Khamis, 19 Februari 2015

Tan Sri Shafee paling layak berdebat kes Anwar

CABARAN peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang sanggup berdebat dengan sesiapa sahaja berkenaan keputusan kes liwat Anwar Ibrahim telah disahut oleh peguam dan juga Ahli Jawatankuasa Kuasa Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa meminta agar debat itu disiarkan secara langsung di RTM dan TV3.

Berita terbaru Naib Presiden PKR merangkap Setiausaha Agung parti, Rafizi Ramli turut sama menyahut cabaran Shafee dengan mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berdebat dengannya.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Kesanggupan Shafee untuk berdebat dengan sesiapa sahaja dalam kes Anwar itu sebagai menjawab segala tohmahan dan kritikan parti pembangkang, Majlis Peguam serta para penyokong Anwar terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.

Pada pandangan saya, orang yang paling layak dan berhak berdebat dipihak kerajaan adalah peguam Tan Sri Shafee. Dia lah yang berkemampuan dan paling utama dia mengetahui secara mendalam kes tersebut. Sebab itu dia berani mencabar sesiapa sahaja. Ertinya dia penuh bersedia.

Tidak kira lah siapa lawan debatnya itu nanti, apakah Hanipa atau Rafizi, tidak begitu penting.
Hanipa Maidin

Cuma Umno tidak boleh salah langkah dalam isu debat ini dengan memberi laluan pada Khairy supaya menyahut cabaran Rafizi. Ini bagi mengelak dari Umno terperangkap !

Isu Anwar bukan isu politik. Ia adalah isu undang-undang. Jika Khairy berdebat dengan Rafizi, adalah pasti pemimpin PKR itu akan memanipulasi dan mempolitikkan isu tersebut untuk kepentingan politik pembangkang. Dan orang awam akan semakin keliru.

Bukan niat untuk merendahkan kemampuan Khairy, tetapi Khairy sendiri mungkin tidak fakih dalam isu liwat ini berbanding peguam Shafee. Dia tidak menguasai sepenuhnya secara detail segala fakta dan bukti yang telah dibentangkan dalam mahkamah.
Rafizi Ramli

Berbeza dengan Shafee yang berjaya berhujah menangkis segala hujah para peguam Anwar yang terdiri dari 13 orang yang bukan calang-calang. Dia hanya seorang berjaya berdepan dengan 13 peguambela !

Selain Shafee berkeyakinan tinggi dan sanggup bersumpah dengan Quran dan di Mekah bahawa Anwar bersalah sebelum dia memikul tugas pendakwa dalam kes ini membuktikan dia sahaja lah orang paling tepat berdepan dengan pihak lawan.

Para pemimpin Umno, termasuk Presiden atau Ketua Pemuda; tidak payah campurtangan. Serahkan sahaja isu debat ini pada Tan Sri Shafee. Tidak ada ahli politik yang boleh memanipulasi kes ini sekiranya berdepan dengan peguam yang mempunyai bukti dan fakta yang melampaui keraguan munasabah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan