bila Dr Mahathir menjadi PM beliau tidak memilih Ku Li sebagai Timbalannya, sebaliknya menyerahkan pada perwakilan Umno mengundi dalam pertandingan satu lawan satu dengan Tun Musa Hitam. 

Menariknya,  Dr Mahathir mengambil langkah menyokong Tun Musa Hitam secara terbuka dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno itu dalam tahun 1981.

Lebih menarik lagi tokoh tokoh seperti Anwar Ibrahim, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan tokoh besar lain menyokong Tun Musa kerana mereka pendokong tegar Dr Mahathir.  Hanya Ghafar Baba secara terbuka menyokong Ku Li. 

Ku Li tewas dengan lebih 200 undi. 

Ku Li juga tewas kali kedua dengan Tun Musa tiga tahun kemudian dengan jumlah undi hampir sama. 

Begitu lah seterusnya pada era Abdullah Badawi dan Najib Razak, Ku Li semakin tersisih dan pengaruhnya dalam parti semakin lemah. 

Akhir sekali harapannya untuk menjadi PM hancur lebur bila cakap-cakap calon PM yang bakal dipilih oleh SPB Yang Di Pertuan Agong ketika kerajaan Muhyiddin jatuh. Nama Ku Li adalah antara yang tersenarai selain dari Anwar Ibrahim dan Ismail Sabri Yaakob. 

Jadi berdasarkan urutan dan rentetan liku-liku perjalanannya sebagai antara bakal calon PM sudah sampai ke penghujungnya. 

Sudah sampai masa beliau berundur diri. Dari segi faktor usia dan suasana politik sekarang beliau tidak mungkin menjadi PM pada masa hadapan. Tidak mungkin. 

Apapun beliau akan terus diingati dan dikenang dalam lipatan sejarah politik di Malaysia sebagai seorang tokoh Umno yang telah berjasa dan mewarnai sejarah politik Umno khususnya dan negara amnya. 

Selamat bersara Ku.