Jumaat, 25 November 2011

Terkenang Kevin Keagan bersama Harimau



HAMPIR empat dekad lalu mungkin ramai masih mengingati
dalam Kejohanan Pesta Bola Merdeka di Kuala Lumpur, lagenda
England dan Liverpool, Kevin Keagan, menjadi kesebelasan utama
skuad Harimau Malaysia sebagai pemain jemputan.

Dalam kejohanan tertua di Asia Tenggara itu, Malaysia diwakili
dua pasukan; senior dan skuad Harimau. Pasukan senior diketuai oleh
Soh Chin Aun, manakala hampir semua pemain Harimau terdiri dari
para pemain muda.

Antara pemain muda itu ialah Azlan Johar, bekas pemain Selangor
dan kini menjadi pengulas sukan di stesen media swasta. Azlan telah
bergandingan dengan Kevin Keagan di bahagian serangan dalam skuad
Harimau itu.

Kevin Keagan pula dikhabarkan telah menerima bayaran dari FAM
sebanyak RM 200,000 sebagai ganjaran menjadi pemain jemputan
dalam pasukan Harimau.

Langkah FAM mengundang Keagan pada masa itu ialah antaranya
memberi bimbingan pada skuad muda tersebut dan sebagai tarikan
pada para peminat Pesta Bola Merdeka yang kini telah pun lenyap
dari kalendar bola sepak negara.

Ada beberapa peristiwa menarik sepanjang Keagan bermain untuk
Harimau. Antaranya, pasukan Korea Selatan telah membantah kehadiran
Kevin Keagan bermain untuk pasukan Harimau. Namun bantahan itu
dapat diselesaikan dengan baik di atas faktor Pesta Bola Merdeka
hanyalah satu kejohanan jemputan.

Dan paling melucukan semasa Keagan dalam skuad Harimau ialah
bila saja bola ada dikaki pemain Harimau; semuanya akan berusaha
menghantar bola itu kepada Keagan yang memakai nombor 7 (nombor
kegemarannya). Jenuh juga lagenda itu menerima bertali arus hantaran
dari setiap penjuru. Seolah bila dapat bola ia mesti 'passing' pada Keagan.

Saya tidak berapa ingat lain-lain peristiwa menarik semasa kejohanan
tersebut kerana ia sudah terlalu lama. Tambahan pula saya tidak kuat mengingat.
Barangkali, Azlan Johar yang masih ada boleh banyak menceritakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan