Rabu, 10 Januari 2018

BN Tidak Mungkin Menang Dua Pertiga

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003. Berjaya memenangi pilihanraya umum sebanyak lima kali dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Selepas berundur dan diambil alih Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, kerajaan BN gagal mempertahankan kemenangan majoriti dua pertiga.

Badawi pada Pru 2008 dan Najib Pru 2013. Dan kali ini Pru14 2018, apakah kerajaan akan gagal lagi mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen?

Ironinya kali ini pakatan pembangkang akan diterajui Dr Mahathir yang telah mencatat sejarah lima kali memenangi dua pertiga menghadapi kerajaan BN - kerajaan dan parti yang pernah diterajuinya.

Apakah Dr Mahathir berjaya mengulangi sejarah kejayaannya?


Cuma apa yang saya masih ingat semasa era Dr Mahathir, beliau akan berkempen dan melawat ke seluruh negeri dari Perlis hingga ke Sabah secara beberapa pusingan.

Dan setiap lawatannya itu akan disertai dengan ucapan dan perhimpunan yang dihadiri berpuluh ribu rakyat tempatan.

Semakin hampir pilihan raya semakin kerap Dr Mahathir membuat lawatan ke setiap negeri dan memberi ucapan-ucapan bersemangat dalam setiap perhimpunan.

Biasanya semua tempat yang dilawatinya itu mendapat sambutan meriah dengan kehadiran puluhan ribu.

Dan beliau kadangkala melakukan kunjungan dan lawatan ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara beberapa pusingan iaitu hingga dua tiga kali pusingan.

Ini bertujuan berkempen disamping memperkemas jentera pilihan raya kerajaan sebelum mengharungi Pru. Selain itu beliau berusaha memperbaiki di mana ada kebocoran atau kelemahan jentera diperingkat akar umbi.

Setelah beliau melakukan beberapa pusingan dan berpuas hati dengan persediaan jentera parti maka barulah beliau membubarkan Parlimen.

Ertinya, beliau mengadakan Pru setelah beliau berpuas hati dengan persediaan parti serta mempunyai keyakinan tinggi akan memperolehi kemenangan. Dan cara beliau itu berjaya dan terbukti berkesan.

Namun saya tidak lihat semua itu berlaku dan dilakukan Najib Razak sekarang bagi menghadapi Pru14 yang hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi.

Maknanya kelihatan kerajaan dan parti pimpinan Najib kini belum cukup bersedia untuk menghadapi pertempuran dalam Pru14 ini. Masih banyak kelemahan dan kelopongan dalam jentera parti pimpinannya.

Justeru itu saya tidak lihat Umno dan BN akan menang begitu mudah dan apa lagi untuk mendapat kemenangan majoriti dua pertiga. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan