Khamis, 10 Disember 2015

Anwar Desak Najib Sokong Mahathir Pada 1987

DATUK Seri Najib Razak menjelaskan pada tahun 1987 ketika Umno berpecah dua menjadi Team A dan B beliau mengambil pendirian terus kekal menyokong bersama Presiden parti Dr Mahathir Mohamad.

Team B dikepalai Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam.

Pada 1987 itu Najib adalah Pemangku Ketua Pemuda Umno, setelah Ketuanya, Anwar Ibrahim mengambil keputusan bertanding jawatan Naib Presiden.

Anwar dan Najib zaman Pemuda Umno

Sudah menjadi pengetahuan umum pendirian Najib itu dilakukan disaat-saat akhir setelah menerima tekanan daripada Anwar yang menguasai pergerakkan Pemuda. Sikap dan pendirian Najib diumumkan setelah hampirnya hari pertandingan jawatan. Sedangkan para pemimpin lain telah menyatakan pendirian dengan jelas sejak dari awal lagi.

Sokongan Najib tidak memberi impak besar pada kedudukan Dr Mahathir ketika itu. Kerana pada masa itu kedudukannya hanya Pemangku Ketua Pemuda. Sekiranya dia menyebelahi Team B kemungkinan besar dia tidak akan terpilih menerajui kepimpinan Pemuda.

Justeru sokongannya terhadap Dr Mahathir itulah memberi kekuatan dan sokongan dari kalangan ahli pemuda membuka laluannya ke jawatan Ketua Pemuda. Tambahan Anwar pula ketika itu penyokong Dr Mahathir paling kental. Sokongan Anwar terhadap Najib sedikit sebanyak membantu kedudukannya dalam pemilihan.

Tetapi andainya Najib memberi sokongan pada Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam, nasib politiknya akan hanyut seperti yang dialami Tengku Razaleigh.

Jadi sokongan Najib terhadap Dr Mahathir pada 1987 itu tidak perlu dibangkitkan. Ia banyak memberi kesan pada nasib Najib berbanding nasib Dr Mahathir.

Najib perlu berterima kasih pada Anwar kerana mempengaruhi keputusannya itu 28 tahun dahulu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan