Spekulasi sudah mula tersebar bahawa PRU 15 akan diadakan paling lewat akhir March 2021. Alasan perlunya diadakan Pru secepat mungkin kerana kerajaan hari ini hanya mempunyai majoriti tipis - 3 kerusi. Ertinya ia sebuah kerajaan yang tidak stabil dan boleh jatuh bila -bila masa sekiranya ada yang melompat seperti katak.
Walaupun kelebihan 3 kerusi namun kerajaan Muhyiddin sehingga kini masih kekal utuh dan mampu bertahan dari jatuh ke tangan pembangkang.
Buktinya bajet 2021 telah pun berjaya diluluskan di Parlimen walaupun sebelum itu mendapat tentangan dari pihak parti pembangkang.
Tidak dinafikan tanpa peranan dan sokongan Umno, kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak akan kekal. Bayangkan sekiranya ada 4 atau 5 ahli Parlimen Umno lompat katak, maka tumbanglah Muhyiddin.
Namun Umno pilih Muhyiddin terus kekal dari memilih Anwar Ibrahim dan DAP.
Begitu pun langkah Umno itu hanya sementara. Kerana Umno sendiri tidak ingin pada Muhyiddin dan parti Bersatunya yang diibaratkan seperti duri dalam daging.
Justeru itu Umno lah merupakan satu-satunya parti yang mahu PRU 15 diadakan secepat mungkin. Parti Bersatu dan Pas kelihatan lebih selesa kerajaan kini diteruskan sehingga tempoh matang Parlimen pada 2023.
Umno mahu Pru segera kerana yakin ia mampu mengambil alih kerajaan di Putrajaya. Umno tidak sanggup lagi berada dibawah dagu Bersatu (Muhyiddin). Dibawah ketiak Pas pun Umno tidak ingin. Umno mahu kembali menjadi abang besar seperti sebelum Pru 14 lalu yang mengakibatkannya jatuh tersungkur menyembah bumi.
Walaupun sudah menjadi kenyataan tidak akan ada lagi parti melayu: baik Umno, Pas atau Bersatu mampu memenangi kerusi secara majoriti dalam Parlimen. Setiap parti tiada pilihan selain bekerjasama antara satu sama lain bagi membentuk kerajaan. Dalam konteks ini Umno mahu memenangi kerusi melebihi Bersatu dan Pas.
Justeru itu ia berhak menuntut kerusi Perdana Menteri. Ini adalah tujuan dan matlamat Umno mahu Pru 15 dipercepatkan.
Namun dengan situasi kes Covid 19 yang mencecah 1,000 hingga 2,000 kes setiap hari dan jumlah kes menjangkau lebih 100 ribu, apakah wajar difikirkan tentang mengadakan Pru 15 dalam masa terdekat?
Bersatu dan Pas dilihat tidak begitu bernafsu seperti Umno mahu Pru diadakan. Mereka lebih selesa menunggu tempoh tamat Parlimen pada 2023.
Lagi pun keadaan Covid sekarang agak mengerunkan. Sekiranya jangkaan lewat March, Pru 15 mahu diadakan - tidakkah ini akan membantut usaha KKM melengkung geraf kes Covid dalam negara?
Suasana dalam Pru 15 juga akan mengalami risiko yang sama dialami dalam pilihanraya di Sabah beberapa bulan dulu. Salah satu punca kenaikan kes Covid di Malaysia adalah berpunca dari kesan dan akibat berlangsungnya pilihanraya negeri itu sehingga virus tidak terkawal berjangkit ke Semenanjung.
Apakah kita mahu ia berlaku sekali lagi? Kalau ia berlaku saya kira kes Covid di Malaysia tidak akan turun, malah akan terus sampai tahap puncak tidak terkawal.
Saya juga musykil, apakah Umno mahu sangat Pru 15 kerana memikirkan kebajikan dan kepentingan rakyat yang menghadapi berbagai kesukaran akibat Covid?
Atau kerana muslihat beberapa pemimpinnya yang kini menghadapi kes rasuah di mahkamah?
Dengan harapan Umno kembali berkuasa maka mereka mempunyai kuasa budi bicara menarik balik atau menggugurkan kes dari dibicarakan.
Kini satu kes sudah dihukum dan dalam proses rayuan. Ada lagi berderet -deret menunggu untuk dibicarakan.
Dilihat pada kes-kes tersebut hukuman bersalah dan dipenjara hampir pasti!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan