Rabu, 12 Februari 2020

Anwar Ibrahim Tidak Akan Jadi PM Ke 8 ?

Dr Mahathir Mohamed menjadi PM ke 4 selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003. Sepanjang tempoh itu Tun telah berjaya menerajui parti Umno dan BN memenangi pilihan raya umum sebanyak lima kali dengan kemenangan majoriti lebih dua pertiga di parlimen.

Walaupun dalam tempoh tersebut Tun menghadapi berbagai krisis seperti perpecahan dalam Umno yang mengakibatkan tertubuhnya parti Semangat 46 dan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai TPM dan ahli Umno - ia tidak memberi kesan besar pada kedudukannya sebagai PM dan parti pemerintah (BN).

Selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003 dan menyerahkannya pada Pak Lah Badawi,  BN terus menang besar pada Pru 2004.

Namun kekuatan Umno dan BN selepas itu dibawah pimpinan Pak Lah mula menurun dan merosot. Buat pertama kali dalam sejarah Umno dan BN dibawah pimpinan Pak Lah hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen dengan lima buah negeri jatuh ke tangan pembangkang. Ini berlaku dalam Pru 12, 2008.

Ironinya, pembangkang ketika itu Pkr, DAP dan Pas bergabung diketuai Anwar Ibrahim.

Pada Pru 13, 2013, Umno dan BN diketuai Najib Razak sekali lagi gagal memperolehi kemenangan majoriti dua pertiga dalam parlimen. Pun begitu Najib masih kekal sebagai PM.  Dan Anwar buat kali kedua gagal sebagai Ketua blok pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan Umno dan BN.

Ertinya, Anwar telah gagal dua kali dalam Pru sebagai pembangkang untuk mengambil alih kuasa di Putrajaya.

Sehinggalah pada Pru 14, 2018 kerajaan pusat buat pertama kali dalam sejarah bertukar tangan pada pihak pembangkang menguasai Putrajaya.

Tetapi kejayaan pembangkang ini diterajui oleh Tun Dr Mahathir. Yang sebelum ini telah memenangi lima kali Pru. Dan Pru 14 menjadikannya yang ke enam dibawah pimpinannya.

Pada rekodnya, Anwar sebagai calon PM ke 8 belum pernah mencapai sebarang kejayaan tersebut sepertimana pencapaian Tun Dr Mahathir.


Sekiranya ditakdirkan Tun menunaikan janjinya menyerahkan kuasa pada Anwar sebagai PM ke 8,  apakah Anwar mampu mempertahankan kemenangan Pakatan Harapan pada Pru 15 ?

Tun telah buktikan sebagai kepala beliau  mampu membawa kemenangan. Dan pimpinannya memberi impak besar.

Apakah Anwar mampu mengulangi kejayaan tersebut?  Setidak -tidaknya apakah dia dapat mempertahankan kuasa PH di Putrajaya ?

Apakah ini antara banyak alasan yang tersirat dalam diri Tun yang kelihatan berdolak dalik dalam isu penyerahan kuasa PM pada Anwar Ibrahim?

Kerana Tun sendiri pernah membuat kenyataan bahawa beliau masih sangsi dengan kemampuan penggantinya bagi meneruskan menerajui negara.

Namun Tun tidak menyebut nama Anwar ketika kenyataan itu dibuat.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan