Rabu, 14 November 2018

Anwar Ibrahim Izin Tun Mahathir Jadi PM Lebih Dua Tahun?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan berlakunya rombakan kabinet dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan boleh menghantar senarai nama calon masing-masing untuk dipertimbangkan.

Namun tegas beliau sebagai PM beliau berhak menentukan susunan kabinet. Kerana tambahnya, beliau perlu bekerja dengan orang yang sesuai dan serasi dengannya.

Ertinya, dalam susunan barisan kabinet, Tun sebagai PM berhak dan mempunyai kuasa penuh menentukannya.


Foto : Bernama

Walaupun parti Bersatu yang mempunyai 14 kerusi Parlimen, satu jumlah yang kecil dibandingkan dengan PKR dan DAP - namun Tun membuktikan beliau tidak dikuasai dan dipengaruhi oleh dua parti besar dalam PH itu.

Tidak ada siapa yang berani pertikaikan kedudukan Tun sebagai PM. Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menyatakan secara terbuka hanya Tun mampu memimpin dan memulihkan semula negara dari kesan buruk yang ditinggalkan BN dan Najib Razak.

Anwar juga berkata beliau bernasib baik kerana dalam situasi negara kini hanya Tun mampu memulihkan dan membangkitkan semula negara sebelum beliau mengambil alih jawatan PM.

Tun berjanji akan menyerahkan kerusi PM pada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti yang dipersetujui PH.

Tetapi seperti yang dikata Tun dalam sidang media bersama Anwar dalam nada bergurau, sekiranya Anwar izinkan beliau terus jadi PM lebih dua tahun beliau akan teruskan.

Mungkin Tun berseloroh dengan Anwar dihadapan petugas media.  Tetapi seloroh orang politik ada makna.

Kerana Tun sering membayangkan beliau boleh terus jadi PM selepas dua tahun sekiranya itu yang kehendaki rakyat.

Dan bila pihak media bertanya adakah Anwar akan menggantinya sebagai PM? Tun hanya menjawab itu terpulang pada rakyat menentukan kelak.

Nampaknya, Anwar perlu terbuka dengan memberi izin pada Tun meneruskan tugas sebagai PM lebih sedikit dari tempoh dua tahun yang dijanjikan.

Kerana Anwar telah mengakui hanya Tun mampu mengemudi negara dalam situasi terkini.







Isnin, 12 November 2018

Azmin Ali Semakin Kukuh Dalam PKR

Rafizi Ramli secara tidak rasmi telah gagal dalam perebutan jawatan Timbalan Presden PKR menentang penyandang jawatan Azmin Ali. Azmin kini mendahului kelebihan 3,000 undi.

Igauan Rafizi dan teamnya yang berkempen sekiranya Azmin menang maka laluan Anwar Ibrahim untuk menjadi PM ke 8 menjadi sukar.

Nampaknya, kebimbangan itu kini hampir menjadi kenyataan.

Kerana hampir semua calon team Azmin menang dalam pemilihan pemimpin tertinggi.

Bagi jawatan Naib Presiden - Zuraida Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua telah terpilih dari empat  jawatan tersebut.

Haniza Talha dari team Azmin menang jawatan Ketua Wanita menewaskan Fuziah Salleh penyokong Rafizi.

15 dari 20 calon pimpinan tertinggi yang terpilih adalah dari team Azmin.

Sebuah portal berita memberi tajuk, " Azmin Ali bertambah kukuh dalam PKR dan kedudukan Anwar lemah".

Walaupun Anwar tidak menzahirkan sokongannya terhadap Rafizi, namun umum mengetahui pendiriannya yang sebenar.

Anaknya Nurul Izzah dan Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution secara terbuka menyokong  Rafizi. Saifuddin adalah orang kepercayaan Anwar. Nurul Izzah tidak perlu dipersoalkan lagi.  Begitu juga Dr Wan Azizah seperti Anwar tidak menyatakan secara terbuka pendirian mereka dalam isu Azmin -Rafizi.

Ahli Parlimen Kapar penyokong kuat Rafizi juga lantang tentang kebimbangan sekiranya Azmin menang yang akan menyekat kemaraan Anwar sebagai PM ke 8.

Semua kebimbangan team Rafizi kini hampir menjadi kenyataan.


Apa sikap Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution setelah Azmin berjaya mengekalkan kerusi Timbalan Presiden?

Nurul menang dan terpilih sebagai Naib Presiden yang mempunyai undi tertinggi dari empat jawatan Naib Presiden. Tetapi Saifuddin apakah masih mahu kekal sebagai Setiausaha Agung?

Dan apakah sikap dan langkah Azmin seterusnya dengan tindakan agresif team Rafizi mahu menumbangkannya dalam proses pemilihan?

Apapun teori dan analisis kononnya Tun Mahathir mahu Azmin Ali sebagai penggantinya tidak boleh dipandang remeh.

Tempoh dua tahun perjanjian Tun sebagai PM masih panjang... 2020..

Jumaat, 9 November 2018

Umno Berjuang Untuk Parti Atau Individu ?

Umno telah melakukan kesilapan besar tidak mendesak Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti sebelum Pru14 lalu.

Tidak dapat dinafikan faktor "Najib Razak" aka panggilan MO1 yang terpalit dengan skandal 1MDB telah meranapkan parti Umno dan menghancurkan Barisan Nasional sebagai pemerintah selama 60 tahun.

Seandainya seluruh ahli Umno dan lebih 190 Ketua Bahagian bertindak cepat menekan Najib agar berundur bagi menyelamatkan parti sudah tentu nasib Umno tidak seburuk hari ini.

Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir menentang Najib dalam isu 1MDB terbukti betul namun mereka tidak mendapat sokongan penuh para pemimpin tertinggi dan ahli Umno.

Kini Najib sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah bersabit pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.


Kesilapan besar pemimpin dan ahli Umno adalah mereka berjuang mempertahankan individu dan bukan mempertahankan parti.

Dalam Pru14 lalu jelas mereka lebih berjuang mempertahankan Najib dari mempertahankan Umno sebagai parti. Akhirnya Umno menjadi lemah dan porak peranda.

Sudah enam bulan Umno kehilangan kuasa di Putrajaya namun tidak kelihatan ia telah memberi sebarang pengajaran pada para ahli dan parti.

Kini Umno sedang menghadapi masalah yang sama. Presiden parti Zahid Hamidi menghadapi 45 pertuduhan bersabit pecah amanah dan salah guna kuasa.

Pemuda Umno telah mengambil pendirian agar Zahid bercuti sementara kesnya di mahkamah selesai.

Namun sehingga kini Zahid tidak berganjak malah akan terus kekal sebagai Presiden parti.

Zahid juga telah mula menjelajah seluruh negeri buat road show bagi menjelas dan mempertahan dirinya dari segala pertuduhan tersebut.

Sekali lagi pemimpin menjelajah bukan demi membersihkan parti tetapi bagi membela individu tertentu.

Nampaknya individu lebih tinggi dan utama dari kepentingan parti secara keseluruhannya.

Sekiranya beginilah hala tuju Umno, maka tidak mustahil Umno tidak akan bangkit setelah tersungkur pada Pru14 lalu dan terus kekal sebagai pembangkang diperingkat pusat. Malah kemungkinan akan terus pupus dalam politik negara.

Umno perlu ingat Najib Razak atau Zahid Hamidi tidak penting.  Yang perlu diutamakan adalah parti.

Pemimpin silih berganti. Datang dan pergi. Tetapi parti terus kekal selagi ada bulan dan bintang.

Ahli-ahli Umno masih belum sedar dan insaf serta tidak jelas ke mana hala tuju mereka selepas enam bulan Putrajaya beralih kuasa.

Barangkali itu lah agaknya Tun Mahathir cadangkan agar dibubarkan sahaja parti Umno. Kerana Umno hanya wujud di atas kertas sahaja sedangkan perjuangannya telah kehilangan roh.