Jumaat, 21 Mac 2014

Subky berharap pada Anwar

SUBKY LATIFF dalam tulisan terbarunya ada mengulas tentang Anwar Ibrahim yang kemungkinan besar masuk ke penjara buat kali ketiga. Kali pertama ialah semasa menjadi tahanan ISA selama dua tahun di Kamunting. Keduanya adalah di penjara Sungai Buloh selama enam tahun di atas kesalahan menyalah gunakan kuasa semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dan yang terbaru adalah kali ketiga setelah mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dalam kes liwat II.

Tulis Subky lagi, Anwar tidak pernah rasa takut untuk ke penjara buat kali ketiga kerana dia tidak bersalah dan telah dinobatkan sebagai Perdana Menteri pilihan rakyat. Semasa di Sungai Buloh, menurut Subky, Anwar telah menghafal sebahagian besar isi kandungan Al Quran.
Subky Latiff

Kali ini sekiranya Anwar masuk penjara lagi dia bakal menjadi seorang hafiz!

Ulama terkenal Indonesia, Allahyarham Hamka dikatakan telah menyiapkan Tafsir Al Azhar ketika di dalam penjara semasa pemerintahan Sukarno. Begitu juga di Mesir, Asy Syahid Syed Qutub mengarang Tafsir Fi Zilalil Quran di dalam penjara semasa Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdul Nasser.

Apakah Anwar sekiranya dipenjarakan buat kali ketiga akan menjadi seorang hafiz Quran atau dapat menghasilkan karya agung seperti Hamka dan Syed Qutub ?

Sehingga sekarang Anwar belum menghasilkan apa-apa buku hasil karyanya sendiri melainkan "The Asian Renaissance" pada 1996 ketika dia memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Buku tersebut adalah hasil koleksi ucapannya.

Seperti harapan Subky sekiranya Anwar berehat di penjara lagi dia bakal menjadi seorang hafiz ! Tetapi bagi orang seperti saya - cuma mengharapkan Anwar sekurang-kurangnya dapat menghasilkan sebuah memoir seumpama, "A Doctor In The House" karya Tun Dr Mahathir Mohamad yang tebalnya 800 halaman.

Karya Anwar itu tidak perlulah sampai 800 halaman. Memadailah ia separuh dari buku Dr Mahathir itu. Paling tidak Anwar perlu menjawab secara terperinci segala tuduhan Dr Mahathir terhadapnya dalam buku itu.

Tidak payahlah seret rakyat buat reformasi atau berguling-guling di atas jalan. Atau berniat mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalan keganasan dan demonstrasi jalanan. Rakyat sudah letih.

Sayugia hingga sekarang Anwar tidak pernah mencabar kesahihan semua tuduhan terhadapnya oleh Dr Mahathir dalam buku itu di mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan