Sabtu, 27 Jun 2020

Terkenang...


Dari kiri Hassan Shukri, Nik Aziz Nik Mat, Mustafa Ali, sebelahnya tidak pasti, dan yang hujung sekali bekas Presiden PAS, Asri Muda. Kesemuanya sudah meninggal dunia kecuali Datuk Mustafa Ali.

Foto lama di atas adalah sebahagian dari Ahli Jawatankuasa Agung parti PAS 1977.

Isnin, 22 Jun 2020

Dr Mahathir Kena Beri Laluan Pada Anwar Sebagai PM

Sebelum PRU14 Dr Mahathir sanggup ke mahkamah bertemu Anwar Ibrahim yang masih dalam penjara Sungai Buloh semata-mata ingin bekerjasama menjatuhkan rejim kleptokrasi.

Hasilnya mereka mengenepikan perbezaan pegangan politik mereka dan bersatu dalam satu pakatan bagi menghadapi PRU14.

Dan langkah dan tindakan mereka berdua berjaya sehingga mengejutkan dunia bila buat pertama kali dalam sejarah negara parti Umno hilang kuasa sebagai kerajaan pusat.

Namun kehebatan dan sanjungan dari dalam dan luar negeri pada kedua tokoh tersebut hanya dapat bertahan selama 22 bulan.

Kalau sebelum ini Mahathir dan Anwar dapat bekerjasama dan melupakan peristiwa pahit antara mereka kini suasananya sudah terbalik.

Kini mereka saling mencurigai dan sindir menyindir secara terbuka. Ini lah antara punca utama kerajaan yang ditubuhkan sesudah PRU14 tumbang begitu mudah. Dan tentunya banyak lagi faktor-faktor lain yang mempengaruhinya.

Sikap curiga dan saling tidak percaya antara mereka berdua membawa hingga ke hari ini yang menjadi batu penghalang usaha PH mengembalikan mandat rakyat pada PRU14 lalu.

Dr Mahathir juga melampau dalam hal ini. Dia boleh buat kenyataan terbuka bahawa Anwar gila hendak jadi Perdana Menteri. Dan sikapnya yang suka berdolak-dalik mengenai masa penyerahan kuasa pada Anwar. Sekejap dia kata selepas dua tahun. Sekejap tiga tahun. Sekejap dia kata soal tersebut terserah padanya. Dia berkuasa sepenuhnya menentukan bila ia akan berlaku.

Tidakkah ini menyinggung Anwar dan menimbulkan kemarahan para ahli PKR?

Dan hari ini Anwar secara terus terang dia tidak percayakan lagi Dr Mahathir.

Ini susulan cadangan dari DAP dan Amanah agar Dr Mahathir menjadi PM dan Anwar sebagai TPM dalam usaha mengambilalih Putrajaya dari Perikatan Nasional.

Saya kira dalam soal memecah kebuntuan siapa PM dan siapa TPM,  adalah munasabah Dr Mahathir memberi laluan pada Anwar sebagai PM. Itu pun sekiranya Dr Mahathir serius dan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan pintu belakang pimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Apa lagi yang dia mahu?  Pegang jawatan PM ke 4 selama 22 tahun. PM ke 7 selama 22 bulan. Selepas itu jadi interim PM lagi. Dah pulak letak jawatan pula sebagai PM ke 7.

Masih tidak cukupkah? Cadangan agar Dr Mahathir pegang jawatan selama 6 bulan kemudian serah pada Anwar memang tidak masuk akal.

Lebih masuk akal dan menasabah ialah Dr Mahathir perlu beri laluan dan sokongan penuh pada Anwar sebagai calon PM ke 9.

Itu sahaja penyelesaiannya bagi merungkai kekusutan hubungan Mahathir - Anwar demi mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14.

Semuanya terletak pada Dr Mahathir sekiranya dia ikhlas tidak mahu melihat rejim kleptokrasi kembali berkuasa.




Jumaat, 19 Jun 2020

Stuck In A Rut

Dibawah ini adalah ciplakan posting dari blog Syed Akbar Ali. 
Sekiranya ada pembaca yang tidak faham maksudnya maka kefahaman bahasa Inggeris anda adalah ditahap yang lemah. 

Jadi perlu berusaha mempelajari dan memahaminya. Jika tidak kita akan jadi seperti tajuk di atas,  " Stuck In A Rut ". Ertinya kita tersangkut dalam lumpur itu tidak dapat bergerak seperti dalam foto. Sedangkan orang lain terus bergerak langkah ke hadapan. 



Isu Adib Anggota Bomba Senyap Terus...


Memang betul tajuk berita tersebut di atas yang dipetik dari Malaysian Insight.

Semasa Umno dan Pas menjadi pembangkang mereka banyak mainkan isu agama dan bangsa bagi mendapat sokongan dan memburukkan kerajaan PH. 

Cara ini memang cukup berkesan dan mudah menarik perhatian dan simpati. 

Salah satu contohnya isu kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di sebuah kuil Hindu. 

Banyak tuduhan dilemparkan pada bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan parti DAP sebagai dalang dan penghalang ketelusan dalam perbicaraan kes tersebut. 

Hari ini sudah lebih 100 hari mereka adalah sebahagian dari kerajaan yang berkuasa di Putrajaya. Namun kes Adib tidak pun kedengaran dan tidak sesiapa pun menekan dan mendesak agar keadilan ditegakkan. 

Tidak seperti sebelum mereka menjadi kerajaan, isu ahli bomba ini geger riuh seperti dunia nak kiamat !!

Kononnya hendak membela di atas gugurnya ahli bomba tersebut semasa menjalankan tugas. 

Sekarang dah ada kuasa percepatkanlah proses mencari keadilan dan siapa pembunuhnya?? 

Rabu, 17 Jun 2020

Anwar Ibrahim Tiada Pilihan


Dr Mahathir dan Anwar belum lagi sepakat siapakah menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa di Putrajaya. 

Ada cadangan Dr M menjadi PM selama enam bulan. Dan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. 

Bagi saya semua cadangan ini adalah karut marut. Soalnya apa rasionalnya Dr M memegang jawatan PM selama enam bulan? Apa yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat itu? Nak sambung projek kereta terbang ke? 

Hari itu Dr M jadi PM selama 22 bulan pun tidak mencukupi. Dia mahu tambah jadi tiga tahun... bla.. bla.... Lepas Apec.. bla.. bla.. dan entah apa alasan lagi bagi melanjutkan masanya sebagai PM. 

Semua ini karut belaka. Sedangkan krisis politik kini semua berpunca daripada dia yang meletakkan jawatan sebagai PM ke 7.

Manakala Anwar pula selagi masih sanggup berada dibelakang bayang Mahathir selagi itulah dia akan dipermainkan. 

Anwar perlu tegas. Dia tidak lagi boleh membiarkan Dr M menari mengikut rentak yang dia suka. 

Sekiranya pendirian ini harus meletakkannya terus kekal sebagai Ketua Pembangkang ia perlu hadapinya dengan terbuka. Anwar tiada pilihan. Sama ada dia jadi PM atau Ketua Pembangkang. Ia adalah pilihan... 

Jika Anwar sanggup mengalah kesian kalinya pada Dr M dengan menerima cadangan sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka ia ibarat seperti dipatuk ular ketiga kalinya. 

Anwar tiada pilihan walau pun DAP dan Amanah mengambil tindakan tidak bersamanya lagi.