Jumaat, 1 Jun 2012

Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat ?

Tiada pihak perolehi dua pertiga

DATUK MUSTAFA ALI, Setiausaha Agung PAS telah meramalkan keputusan PRU 13 kali ini akan diperolehi secara majoriti mudah; sama ada BN atau PR. Tidak ada pihak yang akan mendapat majoriti dua pertiga.

Beliau yakin sokongan rakyat terhadap PR semakin meningkat dan tidak akan ada calon yang akan hilang deposit seperti 2008.

Pandangan Datuk Mustafa itu adalah serius dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Sekiranya senario itu benar berlaku maka negara ini akan menempoh satu era baru dalam pemerintahan sejak negara merdeka.

Jika ditakdirkan PR yang memerintah dengan kelebihan majoriti mudah atau kecil; apakah mereka yang tidak mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan pusat mampu bertahan dan mengurusnya dengan baik ?

Apa yang pasti kerajaan pusat yang memerintah dengan hanya bersandarkan kelebihan kerusi yang kecil boleh mengundang berbagai masalah dan kesulitan. Yang tentunya berlaku kemungkinan ahli-ahli yang melompat ke pihak lawan. Keadaan akan bertambah kalut dengan pendirian DAP dan PAS yang sering mempunyai pendirian berbeza dalam ideologi masing-masing seperti yang telah berlaku.

Akhirnya kita akan melihat sebuah kerajaan yang akan menghabiskan banyak masa dalam soal politik dan politiking. Dalam sebuah negara demokrasi; sebuah kerajaan yang lemah dan pembangkang yang terlalu kuat tidak akan memberi sebarang kebaikan pada rakyat.

Kerajaan yang lemah akan hanya menumpukan perhatian terhadap kritikan dan serangan dari pembangkang dan sedaya upaya cuba mempertahankan kerajaan agar tidak tumbang dan diambilalih pihak pembangkang.

Manakala jika BN berjaya kekal memerintah tetapi dengan majoriti kecil ia juga akan menimbulkan masalah yang sama. Tidak ada apa yang boleh dilakukan dengan kuasa yang terbatas dan terhad. Ini bertambah buruk sekiranya UMNO sebagai tunjang BN kehilangan banyak kerusi di parlimen.

Dengan hilang banyak kerusi - UMNO sudah pasti akan menerima berbagai tekanan dan tuntutan dari parti-parti komponen bukan melayu dalam BN. Justeru soal perkauman akan semakin menebal dan mempengaruhi suasana politik negara.

Apa sahaja keputusan PRU 13 nanti semestinya kemenangan yang besar buat BN atau PR - walaupun tidak mencapai majoriti dua pertiga - sebagai satu jaminan kerajaan yang ditubuhkan adalah kuat dan stabil bagi kesejahteraan seluruh rakyat. Yang penting ia tidak akan tumbang sekiranya ada satu atau dua ahli yang melompat parti.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan