Khamis, 10 Mac 2016

Deklarasi Rakyat Dari Rakyat Bukan Parti Politik

DR MAHATHIR telah menjelaskan bahawa Deklarasi Rakyat yang menggesa PM Najib Razak meletakkan jawatan tidak mewakili mana-mana parti politik di negara ini. Ia adalah satu gerakan mewakili rakyat tanpa mengira parti. Ertinya ia adalah suara rakyat.

Mereka yang menyertai deklarasi ini terdiri dari semua parti; Umno, PKR, DAP, PAS, Amanah dan badan-badan NGO lain. Mereka semua bersatu suara mahu Najib berundur. Segala perbezaan pendirian dan pendapat dalam isu parti perlu ditinggalkan. Fokus utama mereka adalah NAJIB !

Kerana matlamat utama adalah bagaimana mahu menyelamatkan negara ini dari segala kepincangan yang membabitkan semua institusi negara seperti badan SPRM, Bank Negara, Peguam Negara, PAC dan sebagainya dari campurtangan pihak-pihak tertentu dalam menjalankan tugas dan peranan mereka masing-masing.


Justeru itu kenyataan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa deklarasi rakyat adalah satu pengakuan atau pengikhtirafan ke atas segala 'kezaliman' kerajaan terhadap Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buloh - adalah satu sikap kurang bijak dan tidak berapa cerdik.

Semua perlu menerima hakikat bahawa Anwar adalah seorang banduan bukan tahanan politik. Anwar telah dibicarakan di mahkamah selama tujuh tahun dan diwakili hampir 14 orang peguambela. Dia telah melalui semua proses mahkamah sehingga ke mahkamah persekutuan melibatkan hampir 9 orang hakim.

Sekiranya parti PKR mahu Anwar dibebaskan ia perlu melalui proses undang-undang atau mahkamah. Tidak mungkin dia dibebaskan begitu sahaja. Salah satu langkahnya adalah Anwar perlu memberikan bukti-bukti baru bagi menyokong tuduhannya bahawa ia telah difitnah melalui satu konspirasi politik pihak tertinggi.

Dan satu lagi berbalik pada Dr Wan Azizah; apakah permohonan rayuan Anwar kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong memohon pengampunannya adalah satu pengakuan bahawa dia benar bersalah ??

Yang terbaru pula baru-baru ini Anwar bersuara dari penjara menyatakan sikap dan pendiriannya menyokong Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir bagi menggesa Najib berundur - adalah satu pengakuan bahawa segala tuduhan Dr Mahathir terhadapnya sebelum ini benar belaka ??

Oleh itu Dr Wan Azizah berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan.

Seperti kata Dr Mahathir, deklarasi rakyat adalah mewakili semua rakyat tanpa mengira mana-mana parti. Ia tidak mewakili parti tetapi mewakili suara rakyat.

Sekiranya ada pihak mencampuri agenda politik masing-masing sudah pasti deklarasi rakyat yang buat julung kalinya dalam sejarah akan menemui kegagalan.

Isnin, 7 Mac 2016

Tengku Razaleigh Tidak Tegas dan Berani

TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) telah menunjukkan belangnya yang sebenar bila mengakui beliau tidak menyokong "Deklarasi Rakyat" yang dipimpin Tun Dr Mahathir bagi mendesak Perdana Menteri Najib Razak agar meletakkan jawatan.

Ku Li tidak hadir dalam perhimpunan itu yang dihadiri beberapa pemimpin Umno, PKR, PAS, DAP dan Amanah.


Ku Li adalah antara tokoh veteran Umno yang masih lagi menjadi ahli Parlimen sehingga sekarang sejak tahun 1970 an. Tokoh-tokoh Umno yang sebaris dan sezaman dengan beliau seperti Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Sanusi Junid dan lain-lain telah pun berada dalam dunia persaraan. Namun dia masih lagi kekal sebagai wakil rakyat Gua Musang di Parlimen.

Pada perkiraan umumnya, Ku Li adalah antara calon pilihan bagi mengisi jawatan Perdana Menteri. Tetapi kenapakah Ku Li yang dikira layak dari segi pengalaman dan tahap senioriti dalam parti Umno tidak berjaya mencapai impian dan cita-citanya menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno ?

Salah satu kelemahannya ialah sikap dan pendiriannya yang sering klu klek dan flip-flop dalam apa sahaja isu mendepaninya. Contoh terbaik adalah dalam isu semasa sekarang yang melibatkan kepimpinan Najib Razak.

Dalam satu masa dia tidak bersetuju dengan cara dan dasar Najib. Dalam satu masa lain dia tidak berani menyatakan dengan tegas dan jelas apa yang tidak betul berlaku dalam soal parti dan negara. Ertikata lain, Ku Li tidak mempunyai sifat tegas dan berani seperti mana yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir.

Soalnya di sini bukan isu menyokong Najib atau tidak. Tetapi sikap dan pendirian yang tidak menentu dan kabur dalam menyatakan pendirian dalam isu-isu semasa negara. Sekiranya Ku Li menyokong Najib, dia perlu menunjukkan sikap yang jelas. Begitu juga sebaliknya.

Ku Li bersama Dr Mahathir

Namun apa yang berlaku sebelum ini menunjukkan dia adalah seorang yang keliru dan tidak berpendirian. Ku Li pernah bersama Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan lain-lain pemimpin Umno yang anti Najib dalam satu sidang akhbar membidas kepimpinan Najib dalam parti dan negara.

Dan hari ini dia memisahkan dirinya dari pergerakkan yang mahu menolak kepimpinan Najib. Dalam masa lain pula dia sendiri tidak termasuk dalam senarai pemimpin yang dipercayai Najib. Sekiranya Ku Li seorang yang diyakini Najib dan mempunyai karisma sudah tentu Najib akan membarisinya dalam saf kepimpinannya bagi menghadapi serangan Dr Mahathir.

Tetapi ini tidak berlaku kerana jelas Najib sendiri tidak tertarik dengan Ku Li mahu pun mempercayai kemampuannya dapat membantunya dalam krisis yang dihadapi parti dan negara. Ertinya, pada hakikatnya, Ku Li bukanlah berada dalam kem Najib. Dan dia juga telah menunjukkan bahawa dia juga tidak menyokong gerakan mahu Najib berundur.

Justeru itulah Ku Li, walau pun berpengalaman selama 40 tahun dalam politik tidak dapat membantunya mencapai kedudukan dan cita-citanya dalam heiraki Umno. Dia seorang politikus yang tidak mempunyai pendirian yang jelas dan tegas.

Ku Li perlu tegas sama ada bersama Najib atau menyokong gerakan yang mahu Najib berundur. Dia tidak boleh berada di tengah-tengah.

Sekiranya Ku Li mampu mempamerkan sikap dan pendirian yang jelas dan tegas, sudah tentu dia adalah antara calon pengganti Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno menyaingi rapat calon lain seperti Zahid Hamidi dan Muhyiddin Yassin.