Jumaat, 28 Disember 2012

PRU 13 sudah tiada kejutan

PARLIMEN boleh dibubarkan bila-bila masa saja dari sekarang memberi laluan Pilihan Raya Umum(PRU) 13 diadakan. Tempoh mandat kerajaan hari ini akan tamat pada April 2013. Dengan hanya berbaki beberapa bulan saja dari sekarang ia bukanlah satu masa yang panjang.

Oleh itu elemen kejutan tentang tarikh keramat itu bukan lagi menjadi bahan suspen bagi semua parti politik dan para pengundi. Kini sudah hampir Januari dan paling lewat PRU 13 diadakan pada Februari, Mac atau April 2013. Ada juga kemungkinan Datuk Seri Najib Razak akan membiarkan tempoh parlimen bubar dengan sendirinya bila habis tempoh pada April. Justeru itu PRU 13 boleh diadakan pada Mei atau Jun.

Bagi parti pembangkang Najib seolah mahu melengahkan tarikh pembubaran parlimen. Namun apa yang jelas beliau mengira faktor Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat yang mahu mengadakan pilihanraya secara berasingan sejak tahun lepas lagi. Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng lebih cenderung menghabiskan mandat 2008 sepenuhnya sehingga April.

Dalam suasana sekarang pilihanraya cara berasingan tidak berbangkit lagi. Ini adalah sesuatu yang mahu dielakkan dari berlaku oleh UMNO dan BN. Ia memberi kelebihan pada pembangkang sekiranya berlaku.

Semasa tempoh Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri (1981-2003) tarikh PRU sentiasa menjadi bahan kejutan dan tidak sesiapa pun dapat meramalkan atau meneka dengan tepat. Ia sering diadakan di luar jangkaan para pemerhati politik dan pemimpin pembangkang. Tidak kurang kadang-kadang ia dibuat dalam keadaan parti pembangkang belum bersedia sepenuhnya. Dan sering pula PRU diadakan setahun lebih awal dari tarikh matang tempohnya.

Parti pembangkang tidak bersetuju tentang kuasa mutlak PM yang boleh menentukan bila tarikh PRU patut diadakan. Mereka mahu meminda undang-undang ini bila berkuasa di Putrajaya kelak. Sehingga kini ia adalah sesuatu yang tidak menyalahi undang-undang negara.

Dalam konteks sekarang tarikh PRU 13 bukan lagi menjadi teka-teki buat semua orang. Sudah hilang kejutan dan suspennya yang dikira berbaki beberapa bulan saja lagi. Semua pihak telah pun bersedia. Hanya tunggu tiupan wisel dibunyikan.

Cuma mungkin unsur kejutan yang bakal berlaku ialah isu-isu panas dan sensitif yang pasti timbul setelah bubarnya parlimen. Biasanya isu-isu seperti ini mampu menikam kerajaan atau pembangkang dalam tempoh satu atau dua minggu sebelum hari mengundi.

Khabarnya, baik kerajaan atau pembangkang sudah pun menyimpan isu-isu sensitif dan panas itu untuk didedahkan bila sampai masanya. Inilah sepak terajang politik. Setiap isu akan dieksploit dan dimanipulasi sebaik mungkin bagi mempengaruhi para pengundi.

Bagi para penyokong 'hard core' parti masing-masing tentu tidak banyak memberi kesan. Yang menjadi sasaran ialah mereka yang duduk di atas pagar. Pengundi atas pagar mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan kemenangan setiap calon.

Apakah isu panas dan sensitif yang bakal menjadi kejutan nanti ? Kenalah tunggu seminggu sebelum hari mengundi.



Selasa, 25 Disember 2012

Larangan guna perkataan Islam

Kerajaan kena pinda undang-undang

SELEPAS PRU 13 sekiranya Barisan Nasional(BN) kembali mengekalkan kuasa di Putrajaya, antara langkah penting yang perlu diambil ialah meminda undang-undang melarang mana-mana pihak mengguna perkataan Islam sebagai nama parti.

Langkah ini penting bagi mengelak kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat berterusan. Pas sebagai satu-satunya parti berlabel dan berjenama perkataan Islam di negara ini telah berjaya mengekploitasi dan memperguna sepenuhnya untuk kepentingan politik dan partinya.

Para pemimpinnya telah menanamkan fahaman di kalangan pengikutnya bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Apa sahaja fatwa dan pendirian para pemimpin Pas adalah mengikut ajaran Islam sebenar. Kalau ada pandangan dari pihak di luar Pas, maka ia dianggap sebagai tidak Islam, sekalipun ia datang dari para Mufti yang berkelayakan.

Benarkah semua pendirian para pemimpin Pas termasuk Ustaz Nik Abdul Aziz dan Ustaz Hadi Awang betul belaka dan tidak boleh dipertikaikan ? Kes Amanat Hj. Hadi yang mengkafirkan sesama Islam sejak lama dahulu hingga kini tidak selesai malah memberi kesan besar pada perpaduan umat di negara ini.

Sikap Nik Aziz yang suatu masa dulu mengecam Dr. Mahathir supaya berhenti kerana terlalu lama berkuasa dan menggelarnya sebagai diktaktor. Namun kini apa yang dilemparnya terhadap negarawan itu terpalit pada dirinya sendiri.

Sudahlah uzur dan tidak mempunyai idea-idea dan sumbangan besar dalam konteks pembangunan negara masih mahu menduduki kerusi empuk Menteri Besar, Kelantan. Jarak 22 tahun dan akan memasuki tahun ke 23 satu tempoh panjang mengatasi Dr. Mahathir yang dianggap diktaktor, mahaFiraun, mahazalim dan sebagainya.

Apa pun Dr. Mahathir, 87 tahun kelihatan lebih sihat dan cergas dan masih terus memberi sumbangan fikiran dan sebagainya berbanding Nik Aziz, 81 tahun. Tetapi apakan daya kerana beliau seorang bertaraf ulama dan Tok Guru, maka apa sahaja tindakannya adalah benar dan kudus, tidak ada cacat celanya. Orang pun tidak berani sanggah kerana kedudukannya yang tinggi itu.

Sampai ada pemimpin Pas di Kelantan menyuarakan agar Nik Aziz duduk sahaja tidak perlu buat kerja kerana keuzurannya, malah akan ada orang yang akan membantunya dalam tugasnya sebagai MB. Dalam konteks kepimpinan betulkah kaedahnya begitu ? Dengan ertikata lain, dapat gaji percumalah begitu !

Oleh kerana dia bertaraf ulama, maka tidak ada apa kesalahannya. Semuanya molek belaka. Islam telah menjadi alat dan topeng semata-mata demi kepentingan politik parti. Pas itu Isle. Isle itu Pas. Selain parti Pas semua bukan Isle.

Selagi parti Pas terus memperguna perkataan Isle kerana untuk dapatkan kuasa selagi itulah suasana dalam masyarakat Islam akan berpecah belah akibat fahaman dan tafsiran yang punya kepentingan tertentu. Islam sepatutnya menjadi alat perpaduan dan kesatuan ummah bukannya mendorong ke arah perpecahan.





Jumaat, 21 Disember 2012

K. Rajagopal letaklah jawatan

Harimau Malaya perlu perubahan


SETELAH gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki 2012, jurulatih Datuk K. Rajagopal tidak meletak jawatan sebaliknya mahu menumpukan Piala Asia bermula Februari ini.

Banyak pandangan diberikan terhadap prestasi pasukan Harimau Malaya dan cara Rajagopal mengendalikan pasukan tersebut secara keseluruhan selepas mengukir kejayaan pada 2010.

Selepas menjadi juara Piala AFF 2010 di Jakarta, tidak ada apa-apa kejayaan cemerlang diraih Rajagopal. Kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA, Jakarta 2011, adalah pasukan Harimau Muda di bawah jurulatih Ong Kim Swee.

Misi Rajagopal selepas Piala AFF 2010 ialah pusingan Kelayakan Piala Dunia - di mana pasukan negara diaibkan Singapura 5-3 dan seri 1-1 secara timbal balik.

Sejurus itu adalah rentetan siri perlawanan persahabatan yang menghambarkan dan tidak menggambarkan kualiti sebagai pasukan juara AFF. Dan inilah yang menjadi sasaran dan kritikan dari bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang mahu Rajagopal menghasilkan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Namun kecamannya itu telah memberi kesan sehingga beliau digantung dari memegang sebarang jawatan dalam badan induk FAM. Tetapi ternyata teguran Annuar Musa sudah pun menjadi kenyataan bila kita tersingkir di separuh akhir AFF 2012.

Kita bukan saja tersingkir dan gagal mempertahankan Piala AFF, malah diaibkan Singapura buat kali kedua 0-3 di hadapan para penyokong sendiri. Adalah suatu yang tidak menghairankan bila kita tewas pada pasukan Singa itu kerana sebelum itu pun kita hanya mampu seri 1-1 dengan Bangladesh.

Namun reaksi Rajagopal ketika itu dia faham dan kenal para pemainnya. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan momentum para pemain akan sampai dipuncak pada hari perlawanan sebenar. Apakah yang berlaku selepas itu ? Skrip dan cerita yang sama - persembahan seluruh pasukan di bawah tahap sebenar.

Cara pemilihan pemain juga dipersoalkan. Para pemain seperti Amar Rohidan dan Azmi Muslim sungguh mengecewakan. Zubir Azmi jelas masih gugup dan gementar. Lain-lain biasa saja. Senarai
 pemain perlu dirombak dan dibawa masuk para pemain berpengalaman yang tidak diberi peluang sebelum ini.

Apa pun Rajagopal lebih tahu cabaran yang perlu dihadapi diperingkat Asia cukup mencabar dengan saingan dari Qatar, Bahrain dan Yemen. Rajagopal dan pasukan yang sedia ada hari ini tidak mampu pergi lebih jauh jika tidak diperbaiki dan melakukan perubahan.

Walau apa pun pasukan Harimau Malaya perlu pada nafas baru bagi menghadapi cabaran seterusnya. Sebaiknya, Raja perlulah berundur kerana beliau telah diberi peluang secukupnya sejak 2010. Giliran orang lain pula mengalas cabaran 2013.

Sabtu, 15 Disember 2012

Tengku Razaleigh pasti calon di Gua Musang

Beliau akan akur keputusan parti

TENGKU Razaleigh Hamzah menyatakan beliau menyerahkan masa depannya pada Datuk Seri Najib Razak sama ada akan terus terpilih bertanding dalam PRU 13 ini.

Apa pun keputusan parti beliau tetap akan setia dan memberi sokongan penuh pada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tengku Razaleigh (Ku Li) adalah satu-satunya pemimpin sejak di era Tun Razak yang masih kekal di parlimen hingga kini. Yang lain-lainnya sama ada bersara dan meninggal dunia. Ku Li adalah sebaris dengan para pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Musa Hitam dan almarhum Tun Ghafar Baba.

Sudah hampir lima dekad dalam politik dari seorang Naib Presiden Umno paling kanan sehingga Menteri Kewangan seterusnya menjadi pencabar Dr. Mahathir bagi jawatan Presiden Umno. Namun kini Ku Li tidak mempunyai sebarang jawatan penting baik dalam parti atau kerajaan. Beliau juga tidak menduduki sebagai Ahli Majlis Tertinggi yang merangka dasar-dasar parti. Hanya satu jawatan yang dipegangnya dari dulu hingga sekarang iaitu Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Tetapi Ku Li seperti yang diketahui umum masih mempunyai hasrat dan cita-cita untuk menjadi Presiden Umno merangkap Perdana Menteri. Itulah sahaja jawatan yang diidamkannya sejak tahun 1981 bila dia tewas pada Tun Musa dalam jawatan Timbalan Presiden parti. Dan kemudiannya bergabung dengan Tun Musa menentang kepimpinan Dr. Mahathir.

Sejak kekalahannya pada Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden, pengaruhnya dalam parti semakin berkurangan dan terhakis. Tidak nampak yang beliau mampu bangkit dan berpengaruh sebagaimana pada awal 80an dahulu. Amatlah sukar baginya sekira dia masih mahu memegang sebarang jawatan tertinggi dalam parti.

Namun begitu kekuatannya di Gua Musang tidak dapat digugat oleh sesiapa hatta dari parti pembangkang Pas yang berkuasa di Kelantan. Umno sendiri menyedari kawasan parlimen Gua Musang adalah milik Ku Li. Tindakan memilih calon lain selain Ku Li di kawasan itu akan membawa padah. Satu kerusi amat berharga dalam PRU 13 ini. Umno pasti tidak akan mengambil risikonya.

Barangkali, Ku Li akan terus kekal di Gua Musang untuk satu atau dua penggal lagi. Pun begitu pengaruh dan kekuatannya hanya di situlah sahaja dan tidak akan lebih dari itu. Justeru jika beliau masih menyimpan hasrat mahu menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, ia tetap tinggal harapan sahaja dan sukar menjadi kenyataan.








Selasa, 11 Disember 2012

B.J. Habibie dengan Pak Lah senasib

Kepimpinan lemah dan singkat

BEKAS Presiden Indonesia selepas Suharto, B.J. Habibie, telah menjadi tetamu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diberikan penghormatan mengadakan ceramah di Universiti Selangor baru-baru ini.

Habibie adalah teman rapat Anwar. Ketika beliau menjadi Presiden menggantikan Suharto, Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri. Selepas Anwar dipecat dari kerajaan, Habibie menunjukkan sokongan dan simpatinya terhadap beliau.

Ekoran ceramah Habibie dan menjadi tetamu kehormat Anwar di negara ini ia telah mendapat respon dan kritikan dari Zainuddin Maidin (ZAM) dalam tulisannya di Utusan Malaysia pada 10 Dis. 2012, bertajuk, ' Persamaan B.J. Habibie dengan Anwar Ibrahim'.

Berikutan tulisan itu ia telah membangkitkan kemarahan Anwar. Namun Anwar dalam reaksi ringkasnya menempelak Zam,  dia tidak pula menjawab satu persatu fakta yang dibangkitkan Zam dalam tulisannya itu berkaitan Habibie dengan Anwar.

Antara poin yang tidak dapat disangkal ialah Habibie semasa berkuasa terpaksa tunduk desakan kuasa barat dengan mengadakan pungutan suara di wilayah Timor Timur dan memberi laluan wilayah itu merdeka serta terkeluar daripada republik itu. Dan juga mencatat sejarah sebagai Presiden Indonesia paling singkat memegang jawatan - satu tahun lima bulan. Dalam ertikata lebih luas, Habibie juga boleh dianggap sebagai Presiden paling lemah republik itu.

Bagi Zam, Anwar cuba meraih publisiti politik dengan hampirnya PRU 13 di atas kunjungan Habibie. Sedangkan pada Zam, kualiti kepimpinan Habibie ada persamaan dengan Anwar yang begitu cenderung pada IMF semasa negara menghadapi krisis kewangan pada 1997-98. Seperti kata Zam mereka berdua tidak lebih dari ' The Dog Of Imperialism.'

Dari sudut yang lain pula Habibie mungkin senasib Tun Abdullah Badawi sebagai pemimpin yang dianggap gagal semasa kepimpinannya. Sekiranya Habibie semasa berkuasa terpaksa tunduk dan melepaskan wilayah Timor Timur, Pak Lah pula menjadi faktor sumbangan ke atas prestasi terburuk Umno dan BN pada PRU 12, 2008.

Mereka berdua tidak lama sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Selasa, 4 Disember 2012

Pas tidak mungkin ganti UMNO

Kerusi ditandingi tidak sampai separuh

TAN SRI Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semasa merasmikan perhimpunan pergerakkan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2012 baru-baru ini menyebut betapa parti Pas tidak tahu mengira.

Beliau menyatakan sejak dahulu hingga sekarang jumlah kerusi parlimen yang ditandingi parti itu tidak pernah sampai separuh dari jumlah keseluruhan kerusi di parlimen. Jumlah kerusi semuanya kini 222.

Pas sering melaungkan bahawa ia akan ganti Umno. Bolehkah ia menggantikan Umno sedangkan kerusi yang akan ditandinginya paling banyak ialah antara 60 hingga 70 kerusi. Jumlah tersebut tidak sampai separuh jumlah 222 kerusi.

Umno adalah teras dan tunjang Barisan Nasional yang memerintah. Apakah Pas mampu menjadi parti utama dan dominan seperti Umno di dalam Pakatan Rakyat bersama dua rakannya PKR dan DAP ?

Seperti kata Muhyiddin, memang Pas tidak reti mengira. Kalau ia menang sebahagian besar kerusi itu sekalipun ia belum cukup kuat dan terpaksa tunduk pada PKR dan DAP. Sekarang ini pun Pas lebih banyak mengalah dan bertolak ansur pada dua rakannya itu semata-mata mahu menjaga kepentingan masing-masing.

Di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan jelas Pas seperti penumpang dan diperkudakan di dalam urusan pentadbiran negeri. Dalam hal tertentu Pas tidak mampu bersuara pada rakan sekutunya, terutama DAP. Setiap kali ia bersuara tentang hukum Islam dan sebagainya, kepalanya akan diketuk oleh Karpal Singh.

Ini baru dalam pakatan pembangkang dan belum lagi mereka menguasai Putrajaya. Sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya tidak akan ada sesiapa, terutama Pas yang mampu menjadi teras dan dominan, malah akan berlaku percakaran dan perebutan kuasa antara mereka.

Pas mahu ganti Umno, namun apa yang akan berlaku nanti ialah PKR dan DAP memperkudakan Pas bagi mendapat sokongan kaum melayu. Sikap Pas bila berdepan dengan Umno ia ibarat seperti singa yang buas. Tetapi bila ia berdepan dengan DAP ia seperti tikus takutkan kucing.

Umno adalah teras dan tulang belakang dalam BN. Ia tetap dominan dan menjadi peneraju utama di kalangan parti komponen. Walaupun Umno parti orang melayu dalam masa yang sama ia turut menjaga kepentingan kaum-kaum lain.

Pas tidak mungkin dapat ganti Umno. Yang tentunya DAP ganti Pas !

Ahad, 2 Disember 2012

Najib buktikan kepimpinannya

UMNO kembali pulih dan kuat

SELESAI sudah Perhimpunan Agung Umno 2012 yang penuh bersemangat dan yang terakhir sebelum menghadapi PRU 13 pada bila-bila masa dari sekarang sehingga April 2013.

PRU kali ini adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan masa depan Umno dan hala tuju negara. Selepas PRU 12 pada 2008 yang menyaksikan prestasi paling buruk Umno dan Barisan Nasional(BN) sejak merdeka dengan hilang majoriti dua pertiga serta empat buah negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Dalam suasana buruk dan lemah itulah Datuk Seri Najib Razak mengambilalih pimpinan Umno dan negara dari Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa berundur akibat tekanan dalam dan luar parti ekoran prestasi buruk Umno dan BN pada 2008.

Najib mengambilalih pucuk pimpinan dalam keadaan segalanya rosak dan punah hasil corak pimpinan Tun Abdullah yang boleh dianggap sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri paling lemah. Najib kurang bernasib baik berbanding dengan pemimpin terdahulu darinya kerana dia memikul dan menerima sebuah kerajaan lemah dan bermasalah.

Tidak seperti Tun Abdullah Badawi yang diserahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebuah parti dan kerajaan dalam keadaan kukuh dan kuat. Dan boleh dikatakan hampir tidak menghadapi banyak masalah atau isu besar yang perlu ditangani. Pak Lah hanya perlu meneruskan kesinambungan apa yang telah di rintis Dr. Mahathir.

Namun Pak Lah gagal. Dia ingin cuba stail lebih terbuka di bawah pimpinannya tetapi dia gagal mengawalnya sehingga memberi padah pada dirinya malah pada Umno dan BN. Justeru itu tempohnya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri tidak lama.

Begitu juga dengan Dr. Mahathir sendiri bila dia mengambilalih dari Tun Hussein Onn pada 1981, parti dan negara berada di dalam keadaan baik dan tersusun. Jadi mudahlah dia meneruskan kepimpinan sehingga membawa berbagai kejayaan sepanjang 22 tahun kepimpinannya.

Tetapi keadaan sedemikian tidak berlaku pada Najib. Najib menerima jawatan PM dari Pak Lah dalam suasana yang teruk dan rosak. Selepas PRU 12, 2008 Umno rosak teruk dan imej BN hancur. Semuanya kesan dari kelemahan pentadbiran sebelum Najib.

Dalam konteks ini bukan satu tugas mudah bagi seorang pemimpin dalam membaikpulih dan mengembalikan semula kekuatan parti dan ahli pada keadaan asalnya. Ia memerlukan kualiti dan sesuatu yang luar biasa bagi mencapai matlamatnya.

Hampir tiga tahun mengalas pimpinan parti dan negara, Najib telah buktikan pada semua keberkesanan stail kepimpinannya. Dengan segala pelan transformasinya yang sampai pada denyut dan nadi rakyat ia juga telah berjaya memulihkan semula kekuatan Umno dan BN yang tercalar pada 2008.

Dari riak Perhimpunan Umno 2012 yang baru selesai jelas Umno dan BN sudah siap sedia bagi menghadapi PRU 13. Semangat dan moral para ahli parti begitu tinggi bagi menebus kembali cerita duka pada 2008. Semua ini adalah hasil kecekapan Najib mengurus dan mentadbir dengan baik yang dibantu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib mampu dan layak meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri, apatah lagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak begitu ghairah menjadi PM. Dia lebih suka jadi nelayan. Mahu menangkap ikan katanya. Anwar Ibrahim pula tidak layak menjadi PM kerana masih diselubungi masalah akhlak dan peribadi.