Rabu, 4 November 2015

Tun Musa Hitam Bersikap Hati-Hati

TUN MUSA HITAM, bekas Timbalan Perdana Menteri (1981-1986) dikenali umum sebagai seorang politikus yang begitu cermat dalam membuat sebarang kenyataan politik dari dulu hingga sekarang.

Tun Musa sentiasa bersikap berhati-hati dan teliti sebelum memberi sebarang kenyataan politik berkaitan isu-isu nasional. Beliau kelihatan terlalu berhati-hati sebelum memberi sebarang ulasan lebih-lebih lagi isu melibatkan politik Umno. Seolah Tun Musa begitu kedekut dalam memberi sebarang ulasan.

Tun Musa Hitam

Dalam isu hangat sekarang seperti isu 1MDB, Tun Musa cuba mengelak memberi sebarang komen bila disergah para wartawan. Beliau hanya menjawab akan memberi kenyataan bila sampai masa yang sesuai. Apakah yang dimaksudkannya masa yang sesuai ?

Rakan-rakannya dalam kabinet dahulu seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Sanusi Junid dan lain-lain tidak pernah lekang membuat kenyataan dan ulasan berhubung isu-isu nasional, malah terlibat secara langsung dalam menentukan sikap dan pendirian.

Tetapi tiada sebarang pendirian yang jelas dan tegas dari Tun Musa. Beliau seolah tidak mahu campur tangan dan mengambil pendirian untuk berkecuali.

Namun sudah menjadi rahsia umum Tun Musa tidak akan dan tidak pernah bersetuju dengan bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam banyak isu.

Tidak berapa lama dahulu, Tun Musa ada mengakui serangan dan kritikan Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Najib Razak boleh diibaratkan seperti "political terminator" yang mampu menghancurkan musuhnya.

Kesan dari serangan Dr Mahathir terhadap Najib, Tun Musa mengakui Najib paling lama boleh bertahan sebagai Perdana Menteri hanyalah sehingga PRU 14.

Itu adalah kenyataan Tun Musa beberapa bulan dahulu ketika serangan dan kritikan Dr Mahathir mencapai kemuncaknya. Dan Najib kelihatan lebih defensif ketika itu.

Kini momentum telah sedikit berubah dengan kedudukan Najib sebagai PM tidak tergugat. Malah Dr Mahathir mengakui PM Najib akan terus kekal sehingga PRU 14. Banyak penganalisis berpendapat Dr Mahathir seperti mengaku kalah dalam usahanya menekan Najib agar meletakkan jawatan.

Dalam konteks ini apakah sikap Tun Musa yang pada hakikatnya dari awal lagi berada dibelakang Najib tetapi berasa tidak yakin yang Najib mampu bertahan dari serangan Dr Mahathir kini kembali bersama Najib ?

Tidak siapa dapat menyelami pendirian sebenar Tun Musa apatah lagi beliau lebih banyak membisu dari memberi sebarang ulasan dan kenyataan.

Ini terbukti beberapa hari yang lalu dalam satu majlis, Tun Musa seperti mahu mengelak memberi sebarang komen pada para media berkaitan isu semasa melibatkan Najib dan Umno.

Barangkali, Tun Musa memilih jalan selamat untuk tidak memihak. Kerana beliau telah mulai merasakan usaha menjatuhkan Najib tidak akan berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan