Isnin, 9 Februari 2015

Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak bersetuju

PARA pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat dan pertemuan pertama kali pada 8 Februari di Ibu pejabat Pas setelah hubungan antara tiga parti gabungan PKR, DAP dan Pas menghadapi ujian getir sejak PRU 13 lalu.

Bermula dengan isu pemilihan calon Menteri Besar Selangor, isu hudud dan pilihan raya berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang; hubungan PKR, DAP dengan parti Islam, Pas semakin meruncing dan tidak persefahaman. Masing-masing mempunyai sikap dan pendirian berbeza dalam mengharungi ketiga isu tersebut.
Hadi Awang "hilang" dalam sidang media

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka tidak menyenangi cara Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mengendalikan isu calon MB Selangor menerusi Langkah Kajang. Hadi secara terangan menolak Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lebih mengecewakan PKR dan DAP adalah sikap terus terang Hadi menganggap Dr Wan Azizah sebagai tidak layak dan tidak mampu memegang jawatan MB Selangor.

DAP pula secara terbuka menolak perlaksanaan hukum hudud yang menjadi 'nyawa' politik Pas. Dalam isu hudud, PKR kelihatan mempunyai pendirian sama dengan DAP.

Hubungan Pas dan DAP semakin panas dengan hasrat DAP mahu melaksanakan PBT di Pulau Pinang yang ditolak mentah-mentah daripada Presiden Pas, Abdul Hadi. Isu ini berlanjutan dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menuduh Lim Guan Eng berbohong dan mencabarnya berdebat.

Dengan segala perkembangan itu gabungan ketiga parti itu dalam Pakatan menimbulkan persoalan terutamanya dari DAP yang membidas Hadi Awang yang tidak menghadiri mesyuarat tertinggi PR selama setahun sejak PRU 13 lalu.

Jadi dengan segala hiruk pikuk dan perang mulut secara terbuka terutamanya DAP dan Pas, Anwar Ibrahim telah berusaha memulihkan keadaan dan persefahaman mereka menerusi satu mesyuarat yang diadakan di Ibu pejabat Pas pada 8 Februari. Ia juga dibuat sempena menunggu keputusan kes rayuan Anwar di mahkamah persekutuan pada 10 Februari ini.

Walau pun pertemuan pada 8 Februari itu berjaya diadakan dengan kehadiran penuh semua pemimpin ketiga parti namun ia kelihatan tidak banyak berhasil dari segi memulihkan hubungan antara mereka lebih-lebih lagi Pas.

Mereka bertemu sekadar ingin menunjuk pada dunia bahawa mereka masih berpakat dan bersatu. Sedangkan pada hakikatnya mereka bertemu bagi mengesahkan pendirian masing-masing bersetuju untuk tidak bersetuju dalam isu-isu pokok seperti hudud dan PBT.

Dan ini disahkan lagi dengan ketidakhadiran Abdul Hadi dalam sidang media selepas mesyuarat selesai. Kenapa Hadi menghilang ? Anwar kata Hadi terpaksa tergesa-gesa ke program lain. Ada pula jurucakap auta kelentong kata Hadi pergi solat Zohor. Dengan itu memberi maksud yang lain seperti Anwar, Mat Sabu, Mustafa Ali yang hadir sidang media tidak bersolat ?










Tiada ulasan:

Catat Ulasan