Ahad, 2 Oktober 2011

Tan Sri Abdullah Ahmad : Politikus dan kolumnis



TAN SRI Abdullah Ahmad atau Dollah Kok Lanas sering
kali dalam kolumnya di Sinar Harian meluahkan perasaan
tidak puas hatinya bila dipecat dari Kumpulan The New Straits Times
pada 2003.

Pada tahun tersebut beliau adalah Ketua pengarang Kumpulan
NST dan mempunyai kolumnya sendiri. Dia dipecat oleh
Perdana Menteri masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi ekoran
satu tulisan Tan Sri Abdullah dalam akhbar itu yang telah
menyinggung kerajaan Arab Saudi.


Kebetulan masa itu Pak Lah baru sahaja mengambilalih
jawatan Perdana Menteri. Barangkali, Pak Lah mencari
alasan untuk menukar Dollah Kok Lanas yang dianggap
sebagai "orang Mahathir" di NST dengan orang yang
lebih rapat dengannya.

Dan orang itu ialah Kalimullah Hassan, bekas Setiausaha
Politik, Tun Ghaffar Baba.

Tan Sri Dollah merungut setelah dipecat dari NST kerana
ia telah kehilangan beberapa keistimewaan seperti pejabat,
seorang pembantu dan lain-lain.

Dalam kolumnya dia sering menyebut nama Pak Lah
yang kebetulan mempunyai nama yang sama dengannya sebagai
Badawi sahaja. Dia tidak pernah mengungkapkan perkataan
Abdullah Ahmad (serupa namanya). Acap kali dia menggunakan
perkataan Badawi sebagai merujuk pada Pak Lah.

Dollah Ahmad adalah bekas Setiausaha Politik, Tun Abdul
Razak Hussein. Beliau pernah ditahan dibawah ISA di atas
tuduhan bersubahat dengan anasir komunis semasa era
Tun Hussein Onn.

Bila Tun Mahathir mengambilalih jawatan dari Hussein Onn
beliau dibebaskan dari tahanan. Dari situ bermulalah
setapak demi setapak beliau mengukuhkan kedudukan
dalam parti dan kerajaan.

Beliau dipilih menjadi wakil rakyat di Kok Lanas, Machang,
Kelantan dan kemuncaknya ialah Dr. Mahathir telah melantiknya
sebagai Wakil Khas di PBB menggantikan Tun Musa Hitam.

Semasa di New York beliau banyak menulis dalam kolumnya
di Utusan Malaysia dalam berbagai isu politik tanahair.

Sekembalinya ke tanahair beliau telah dilantik menjadi
orang kuat di New Straits Times (NST). Di NST beliau
telah melakukan berbagai pembaharuan; termasuk memberhentikan
kontrak tokoh wartawan negara A. Samad Ismail sebagai
penasihat editorial.

Banyak langkah dan perubahan yang dilakukannya
sepanjang di NST sebagai rancangan menyusun semula
organisasi tersebut. Beliau berjaya dalam mengembalikan
keuntungan pada NST yang sebelum itu mengalami kerugian.

Barangkali, beliau mengharapkan setelah Pak Lah
mengambilalih dari Dr. Mahathir beliau akan terus
diberi kepercayaan mengemudi NST seterusnya.

Namun Pak Lah seperti tidak lagi memerlukan khidmat
beliau dan menyingkirkannya dengan mengambil Kalimullah
Hassan sebagai penggantinya.

Dan Kalimullah pula setelah berkuasa di NST telah
mempunyai hubungan tegang dengan Dr. Mahathir. Semasa
Kalimullah menerajui NST beliau telah menghadkan segala
laporan dan berita tentang negarawan itu.

Dalam suasana tertentu Dr. Mahathir kelihatan telah
diboikot oleh kumpulan akhbar tersebut sepanjang
Pak Lah menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, setelah Pak Lah terpaksa meletak jawatan
sebagai Perdana Menteri, nasib Kalimullah Hassan di NST
pun tidak lama dan dia pun terpaksa meninggalkan media
korporat yang berpengaruh itu.

Dan Dollah Ahmad terus hidup sebagai orang pencen
dengan menulis di kolum tetapnya dalam akhbar Sinar Harian.























Tiada ulasan:

Catat Ulasan