Ahad, 31 Oktober 2021

Rakyat Melaka Tidak Perlu Pilihan Raya

 Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka pada 20 November ini sepatutnya tidak diteruskan. 

Kerajaan pusat dan Perdana Menteri mempunyai kuasa membatalkannya atau menangguhkan sehingga pada satu masa yang sesuai. 

Tetapi nampaknya kerajaan tidak bersungguh-sungguh mahu ia ditangguhkan. 



Kenapa PRN Sarawak boleh ditangguhkan sebelum ini.  Begitu juga isu kerajaan pusat bawah pimpinan bekas PM Muhyiddin Yassin yang hilang majoriti di Parlimen. 

Pilihan Raya Umum tidak diadakan selepas kabinet Muhyiddin jatuh. 

Hanya berlaku peralihan kuasa PM membentuk kerajaan yang baru ditubuhkan dengan sokongan majoriti ahli parlimen. 

Kenapa perkara ini tidak berlaku di Melaka? 

Kita baru sahaja berjaya memasuki fasa endemik dengan kes covid dan kes kematian semakin menurun. 

Mengapa kita tidak belajar dari apa yang berlaku di Sabah? 

Rakyat Melaka secara keseluruhannya tidak mahu dan tidak bersetuju dengan keputusan orang politik yang bernafsu sangat mahukan satu PRN. 

Mereka baru sahaja mula merasai kehidupan bebas setelah berkurung dengan segala PKP dan SOP selama ini. 

Yang berniaga dan bekerja secara kais pagi makan pagi, baru mahu memulakan kehidupan secara normal seperti sebelum masa covid. 

Dengan PRN yang bakal menjelang tidakkah risiko penularan kes covid kembali menghantui kehidupan mereka. 

PM Ismail Sabri boleh sekiranya dia mahu dengan menasihatkan SPB Yang Di Pertuan Agong membatalkan PRN ini. Dan langkah seterusnya menubuhkan satu kerajaan sementara atau peralihan sehingga situasi kes covid dalam negara dapat dilandaikan ke paras 2 digit. 

Namun orang politik sebenarnya lebih mementing kedudukan mereka daripada memikirkan nasib rakyat marhaen yang begitu teruk terjejas kehidupan mereka kesan dari covid 19.

Yang lebih membingungkan lagi adalah segala macam halangan dan peraturan diadakan sepanjang kempen PRN di Melaka. 

Antaranya dilarang membuat perhimpunan semasa kempen, larangan itu dan ini sehingga tidak memberi sebarang erti bagi semua calon yang bertanding. 

Namun yang tentunya calon kerajaan mempunyai kelebihan kerana mendapat liputan media eletronik dengan meluas jika dibandingkan dengan calon parti pembangkang. 

Dan ini sudah pasti tidak adil dan berlawan di atas padang yang tidak rata. 

Bagi saya PRN Melaka ini tidak perlu dan satu pembaziran dalam semua aspek. Apa lagi ianya membahayakan kehidupan rakyat Melaka seluruhnya dari ancaman covid. 

Negara jiran kita Singapura kini sedang menghadapi gelombang dan peningkatan kes baru covid secara mendadak. Sedangkan sebelum ini Singapura berjaya mengawal dengan begitu berkesan dan mendapat pujian dunia dalam melandaikan kes covid. 

Kini Singapura sedang berhempas pulas dengan kenaikan kes secara mendadak. 

Apakah ini tidak akan berlaku di Melaka dengan berlangsungnya PRN pada 20 November ini?? 

Sebenarnya kita mencari penyakit ! Rakyat Melaka tidak perlu dan tidak mahu pilihanraya.  

Mereka perlu bekerja mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. 

Bukan seperti orang politik,  semuanya buaya dan penyamun!!