Ahad, 30 Jun 2019

Zahid Hamidi Tiada Pilihan Mesti Letak Jawatan Presiden Umno

Presiden Umno, Zahid Hamidi kini menghadapi lebih 87 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Zahid telah pun bercuti sejak Disember tahun lalu sebagai Presiden parti kerana faktor ramainya pemimpin Umno mengugut keluar parti mahu menyertai parti Bersatu.

Mereka kurang yakin dengan kepimpinan Zahid sebagai Presiden parti.

Tugas Presiden kini diambil alih Mohamad Hasan atau Tok Mat, Timbalan Presiden.

Sejak Tok Mat memangku jawatan Presiden parti kelihatan parti Umno semakin pulih imej dan memenangi beberapa pilihan raya kecil. Suasana dalam parti dilihat stabil jika dibandingkan semasa Zahid.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Namun selepas hampir tujuh bulan percutian Zahid, ada tanda-tanda Zahid mahu kembali memikul tugas Presiden. Zahid kini sedang menguji tahap sokongan dan reaksi akar umbi ahli parti.

Masalahnya, Zahid kini sedang menghadapi lebih 87 pertuduhan kes rasuah di mahkamah. Satu jumlah pertuduhan yang lebih banyak berbanding pertuduhan yang dihadapi Najib Razak.

Yang peliknya ahli-ahli Umno seperti bisu dan pekak serta tidak berani bersuara mengenai kes yang dihadapi Zahid.

Ini berlaku seperti bisu dan pekaknya mereka mengenai isu 1MDB semasa Najib berkuasa. Majoriti mereka tidak bersuara.

Akhirnya parti Umno ditimpa malapetaka dalam Pru 14 lalu yang menyaksikan Umno kehilangan kuasa selepas 60 tahun berkuasa.

Nampaknya ia tidak memberi sebarang pengajaran berguna pada ahli parti.

Kes Zahid adalah jelas dan terang ia tidak memberi imej positif pada parti.

Sekiranya Zahid sayangkan parti Umno dia perlu melepaskan jawatan Presiden parti secepat mungkin.

Zahid perlu utamakan parti daripada kepentingan peribadinya. Sekiranya kesnya selesai dan dia berjaya bersihkan dirinya dari semua pertuduhan dia boleh kembali memegang jawatan parti melalui proses parti.

Sudah cukup skandal 1MDB memakan diri Najib, malah Umno dan Barisan Nasional.

Zahid tidak perlu tunggu lama membuat keputusan. Dia tiada pilihan melainkan hanya memberi laluan pada Tok Mat sebagai Pemangku Presiden Umno sehinggalah pemilihan jawatan parti yang baru dapat diadakan. 

Rabu, 8 Mei 2019

PAS : Antara Pemimpin Atas Pokok Dan Pengikut Di Bawah Pokok

Kerajaan negeri Klate Serambi Mekah telah mengeluarkan arahan semua kedai makan di negeri tersebut diperintah tutup dari 8.30 malam sehingga 10.00 malam.

Ini bagi menghormati bulan ramadhan dan memberi ruang untuk melakukan ibadah tarawih.

Surat arahan itu dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada semua pihak berkuasa tempatan.


Surat bertarikh 6 Mei itu tidak sampai 24 jam telah mendapat respon dan reaksi balas orang ramai yang mengecam arahan separuh masak tersebut. Ia dikira sebagai tidak munasabah dan menyusahkan.

Soalnya kenapa arahan itu hanya pada para peniaga kedai dan warung yang sebahagian besarnya berpendapatan rendah dan sederhana ??

Apa yang jelas kedai-kedai makan di gedung-gedung besar seperti pasar raya, Mall,  Kfc, Mc Donald dan lain-lain tidak terlibat.

Sekiranya arahan ini berkuatkuasa nampaknya orang melayu yang berniaga secara kecilan akan bertambah miskin! Kedai-kedai makan di pasar raya pula mengaut keuntungan.

Apa hal pula dengan stesen minyak, para pengawal keselamatan dan seumpamanya - kena berhenti operasi juga dari 8.30 hingga 10 malam??

Adoi... nampaknya mereka yang membuat keputusan ini terdiri dari mereka yang tidak pernah rasa hidup susah. Dan tidak mengerti kehidupan orang biasa-biasa.

Setakat ini surat arahan itu belum lagi ditarik balik setelah mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Teringat pada bulan lepas seorang pemimpin tinggi Pas berkata,  para ahli parti kena ikut sahaja apa yang disarankan oleh pemimpin parti.

Kerana katanya,  ibarat pemimpin, dia nampak apa yang ahli tidak nampak.  Sebab dia pemimpin ibarat duduk di atas pokok. Dan ahli/pengikut berada dibawah pokok.

 Jadi pengikut tak nampak apa yang pemimpin atas nampak. Sebab pengikut berada dibawah pokok.  Hehehe...

Itulah tamsilan yang dibuat pemimpin negeri Serambi Mekah tersebut.

Dalam kes surat arahan di atas kita menggesa para pemimpin negeri Klate itu agar turun dari atas pokok dan merasakan sendiri apa yang berlaku di bawah pokok.

Hehehe....




Ahad, 28 April 2019

Anwar Ibrahim Tidak Mahu Jawatan Menteri Kewangan Ganti Lim Guan Eng

Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri ke 8 menggantikan Dr Mahathir bila genap dua tahun seperti yang disepakati kedua pemimpin tersebut. Baki tempoh peralihan itu kini tinggal lebih kurang setahun sahaja lagi.

Dr Mahathir mengulangi dia akan menyerahkan jawatan PM pada Anwar dan tetap menunaikan janji.

Anwar Ibrahim

Lagi pun berapa lama Mahathir akan memegang jawatan PM sedangkan usianya menjangkau 94 tahun. Dari segi logiknya tempoh dua tahun adalah munasabah dan tidak mungkin masa dilanjutkan lagi.

Mudah-mudahan DrM dilanjutkan usia dan terus sihat dalam menjalani kehidupan lanjut usianya itu.

Rakyat pula tentu menunggu penuh harapan Anwar sebagai pengganti tidak akan mengecewakan dalam meneruskan misi memulihkan negara dalam setiap bidang terutama ekonomi yang melibatkan rakyat peringkat bawah dan pertengahan.

Stail kepimpinan Dr M dan Anwar sudah tentu ada perbezaan. Dr M lebih kelihatan keras, agresif dan berterus terang dalam menyampaikan dan melaksanakan sesuatu.

Manakala Anwar saya kira agak sedikit diplomatik. Ini dapat dilihat bagaimana keduanya mengendali isu hubungan negara dengan Singapura dan pihak Istana.

Namun apa pun boleh difahami sikap Anwar itu adalah faktor kerana dia berada diluar kabinet dan sebagai bakal pengganti PM. Justeru itu dia perlu lebih berdiplomatik dan tidak menimbulkan sebarang kontroversi.


Apa pun Anwar telah melakukan kesilapan baru-baru ini bila dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak sanggup menjadi Menteri Kewangan pada masa ini menggantikan Lim Guan Eng kerana keadaan ekonomi dan tabung negara berada dalam keadaan sukar.

Anwar memberi contoh semasa dia menjadi Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 pertumbuhan ekonomi negara adalah lebih 9 peratus. Tetapi kini hanya 4.5 peratus.

Ertinya keadaan sekarang adalah berat dan tugas Menteri Kewangan amat mencabar.

Oleh itu maksud Anwar , dia tidak sanggup pikul beban tersebut dan enggan menjadi Menteri Kewangan sekiranya diberi peluang.

Anwar silap.  Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan begitu. Ia seolah-olah tidak mahu menghadapi cabaran dan beban. Sebagai bakal pemimpin nombor satu dia tidak boleh mengelak dan lari dalam menghadapi masalah dan cabaran.

Anwar tidak pula menyatakan yang dia tidak mahu menjadi PM ke 8 disebabkan faktor yang sama.

Apakah menjadi Menteri Kewangan itu lebih berat dan mencabar dari jawatan PM?











Selasa, 12 Mac 2019

Dr Mahathir Adalah Salah Satu Punca Nasib MAS Hari Ini

Dr Mahathir berkata kerajaan akan membuat keputusan kedudukan syarikat penerbangan Malaysia (MAS). Adakah MAS akan dijual, ditutup terus atau dipulihkan semula - refinance, akan dapat diketahui setelah kajian selidik dibuat.

Umum mengetahui MAS terus mengalami kerugian walau pun usaha pemulihan dan tambahan modal telah beberapa kali dilakukan.

Kini MAS yang dikuasai Khazanah Nasional seolah menemui jalan buntu mencari formula bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia Airlines pada suatu masa dahulu.

Apa pun MAS adalah aset dan kebanggaan negara sebagai syarikat penerbangan nasional. Apakah kita sanggup melihat ia ditutup begitu sahaja?

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

Perlu diingat sebelum MAS diswastakan pada tahun 1994, ia adalah sebuah syarikat penerbangan yang berjaya dan menguntungkan dibawah pengurusan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. Imej MAS begitu popular di dunia penerbangan.

Namun setelah ia diswastakan dan dijual pada ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli, MAS tidak bertahan lama dipuncak dan mulai mengalami kerugian.

Idea MAS dijual pada Tajudin Ramli yang juga pengasas Celcom, tidak lain dari Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri waktu itu. Khabarnya, Mahathir meminta Tajudin membeli MAS sebagai "tanggungjawab nasional".

Selepas Tajudin telah bertukar beberapa kali pengurusan sehingga hari ini - MAS terus dirundung malang. Akaun MAS berterusan berwarna merah!

Sebagai orang yang terlibat secara langsung menswastakan MAS dahulu, Dr Mahathir tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.  Dia perlu menyelamatkan syarikat itu dari berkubur tanpa nisan.

Soalnya kenapa sebelum MAS diswastakan dan dibawah pengurusan Tan Sri Abdul Aziz ia adalah syarikat yang berjaya dan menguntungkan.  Tidak ada masalah kerugian seperti yang dialami 15 tahun terakhir ini.

MAS adalah syarikat penerbangan dunia yang berjaya sekitar 1980an sehinggalah ia dijual pada swasta.

Bekas pengurusnya Tan Sri Aziz pernah memohon pada kerajaan agar ia diberi peluang mengambil alih pengurusan MAS melalui satu konsortium bagi menyelamatkan MAS namun cadangannya itu ditolak kerajaan.

Kenapa Khazanah tidak mengambil Tan Sri Aziz bagi membantu memulihkan syarikat tersebut ?

Kenapa sebelum ini Khazanah lebih sanggup mengambil orang luar atau Mat Salleh sebagai CEO MAS? Terbukti langkah tersebut menemui kegagalan dan menimbulkan banyak masalah.

Dr Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah perlu teliti dan perhalusi dalam membuat keputusan berkaitan masa depan MAS.

Kerana dia tidak boleh elak sebagai antara orang yang bertanggungjawab menjadikan MAS seperti yang berlaku hari ini. 

Zahid Hamidi Tiada Pilihan

Presiden Umno, Zahid Hamidi yang sedang bercuti dari tugas Presiden sejak Disember lalu kemungkinan besar akan melepaskan jawatan tersebut pada Timbalannya, Mohamad Hasan yang kini memikul tugas Presiden parti.

Zahid yang kini kurang popular tidak mempunyai pilihan.  Sama ada serah jawatan atau disingkirkan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Ahli MT Umno boleh membuat keputusan dalam mesyuarat khas MT.

Dengan suasana perkembangan politik negara kini tidak mungkin dan mustahil bagi Zahid Hamidi kembali memimpin Umno.

Pertamanya, Timbalannya Tok Mat Hasan berjaya memikul tugas Presiden dengan berkesan semenjak Zahid bercuti.

Keduanya, Zahid perlu menumpukan kes pertuduhan terhadapnya di mahkamah melibatkan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketiga, kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen telah pun diambil alih oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno.

Berdasarkan senario ini, Zahid dilihat tidak lagi relevan dan diperlukan parti buat masa ini.

Soalnya apakah Zahid perlu menunggu ahli parti membuat keputusan dan tindakan terhadap kedudukannya?

Zahid kini bukan lagi Ketua Pembangkang di Parlimen. Dia juga hanya menjadi Presiden Umno pada nama sahaja sedang hakikatnya, Tok Mat Hasan lah kini sedang menerajui parti Umno.

Bagi menjaga air muka dan maruah, Zahid perlu cepat bertindak dengan mengundur diri dan melepaskan jawatan Presiden parti.

Dia boleh kembali selepas dia mampu bersihkan namanya ke atas semua pertuduhan di mahkamah nanti. 

Rabu, 13 Februari 2019

Lebai Nik Abduh : Nak Malu Apa Boh Ku...

Semasa kempen Pru14 lalu, Nik Abduh Nik Aziz menafikan dengan sekerasnya audio yang tersebar luas adalah suaranya yang antara lain mengakui parti Pas menerima wang dari Umno.


Audio itu telah dihantar ke luar negara untuk dianalisis bagi menentukan ketulenannya. Keputusannya audio itu adalah asli dan ia sahih suara Nik Abduh.

Tetapi kerana lebai Nik Abduh menafikannya dan dia pula adalah pemimpin parti Isle, maka sebahagian besar terutama ahli-ahli Pas menerima kenyataan dia itu sebagai benar.

Namun hari ini kantoi bila lebai Nik Abduh mengaku yang sebenarnya dalam audio itu adalah suaranya. Dia mengaku telah berbohong dengan menafikannya pada umum.

Alasannya lagi dia berbuat begitu setelah mendapat restu daripada Tuan Presiden, Hadi Awang. Ertinya Hadi Awang mengarahkannya agar menafikan dan berbohong bagi menjaga imej parti.

Ada dua perkara di sini perlu diberi perhatian.

Pertama dia bertindak bodoh menafikan audio itu adalah suaranya. Kerana umum mengetahui ia adalah audio tulen. Dan pakar luar negara telah mengesahkannya.

Kedua dia kelihatan seperti lebai bahalol bila mengaku pula Tok Gurunya menyuruh agar berbohong kerana demi muslihat parti.

Mula-mula nafi dan kemudian mengaku sebaliknya.

Adoi.. Pak Lebai... Nak malu apa boh ku!! 

Khamis, 7 Februari 2019

Zahid Hamidi Kena Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno

Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata parti akan memilih calon Ketua Pembangkang yang baru di Parlimen menggantikan Zahid Hamidi yang sedang bercuti sebagai Presiden Umno sejak Disember lalu.

Setakat ini tidak jelas siapakah calon yang sesuai dan layak memikul tugas sebagai Ketua Pembangkang.

Mantan PM Najib Razak telah pun menolak cadangan setengah pihak untuk memilihnya sebagai pengganti. Kerana baginya yang utama sekarang beliau mahu menumpukan perhatian membersihkan namanya di mahkamah ke atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Pemangku Presiden Mohamad Hasan pula terkeluar dari senarai calon kerana beliau bukan ahli Parlimen.

Apa pun isu calon Ketua Pembangkang yang baru ini sekaligus memberi gambaran masa hadapan politik Zahid Hamidi semakin suram.

Zahid Hamidi

Walaupun sebelum ini Zahid ada memberi bayangan bahawa dia akan kembali sebagai Presiden Umno sekiranya Mohamad Hasan mengira sudah sampai masa dia menyerahkan kembali jawatan Presiden parti yang dipangkunya sekarang.

Tetapi memandangkan suasana dan perkembangan politik negara sekarang ia tidak mungkin berlaku.

Mohamad Hasan

Sejak Mohamad Hasan mengambil alih tugas Presiden, Umno kelihatan menemui rentak ke arah kebangkitan semula selepas teruk dipukul dalam Pru 14 lalu.

Dan Zahid dilihat gagal sebagai pemimpin parti yang bertanggungjawab memimpin dan menerajui Umno kembali bangkit setelah kehilangan kuasa di Putrajaya. Zahid gagal membawa parti dan ahli ke arah haluan dan tujuan yang jelas. Dia banyak mendiamkan diri dan kurang dalam tindakan bagi memulihkan parti.

Justeru itu adalah pasti Zahid tidak mungkin akan kembali sebagai Presiden Umno semula.  Malah saya kira, Zahid tidak ada pilihan melainkan meletakkan jawatan dan menyerahkan pada Mohamad Hasan sebagai Presiden Umno dan bukan lagi sebagai Pemangku Presiden.

Dari sejak Zahid menyerahkan tugasnya pada Mohamad Hasan bulan Disember lalu, nampaknya imejnya Umno mulai ada peningkatan ke arah positif.

Jadi ini perlu diteruskan oleh Mohamad Hasan yang dikira mampu memikul tanggungjawab sebagai Presiden parti. 

Selasa, 5 Februari 2019

Kes Saman SR : Pas Kembalikan Derma RM2 Juta?

Presiden Pas, Haji Hadi Awang telah menarik balik saman terhadap Sarawak Report dan pengarangnya, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah London. Kes tersebut mahu diselesaikan diluar mahkamah.

Pas menyaman SR kerana laporannya menuduh parti itu menerima RM90 juta daripada Najib Razak.

Pada peringkat awal kes Pas kelihatan serius dan bersungguh-sungguh mahu menyaman SR. Ia menganggapnya satu laporan fitnah jahat.

Tetapi dengan tindakan Hadi tidak mahu meneruskan saman dan perbicaraan dan ingin menyelesaikan kes itu diluar mahkamah telah mengecewakan banyak pihak bagi mengetahui isu sebenar RM90 juta yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun parti itu.

Pas tidak memberi alasan kenapa ia mahu selesai kes secara rundingan.

Justeru itu laporan SR mengenai RM90 juta itu kekal dalam kandungan terbitannya.

Apa yang jelas dan pasti Pas tidak mampu meneruskan kes di London itu kerana ia melibatkan kos yang amat tinggi.

Namun persoalannya kenapa ia mengambil tindakan saman itu pada peringkat awal. Dan kemudian mengubah pendirian dipertengahan jalan.

Dalam kes ini Pas telah mengutip derma daripada para ahli parti sehingga mencecah RM2 juta bagi membiayai kos guaman.

Soalnya sekarang ke mana pula perginya wang derma tersebut?

Apakah ianya akan dikembalikan pada para penderma iaitu ahli-ahli parti?


Selasa, 1 Januari 2019

Tun Mahathir Pegang Janji Serah Jawatan Pada Anwar

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan mantan Naib Presiden Umno, Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan telah mengambil cuti bersama keluarga mereka di Morocco. Foto percutian mereka dirakamkan dalam instagram anak lelaki Azmin yang telah menular dalam semua media.

Berbagai spekulasi timbul ekoran tersebarnya berita tersebut. Ditambah lagi sebelum itu Azmin Ali ketika menjalani ibadat umrah telah memuat naik ucapannya pada Tun Mahathir agar Tun diberi kesihatan yang baik dan panjang umur bagi terus memimpin negara.

Tidak ada apa yang pelik mengenai ucap selamat Azmin pada Tun itu. Tetapi ramai yang bertanya kenapa tidak ada ucapan pada Anwar Ibrahim, Presiden parti dan mentornya.

Hisham dan Azmin bersama keluarga bercuti di Morocco

Terbaru apabila Azmin membuat kenyataan dalam media secara terbuka ketidakpuasan hatinya dengan tindakan Anwar melantik Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden parti dan Saifuddin Nasution sebagai Setiausaha Agung - mengesahkan hubungan Anwar -Azmin mulai retak menunggu belah!

Rafizi dan Saifuddin adalah dua tokoh parti yang bekerja keras menumbangkan Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Dalam kaitan ini Anwar tidak berganjak dengan keputusannya dan tidak akan tunduk pada Azmin.

Senario yang berlaku dalam PKR kini mengenang kembali apa yang terjadi dalam Umno lebih 30 tahun dahulu yang melibatkan Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Musa dan Ku Li telah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1981. Tokoh yang menang akan dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tun Mahathir sebagai Presiden Umno ketika itu telah menyokong Musa. Dan Musa menang menewaskan Ku Li dengan majoriti lebih 200 undi dari 1500 perwakilan.

Pada 1983 Ku Li sekali lagi menentang Musa merebut jawatan Timbalan Presiden Umno.  Tetapi kali ini pertandingan adalah tiga penjuru kerana disertai Datuk Harun Idris, mantan Menteri Besar Selangor yang popular.

Namun Musa menang dan berjaya kekalkan jawatan Timbalan Presiden parti dengan majoriti lebih kurang sama 200 undi.

Allahyarham Datuk Harun Idris

Bagaimanapun Musa Hitam tidak berpuas hati dengan keputusan Tun Mahathir yang terus melantik Ku Li sebagai menteri dalam kabinet. Selepas pertandingan pertama Ku Li dikekalkan sebagai Menteri Kewangan. Bila dia kalah kali kedua pada Musa, Tun melantiknya sebagai Menteri Perdagangan dan Perindusrtrian.

Dalam konteks inilah dan kerana faktor-faktor lain telah mendorong Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dan Musa menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama dalam sejarah negara yang mengosongkan kerusinya.

Namun Musa tidak berhenti di situ sahaja. Dia terus menyusun langkah yang tidak terfikir dan terlintas dalam fikiran para pemerhati politik.

Ketika Ku Li berada di luar negara menghadiri persidangan antarabangsa sebagai menteri kabinet dilaporkan Musa terus terbang menemui Ku Li dan dikatakan ia satu pertemuan empat mata dan sulit.

Dan ia akhirnya tersebar luas berita angin pertemuan tersebut. Agendanya adalah begini : Musa telah mencadangkan agar dia dan Ku Li bergabung bagi menjatuhkan Tun Mahathir sebagai Presiden Umno.

Formulanya adalah Ku Li melawan Tun bagi jawatan Presiden dan Musa terus kekal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti.

Musa, Ku Li dan Tun Mahathir

Dan apa yang berlaku seterusnya sudah menjadi sejarah. Kini sejarah yang hampir sama mungkinkah akan berulang sekiranya disoroti pertemuan dua tokoh muda dan masa depan iaitu Azmin dan Hisham di Morocco itu?

Cuma bezanya mereka berdua mewakili dari dua parti berlainan. Sedangkan episod Musa dan Ku Li dalam satu parti.

Kerana apa yang disosek-sosekkan Azmin mempunyai pengikut 20 ahli Parlimen PKR yang akan bersama tenggelam atau timbul. Manakala Hisham mampu mengheret seramai 30 wakil rakyat Umno bersamanya.

Maksudnya, Azmin dan Hisham bermain dengan angka di Parlimen bagi menyekat cita-cita Anwar menjadi PM ke 8.

Masalahnya Tun Mahathir telah menyatakan beliau tetap pegang pada janji untuk menyerahkan jawatan PM pada Anwar selepas cukup tempoh 2 tahun.

Ahad, 23 Disember 2018

Zahid Hamidi : Presiden Umno Paling Singkat

Presiden Umno, Zahid Hamidi telah menyerahkan tugasnya sebagai Presiden parti pada Timbalannya, Mohamed Hasan. Manakala jawatan Timbalan Presiden diambil alih Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden paling kanan.

Zahid tidak meletakkan jawatan sebagai Presiden parti tetapi hanya Mohamed Hasan mengambil alih tugas-tugas Presiden. Ertinya, Zahid tidak lagi berkuasa di atas semua pentadbiran dan perjalanan parti.

Ini ekoran suasana dan perkembangan dalam parti selepas Pru14 memperlihatkan Zahid gagal menjadi Presiden parti yang berkesan dalam membawa parti kembali bangkit setelah rebah di Putrajaya.

Zahid Hamidi

Zahid bukan sahaja gagal sebagai Presiden malah menghadapi kes salah guna kuasa dan pecah amanah di mahkamah.

Zahid enggan letak jawatan sebagai Presiden walaupun didesak berbagai pihak dan ugutan daripada para pemimpin yang mahu keluar parti sekiranya beliau tidak berundur.

Jadi langkahnya menyerahkan tugas Presiden pada Timbalannya dan dia tidak meletakkan jawatan hanyalah langkah mahu menjaga maruah dan air mukanya sahaja.

Pada hakikatnya beliau kini sudah tidak ada apa-apa lagi walau pun pada kertasnya dia masih kekal jawatan Presiden.

Yang sebenarnya kedudukan beliau itu hanya menunggu masa sahaja.  Pada masa dan ketika beliau tiada pilihan melainkan terpaksa melepaskan jawatan Presiden Umno.

Tidak mungkin dan mustahil Zahid akan kembali memikul tugas Presiden semula pada masa mendatang.

Mohamed Hasan

Semua orang tahu kemampuan dan prestasi Zahid semenjak beliau menggalas jawatan Presiden Umno.  Tiada pembaharuan atau pembaikan ke atas parti yang dilakukannya.

Yang ada hanya retoriknya yang mahu bercantum dengan parti Pas.  Itu sahaja agenda Zahid.

Justeru Zahid menjadi Presiden Umno paling singkat mempunyai kuasa dalam sejarah parti.

Ini semua tidak lain kerana beliau telah gagal dan tidak layak menjadi Presiden bagi sebuah parti besar seperti Umno.

Dan kini tumpuan beralih pada Mohamed Hasan yang menggantikan Zahid. Apakah Hasan akan menerima nasib sama seperti Zahid?  Atau dia mampu untuk tidak mengulangi kelemahan Zahid dalam tugasnya memulih dan membangkitkan kembali Umno yang hampir punah itu.

Namun apa pun tanggungjawab Hasan cukup berat.