Jumaat, 18 Disember 2015

PM Najib Semakin Tertekan

ISU 1MDB dan derma RM2.6 billion yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan mudah lenyap begitu sahaja. Ia tetap akan timbul walau pun ada usaha menutup dan mengawal isu ini dari terus menjadi fokus semua orang.

Umno dan kerajaan cuba menyakinkan rakyat bahawa dua isu ini akan diselesaikan. Dan kebenaran akan berpihak pada Datuk Seri Najib.


Tetapi setakat ini semakin penjelasan cuba diberikan ke atas isu-isu tersebut ia semakin bertambah timbul banyak persoalan. Lubang-lubang pada masalah ini semakin membesar dan sukar ditutup lagi. Ia seperti tidak mahu hilang dan pergi begitu sahaja.

Walau pun Najib terus kukuh sebagai Perdana Menteri dan Presdien Umno dengan sokongan padu wakil-wakil rakyat BN dan majoriti Ketua-ketua Bahagian Umno, namun lain pula dari sudut pandangan majoriti rakyat di bawah.

Selain dari menghadapi kenaikan kos sara hidup rakyat terus dihimpit dengan kemerosotan ekonomi negara yang memberi banyak kesan pada para peniaga. Kerajaan seolah hanya dapat memberi jaminan bahawa langkah-langkah akan diambil mengatasinya.

Semua itu hanya janji-janji sahaja sedangkan pada hakikatnya tidak banyak berlaku perubahan dibawah melibatkan rakyat terbanyak.

Apa yang lebih menyedihkan pada pandangan rakyat dibawah adalah gaya hidup para pemimpin politik sama ada di pusat atau negeri tidak membayangkan keperitan dan kesukaran yang dihadapi rakyat. Wang seolah ditabur sesuka hati dan masalah pembaziran tidak terkawal.

Bagaimana pula perasaan rakyat bila wang berbillion ringgit hilang entah ke mana tanpa bukti-bukti dan penjelasan yang jelas.

Dalam PAU baru-baru ini ada perwakilan Umno menggesa pada semua perwakilan agar tidak banyak mempersoalkan dari mana duit 2.6 billion itu. Dia meminta agar semua menerimanya sahaja tanpa banyak soal.

Begitulah keadaan mentaliti para pemimpin Umno yang menjadi tunjang kerajaan.

PM Najib memberi jaminan akan menyelesaikan isu 1MDB yang sarat dengan hutang walaupun baru beroperasi selama enam tahun. Beliau banyak menekankan dan memberi tumpuan pada soal rasionalisasi dan penstrukturan semula syarikat pelaburan itu.

Tetapi Najib tidak pernah memberi komitmen yang serius dalam usaha melakukan forensik audit terhadap 1MDB bagi mengenal pasti petualang-petualang yang telah mempergunakan 1MDB dan kerajaan demi kepentingan peribadi serta menyalahgunakan wang rakyat.

Penyelesaian isu 1MDB mesti dilengkapkan dengan tangkapan terhadap individu-individu yang telah pecah amanah dan salah urus tadbir dalam operasi syarikat itu.

Banyak persoalan belum terjawab berkaitan Jho Low, Riza Aziz dan lain-lain berkaitan 1MDB. Semuanya telah menjadi berita dunia.

Apa peranan Goldman Sachs dalam urusannya membantu 1MDB mendapatkan pinjaman bank serta pembayaran komisen yang diperolehinya yang dikatakan terlampau tinggi? Kenapa 1MDB membayar dengan harga yang mahal ?

Dalam suasana ini kedudukan Najib pada hakikatnya tidaklah begitu kukuh sebagaimana yang digambarkan. Sekiranya tekanan diteruskan momentumnya terutama dari ahli-ahli Umno akar umbi bukan mustahil negara akan mempunyai Perdana Menteri dan Presiden Umno yang baru sebelum PRU 14.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan