Rabu, 23 November 2011

Harimau Muda tebus maruah negara



PENGURUS skuad Harimau Muda, Datuk Hamidin Mohd Amin
menyatakan Malaysia akan menghantar bantahan rasmi kepada
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tentang layanan buruk
yang diterima pasukan negara di Sukan SEA yang baru berakhir.

Ini bukan kali pertama layanan seperti ini berlaku bahkan semasa
Piala AFF Suzuki, Disember lalu pasukan negara mengalami
peristiwa yang sama; terpaksa naik Barracuda dan berbagai tindakan
yang keterlaluan dari penyokong fanatik Indonesia.

Tetapi setelah selesai Piala AFF, FAM ada menghantar bantahan
kepada AFC, namun sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan
terhadap Persatuan Bola Sepak Republik itu.

Maka itulah insiden sama berlaku lagi di Sukan SEA baru lalu.
Bukan pasukan bola sepak negara sahaja yang menerima layanan
buruk, malah seluruh kontijen negara dilayan seperti 'musuh' dan
'penjenayah'.

Sikap melampau sebahagian besar rakyat Indonesia yang tidak
menghormati lagu kebangsaan negara dan lain-lain tindakan
yang mencerminkan mereka tidak mempunyai pendidikan sivik
yang sempurna. Bak kata pepatah Inggeris ' It is too much '.

Apa yang lebih mendukacitakan pemerintah Indonesia tidak
pernah mengeluarkan kenyataan kekesalan apa yang berlaku,
apatah lagi memohon maaf.

Sebagai sebuah negara yang bermaruah, Malaysia perlu
mengambil tindakan mengikut saluran dan peraturan yang ada
sebagai pengajaran kepada republik itu agar ia tidak berulang.

Langkah Datuk Hamidin merangkap Naib Presiden FAM,  melaporkan
pada AFC adalah kena pada masanya. Kita berharap ada respon
dan tindakan susulan dari badan itu agar mengenakan tindakan
dan hukuman pada Persatuan Republik itu di atas apa yang berlaku.

Dalam konteks ini, istilah serumpun sebangsa sudah tidak relevan
dan terpakai lagi. Negara dan pemerintah republik itu harus
dipertanggungjawab dan tidak boleh terlepas begitu sahaja.

Namun disebalik provokasi dan layanan buruk serta sikap angkuh
rakyat republik itu terhadap kontinjen negara bagaikan terubat dengan
patahnya sayap Garuda dek dibaham Sang Harimau dalam penentuan
pingat emas dalam acara bola sepak yang dianggap sebagai ' Ibu segala
pingat'. Harimau menang 4-3 dan juga 1-0 diperingkat kumpulan. Dua
pertemuan, dua kemenangan buat pasukan Harimau Muda.

Seperti kata jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, yang telah
membakar semangat para pemainnya sebelum turun padang di final;
antara pesanan azimatnya;

                         " Saya kata kepada para pemain, inilah masanya
                            kita MENGAJAR Indonesia. Tindakan penyokong
                            Indonesia itu membuktikan mereka tidak menghormati
                            raja kita, lagu kebangsaan kita, bendera kita dan ahli
                            keluarga."

Sesungguhnya Harimau Muda telah pun menyempurnakan amanat dan
harapan negara. Mereka cukup membanggakan seluruh bangsa Malaysia.
Semoga Harimau terus mengaum !














































































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan