Jumaat, 21 Disember 2012

K. Rajagopal letaklah jawatan

Harimau Malaya perlu perubahan


SETELAH gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki 2012, jurulatih Datuk K. Rajagopal tidak meletak jawatan sebaliknya mahu menumpukan Piala Asia bermula Februari ini.

Banyak pandangan diberikan terhadap prestasi pasukan Harimau Malaya dan cara Rajagopal mengendalikan pasukan tersebut secara keseluruhan selepas mengukir kejayaan pada 2010.

Selepas menjadi juara Piala AFF 2010 di Jakarta, tidak ada apa-apa kejayaan cemerlang diraih Rajagopal. Kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA, Jakarta 2011, adalah pasukan Harimau Muda di bawah jurulatih Ong Kim Swee.

Misi Rajagopal selepas Piala AFF 2010 ialah pusingan Kelayakan Piala Dunia - di mana pasukan negara diaibkan Singapura 5-3 dan seri 1-1 secara timbal balik.

Sejurus itu adalah rentetan siri perlawanan persahabatan yang menghambarkan dan tidak menggambarkan kualiti sebagai pasukan juara AFF. Dan inilah yang menjadi sasaran dan kritikan dari bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang mahu Rajagopal menghasilkan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Namun kecamannya itu telah memberi kesan sehingga beliau digantung dari memegang sebarang jawatan dalam badan induk FAM. Tetapi ternyata teguran Annuar Musa sudah pun menjadi kenyataan bila kita tersingkir di separuh akhir AFF 2012.

Kita bukan saja tersingkir dan gagal mempertahankan Piala AFF, malah diaibkan Singapura buat kali kedua 0-3 di hadapan para penyokong sendiri. Adalah suatu yang tidak menghairankan bila kita tewas pada pasukan Singa itu kerana sebelum itu pun kita hanya mampu seri 1-1 dengan Bangladesh.

Namun reaksi Rajagopal ketika itu dia faham dan kenal para pemainnya. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan momentum para pemain akan sampai dipuncak pada hari perlawanan sebenar. Apakah yang berlaku selepas itu ? Skrip dan cerita yang sama - persembahan seluruh pasukan di bawah tahap sebenar.

Cara pemilihan pemain juga dipersoalkan. Para pemain seperti Amar Rohidan dan Azmi Muslim sungguh mengecewakan. Zubir Azmi jelas masih gugup dan gementar. Lain-lain biasa saja. Senarai
 pemain perlu dirombak dan dibawa masuk para pemain berpengalaman yang tidak diberi peluang sebelum ini.

Apa pun Rajagopal lebih tahu cabaran yang perlu dihadapi diperingkat Asia cukup mencabar dengan saingan dari Qatar, Bahrain dan Yemen. Rajagopal dan pasukan yang sedia ada hari ini tidak mampu pergi lebih jauh jika tidak diperbaiki dan melakukan perubahan.

Walau apa pun pasukan Harimau Malaya perlu pada nafas baru bagi menghadapi cabaran seterusnya. Sebaiknya, Raja perlulah berundur kerana beliau telah diberi peluang secukupnya sejak 2010. Giliran orang lain pula mengalas cabaran 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan