Jumaat, 14 Mac 2014

Kes liwat Anwar dan Karpal Singh

Arifin tolak dakwaan campur tangan

Tun Arifin Zakaria

GEORGETOWN 13 Mac - Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria hari ini menafikan dakwaan campur tangan dalam keputusan badan kehakiman baru-baru ini dalam kes membabitkan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Saya boleh memberi jaminan tidak ada perkara seperti itu. Bagi hakim, apa sahaja keputusan mereka buat, perlu memberikan sebab dan sebab ini tertakluk kepada penelitian mahkamah rayuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia ke-48 di sini.

Beliau memberi jaminan jika keputusan badan kehakiman itu salah, tidak wajar atau menyalahi undang-undang, ia akan ditukar melalui proses biasa undang-undang.
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar selepas mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lepas.

Mahkamah Tinggi mendenda Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh RM4,000 atas pertuduhan menghasut terhadap Sultan Perak lima tahun lalu.
Ketika diminta mengulas perhimpunan haram yang dirancang pihak tertentu bagi membantah keputusan mahkamah itu, Arifin berkata, tindakan itu bukan caranya untuk menyelesaikan isu.

"Kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku. Harap jangan menghukum apa yang akan berlaku di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Proses (mahkamah) dapat didengar semua orang. Semua orang mendapat layanan sama di mahkamah," katanya.

Arifin berkata, badan kehakiman juga terbuka kepada kritikan tetapi ia perlu adil dan orang ramai perlu menunjukkan kepada mereka apa yang salah.

"Semua prosedur mencukupi bagi memastikan kebebasan dan integriti badan kehakiman tidak terjejas. Badan kehakiman adalah satu badan paling lemah.

Sesiapa sahaja boleh menyerang kami, tetapi kami tidak boleh mempertahankan diri sendiri. Kami hanya boleh mempertahankan diri dalam penghakiman kami. Kami tidak boleh terus menafikan itu dan ini," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140314/ma_02/Arifin-tolak-dakwaan-campur-tangan#ixzz2vwwuY9mV
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan