Jumaat, 23 Oktober 2015

Hillary Clinton Di Soal Siasat Di Capitol Hill

HILLARY CLINTON, calon Presiden Amerika dalam pemilihan November 2016 dan bekas Setiausaha Negara dari 2009-2013 kini sedang berdepan soal siasat dengan para ahli kongres Republikan di Capitol Hill berkaitan peristiwa pembunuhan Benghazi 2012 di kedutaan Amerika di Libya.

Dalam peristiwa serangan itu telah mengorbankan empat warga Amerika termasuk Dutanya, Christopher Stevens. Isu ini hangat ekoran timbul persoalan mengenai tahap keselamatan di Kedutaan Amerika ketika itu. Tambah merumitkan isu ini betapa sebelum kejadian serangan itu Duta Stevens telah memohon tahap keselamatan di kedutaan itu dipertingkatkan.

Hillary Clinton

Clinton sebagai bekas Setiausaha Negara di bawah pentadbiran Presiden Obama dituduh pihak Republikan sebagai gagal menunaikan tanggungjawab keselamatan pada para pegawainya di Libya dan bertanggungjawab di atas kelemahan ekoran peristiwa serangan tersebut.

Pihak parti Republikan menafikan usaha soal siasat isu Benghazi 2012 adalah satu langkah politik bagi menghalang usaha Hillary bertanding jawatan Presiden pada November 2016. Malah mereka mendakwa mahu mengenal pasti punca kelemahan di Jabatan Negara agar tidak berulang. Dan ini tentunya mempersoalkan kemampuan dan kewibawaan Hillary sebagai Setiausaha Negara.

Sessi soal siasat itu berlangsung mengambil masa berjam-jam tanpa henti dengan Hillary terpaksa berdepan dengan jumlah berbelas ahli parti Republikan yang menyoal secara bertubi-tubi tanpa henti. Sehingga pada satu ketika suara Hillary tersekat-sekat dan batuk tidak bersuara.

Namun para penganalisis politik berpendapat Hillary dianggap berjaya dalam sessi soal jawab ini kerana dia berjaya menjawab semua soalan dengan tenang dan tidak menunjukkan sebarang perasaan gentar. Hillary pada kesimpulannya mengakui apa yang terjadi di Benghazi itu adalah tanggungjawabnya dan sesuatu yang boleh berlaku pada sesiapa sebagai Setiausaha Negara.

Itu apa yang berlaku di Amerika. Moral ceritanya seorang pemimpin berwibawa mampu dan berani berdepan para penyiasatnya tanpa memberi alasan-alasan remeh bagi mengelak disoal siasat.

Tetapi di Malaysia para pemimpin politik kelihatan sering mengelak dengan berbagai alasan untuk tidak disoal siasat pihak-pihak tertentu. Seolah sebarang siasatan dan soalan adalah sesuatu yang rahsia tahap sulit dan menakutkan.

Lebih mendukacitakan parlimen sebagai dewan rakyat pun tidak lagi menjadi tempat mencari jawaban atas sesuatu perkara kerana ada pihak berjaya menghalang soalan-soalan tertentu dari ditimbulkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan