Sabtu, 15 Disember 2012

Tengku Razaleigh pasti calon di Gua Musang

Beliau akan akur keputusan parti

TENGKU Razaleigh Hamzah menyatakan beliau menyerahkan masa depannya pada Datuk Seri Najib Razak sama ada akan terus terpilih bertanding dalam PRU 13 ini.

Apa pun keputusan parti beliau tetap akan setia dan memberi sokongan penuh pada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tengku Razaleigh (Ku Li) adalah satu-satunya pemimpin sejak di era Tun Razak yang masih kekal di parlimen hingga kini. Yang lain-lainnya sama ada bersara dan meninggal dunia. Ku Li adalah sebaris dengan para pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Musa Hitam dan almarhum Tun Ghafar Baba.

Sudah hampir lima dekad dalam politik dari seorang Naib Presiden Umno paling kanan sehingga Menteri Kewangan seterusnya menjadi pencabar Dr. Mahathir bagi jawatan Presiden Umno. Namun kini Ku Li tidak mempunyai sebarang jawatan penting baik dalam parti atau kerajaan. Beliau juga tidak menduduki sebagai Ahli Majlis Tertinggi yang merangka dasar-dasar parti. Hanya satu jawatan yang dipegangnya dari dulu hingga sekarang iaitu Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Tetapi Ku Li seperti yang diketahui umum masih mempunyai hasrat dan cita-cita untuk menjadi Presiden Umno merangkap Perdana Menteri. Itulah sahaja jawatan yang diidamkannya sejak tahun 1981 bila dia tewas pada Tun Musa dalam jawatan Timbalan Presiden parti. Dan kemudiannya bergabung dengan Tun Musa menentang kepimpinan Dr. Mahathir.

Sejak kekalahannya pada Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden, pengaruhnya dalam parti semakin berkurangan dan terhakis. Tidak nampak yang beliau mampu bangkit dan berpengaruh sebagaimana pada awal 80an dahulu. Amatlah sukar baginya sekira dia masih mahu memegang sebarang jawatan tertinggi dalam parti.

Namun begitu kekuatannya di Gua Musang tidak dapat digugat oleh sesiapa hatta dari parti pembangkang Pas yang berkuasa di Kelantan. Umno sendiri menyedari kawasan parlimen Gua Musang adalah milik Ku Li. Tindakan memilih calon lain selain Ku Li di kawasan itu akan membawa padah. Satu kerusi amat berharga dalam PRU 13 ini. Umno pasti tidak akan mengambil risikonya.

Barangkali, Ku Li akan terus kekal di Gua Musang untuk satu atau dua penggal lagi. Pun begitu pengaruh dan kekuatannya hanya di situlah sahaja dan tidak akan lebih dari itu. Justeru jika beliau masih menyimpan hasrat mahu menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, ia tetap tinggal harapan sahaja dan sukar menjadi kenyataan.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan