Ahad, 27 November 2011

Dari pertahanan menjadi penyerang



DALAM final bola sepak di Sukan SEA antara Malaysia dan Indonesia
baru-baru ini, Ong Kim Swee telah membuat perubahan posisi pemain
yang telah memberi kesan yang positif.

Pemain bek kiri, Asraruddin Omar telah diberi peranan sebagai pemain
sayap kiri menggantikan Fandi Othman. Perubahan dari seorang pemain
pertahanan bergerak ke atas sebagai pemain penyerang adalah satu
percubaan berani dari Kim Swee.

Hasilnya dalam final tersebut sekurang-kurangnya terdapat tiga tandukkan
Asraruddin yang tersasar di depan gol lawan. Namun tandukkan diminit 35
berjaya menghasilkan gol penyamaan setelah Malaysia ketinggalan 0-1.

Selain menghasilkan gol, Asra juga telah banyak memainkan peranan
menyerang disebelah kiri kubu lawan. Perubahan posisi ini memang
berbaloi.

Selepas ini apakah jurulatih Selangor dan kebangsaan akan terus meletakkan
Asra sebagai penyerang atau kembali ke posisi asalnya; bek kiri ?

Apa yang berlaku pada Asraruddin ini hampir sama terjadi kepada bekas
striker kebangsaan Zainal Abidin Hassan semasa era kegemilangannya dulu.

Zainal asalnya adalah seorang pemain bek kanan. Bekas jurulatih negara,
Frank Lord dari England adalah orang yang bertangungjawab menukar posisi
Zainal dari seorang pemain pertahanan pada pemain penyerang.

Alasan Frank Lord pada masa itu ialah beliau kagum melihat Zainal,
sebagai pemain pertahanan boleh mengelecek pemain lawan dalam kawasan
sendiri. Selepas itu semuanya menjadi sejarah. Zainal telah berjaya menjadi
seorang striker utama dan disegani di rantau ini.

Apakah ini akan berlaku sama pada Asraruddin Omar ? Hanya Irfan Bakti,
Ong Kim Swee dan Datuk K.Rajagopal sahaja dapat menentukannya.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan