Isnin, 14 November 2011

Harimau - Garuda - ujian sebenar




BOLASEPAK SUKAN SEA:


MALAYSIA akan melawan Indonesia pada 17 Nov. bagi menentukan
siapa juara kumpulan setelah keduanya sudah sebelah kaki berada di separuh
akhir.

Setakat ini dalam peringkat kumpulan hanya pasukan Harimau dan Garuda
sahaja yang belum tewas. Singapura, Thailand dan Kemboja yang berada
dalam kumpulan yang sama telah pun mengalami kekalahan masing-masing.

Dari segi kiraannya, Harimau dan Garuda akan mengisi dua slot ke separuh
akhir. Pertemuan Khamis ini bagi menentukan pasukan mana menjuarai
kumpulan bagi pertemuan separuh akhir dengan dua pasukan lagi; Vietnam
dan Myanmar.

Kelmarin pasukan Harimau menewaskan Kemboja 4-1, manakala Indonesia
memusnahkan harapan Thailand dengan menundukkan pasukan gajah putih itu
dengan 3-1.

Kekuatan Indonesia akan diuji sebenarnya bila mereka berhadapan dengan
Harimau Khamis ini kerana dalam perlawanan sebelum ini iaitu menentang
Singapura; pasukan Singa itu bermain 10 orang akibat kad merah. Indonesia
menang 2-0.

Begitu juga semasa menentang Thailand - Indonesia menang 3-1 setelah
Thailand bermain dengan sembilan pemain. Dua pemain gajah putih itu telah
dibuang padang kerana kesalahan dua kad kuning dan kekasaran.

Jadi dalam dua perlawanan tersebut ia tidak memberi gambaran sebenar
kekuatan pasukan Indonesia.

Begitu juga Malaysia semasa mengalahkan Kemboja. Mereka bermain
sambil lewa, terutamanya dalam separuh masa kedua sehingga Kemboja
memperolehi gol tunggal.

Pertemuan Harimau - Garuda Khamis ini tentunya menarik dan banyak
perhitungannya. Garuda sudah tentu ingin melangsai maruahnya yang tercalar
di Piala AFF yang lalu. Harimau pula tidak akan melepaskan kilauan emas
dalam genggamannya dua tahun lalu.

Apa pun diharap tidak ada lagi kad merah dilayang semasa pertemuan
dua 'musuh ketat' ini sebagaimana dalam perlawanan Indonesia melawan
Singapura dan Thailand.

Sekiranya insiden sama berlaku dalam pertemuan Khamis ini tentulah
perlawanan menjadi tidak menarik dan seimbang.

Para pemain Harimau perlu bijak melayani provokasi pemain lawan
dan tidak terperangkap dengannya.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan