Selasa, 29 Mei 2012

Membaca dan menulis

Banyak membaca tetapi kurang menulis tentang apa yang  dibaca.

Manakala yang kurang membaca banyak menulis.

Saya pilih yang kedua. Hehe...

Isnin, 28 Mei 2012

Pep mungkin ke Stamford Bridge

Nasib Roberto Di Matteo tidak pasti
KEJAYAANNYA membawa Chelsea menjadi juara Champions League atau Piala Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah tidak menjamin kedudukannya kekal sebagai pengurus The Blues.

Nasib Roberto Di Matteo di Stamford Bridge belum pasti. Ini dikuatkan lagi dengan khabar Pep Guardiola yang pada awalnya ingin berehat setahun dari bolasepak telah mengubah fikiran berhasrat menjadi pengurus Chelsea pula.

Guardiola telah berjaya melakar kejayaan di Barcelona sepanjang empat musim dengan 14 trofi. Yang terbaru ialah menjulang Piala Sepanyol.

Setelah gagal membantu Barca menjadi juara La Liga tahun ini dan berada dibelakang Real Madrid, Guardiola telah membuat keputusan mahu berehat selama setahun. Namun entah mengapa beliau menukar fikirannya minggu ini dengan menyatakan Roman Abramovich perlu menghubunginya jika ingin mendapatkan khidmatnya.

Sebelum itu ura-ura bertiup kencang Abramovich akan menawarkan kontrak pada Di Matteo yang sebelum ini hanya pengurus sementara. Dengan kesediaan Guardiola ke London bagi menghadapi cabaran baru musim depan telah menggerhanakan sedikit peluang Matteo untuk kekal bersama The Blues.

Apa pun nasib Matteo; beliau telah berjaya mencatat sejarah buat Chelsea yang tidak dapat dicapai oleh pengurus-pengurus ternama sebelum ini seperti Claudio Raneiri, Jose Mourinho, Scolari, Gus Hiddink dan Carlo Ancelotti.

Bagi Pep pula mengulangi dan mempertahankan kejuaraan Piala Juara tahun hadapan adalah sesuatu yang sukar dan penuh cabaran.


Ahad, 27 Mei 2012

Tarikh PRU 13

Tidak perlu berteka-teki lagi
SUDAH hampir setahun para pemerhati politik membuat berbagai andaian dan ramalan tentang tarikh PRU 13.

Suasana dan demam pilihan raya sudah ada dan suhunya semakin hari semakin tinggi. Namun hingga kini semboyan belum lagi dibunyikan.

Orang ramai terus membuat ramalan hari pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Ada pendapat percaya ia akan diadakan selepas bulan puasa atau penghujung tahun ini. Sayugia tarikh matang parlimen sekarang akan berakhir pada April 2013. Ertinya, selepas tarikh itu secara otomatis parlimen akan terbubar dengan sendirinya dan memberi laluan PRU 13 diadakan.

Kalau dikira dari sekarang kerajaan kini mempunyai 11 bulan sahaja bagi menamatkan mandat pada 2008. Sebelas bulan bukanlah satu masa yang panjang. Tidak ada apa yang " miracle" boleh dilakukan dalam tempoh tersebut kerana boleh dikatakan hampir semua yang layak mengundi telah pun mempunyai pendirian sendiri.

Justeru itu tidak perlulah berteka-teki bila PRU 13 akan diadakan.  Sama ada selepas puasa atau hujung tahun ini ianya tidak banyak memberi kesan atau perbezaan dengan tarikh akhir iaitu April 2013.

Pakatan Rakyat berkata mereka sudah cukup bersedia bila-bila masa sahaja. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah melakukan berbagai persiapan rapi untuk mendapatkan mandat baru rakyat.

Cuma yang tinggal hanya perang psikologi dan mainan isu bagi mengatasi pihak lawan menjelang semboyan dibunyikan.

Sabtu, 26 Mei 2012

Perdana Menteri bukan melayu

Impian Karpal Singh

SELURUH orang melayu tidak boleh marah atau naik angin bila Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata bahawa beliau ingin melihat Perdana Menteri negara ini akan dipangku oleh seorang bukan melayu satu masa nanti.

Karpal adalah seorang cerdik dan bukan bodoh. Beliau bercakap berdasarkan fakta dan kenyataan. Lagipun beliau pernah mengaku bahawa beliau adalah " King ".

Dalam perlembagaan negara tidak menyebut jawatan Perdana Menteri mesti seorang melayu dan Islam. Ertinya, sesiapa sahaja boleh menjadi PM sekiranya ia mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Kenyataan Karpal ini diperkuatkan lagi dengan hakikat pada masa ini orang-orang melayu telah berpecah menjadi tiga kumpulan; Umno, PAS dan PKR.

Walaupun orang melayu merupakan golongan majoriti di negara ini tetapi dengan mereka berpecah menjadi tiga puak menjadikan mereka kumpulan yang lemah dan tidak berpengaruh lagi.

Kita sering mengecam negara-negara Arab yang tidak bersatu bila berdepan dengan Zionis Israel. Seluruh bangsa Arab berjumlah beratus juta tidak boleh mengalahkan Israel yang hanya beberapa juta sahaja. Mereka tidak dapat mengalahkan Israel kerana berpecah dan lemah.

Kini perkara ini berlaku di hadapan mata kita. Nampaknya, kita tidak mengambil teladan dan beri perhatian pada sejarah yang berlaku.

Pada Karpal Singh beliau telah bercakap benar dan kemungkinan impiannya akan menjadi kenyataan. Beliau adalah " King ".

Jumaat, 25 Mei 2012

Antara Mursyidul Am dan Presiden

Siapa lebih berkuasa ?
DALAM isu muzakarah dengan Umno dan beberapa isu lain jelas ada percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Hadi Awang bertegas tidak ada muzakarah dengan Umno. Kalau ada dialog atau perjumpaan hanya dengan NGO atau badan bukan kerajaan.

Bagi Nik Aziz pula bersedia bermuzakarah tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Umno dahulu.

Bagaimanapun, hari ini Nik Aziz menarik balik kenyataannya berhubung isu ini dengan alasan ingin mengikuti pendapat Hadi Awang agar tidak bercanggah dan dimanipulasi pihak lawan.

Ini bukanlah kali pertama pandangan dan pendirian kedua tokoh ini tidak sehaluan. Ketika heboh satu masa dulu berkenaan dengan usaha dalaman parti bagi mengadakan kerjasama dengan Umno yang diusahakan dan direstui Hadi Awang telah mendapat bantahan keras daripada Mursyidul Am, Nik Aziz.

Sehingga Nik Aziz memberi amaran kepada yang terlibat dalam usaha tersebut seperti bekas Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Dr. Hasan Mohd Ali agar keluar parti sekiranya meneruskan usaha tersebut. Nik Aziz tidak bersetuju sama sekali PAS bekerjasama dengan Umno. Apatah lagi ia mendapat sokongan kuat dari kumpulan pro Anwar Ibrahim di dalam parti.

Tetapi serangan Nik Aziz itu tidak dituju secara terang terhadap Presiden parti tetapi hanya pada ketiga pemimpin parti tadi. Bantahan Nik Aziz berjaya dan usaha beberapa pemimpin tadi yang mendapat restu Hadi terpaksa mengalah dan melupakan sahaja usaha bekerjasama dengan Umno.

Namun beberapa minggu lalu isu muzakarah dengan Umno timbul lagi setelah Hadi Awang mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat parti.  Apakah timbul kekeliruan atau pihak media tersalah tafsir dalam sidang media itu tidak dapat dipastikan. Cuma Hadi mengambil masa seminggu menjelaskan maksudnya sebenar bila ia mendapat reaksi meluas dari berbagai pihak.

Hadi menolak keras muzakarah dengan Umno dan menganggapnya sudah tutup buku. Dalam masa yang sama Nik Aziz terus berdolak dalik sambil mengenakan syarat sehinggalah dia menarik balik semua kesediaannya sebelum ini bersabit isu tersebut.

Presiden PAS adalah dipilih oleh ahli parti secara demokrasi. Manakala jawatan Mursyidul Am adalah dilantik oleh Ahli Majlis Syura. Dari segi kedudukan Mursyidul adalah lebih tinggi dari Presiden. Kadang-kadang keputusan Presiden boleh disekat oleh Mursyidul sepertimana dalam isu kerjasama dengan Umno.

Tetapi dalam isu terbaru mereka bercanggah lagi, namun kali ini Mursyidul mengambil pendirian bersama Presiden bagi menjaga keutuhan parti menjelang pilihan raya umum.

Apa pun bagi mereka yang berada di luar PAS masih tidak jelas siapa sebenarnya yang lebih berkuasa dalam parti; Mursyidul Am atau Presiden ?

Khairy Jamaluddin

Pemimpin harapan Umno
SETELAH debat isu PTPTN berlangsung antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli banyak reaksi dan kesimpulan dari berbagai pihak.

Apa pun kedua tokoh muda ini telah mempamerkan kematangan sebagai pemimpin generasi muda negara masa hadapan.

Bila berdebat secara terbuka tidak ada istilah siapa menang atau kalah. Hanya orang ramai yang dapat menilai dan mengukur kelebihan calon mereka masing-masing.

Bagi Khairy, beliau telah berjaya membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin muda Umno yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti. Keberanian, kematangan dan kebolehan beliau berhujah dalam debat atau forum-forum yang disertainya membuktikan beliau bukan jenis pemimpin omong kosong. Ertinya, Khairy adalah seorang yang "competent".

Boleh dikatakan beliau banyak menghadiri dalam debat atau forum bersemuka dengan para pemimpin di luar kerajaan. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpengetahuan dan petah berhujah. Dan lebih penting memperlihatkan keyakinan dirinya sebagai calon pemimpin parti dan negara.

Kalau pada era bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah menjadi sasaran kritikan banyak pihak dan menjadi kambing hitam di atas segala kelemahan pentadbiran Pak Lah. Tetapi kini beliau telah membuktikan sebaliknya. Beliau kini telah buktikan bahawa beliau adalah aset penting pada parti dan bukan menjadi liabiliti.

Walaupun sebagai Ketua Pemuda Umno yang tarafnya sama dengan Naib Presiden beliau tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan. Namun ia tidak pernah meluntur semangatnya bekerja untuk parti.

Selepas PRU 13 sekiranya Umno dan Barisan Nasional masih berkuasa sudah pasti Khairy akan di bawa masuk dalam kabinet kerajaan dan memainkan peranan penting sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya.

Dalam aspek tertentu ketrampilan Khairy lebih nampak berkesan berbanding dengan ketiga Naib-Naib Presiden Umno sekarang. Cuma mungkin faktor usianya yang masih muda.

Khamis, 24 Mei 2012

Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden

Bekas Peguamcara Negara jadi peguam Anwar
TINDAKAN bekas Peguamcara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden muncul bersama barisan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah baru-baru mengejutkan semua pihak.

Datuk Mohd Yusof adalah bekas Ketua Pendakwa dalam kes liwat II Anwar yang kesudahannya Anwar dibebaskan oleh mahkamah.

Beliau telah bersara pada Februari lalu dan kini mempunyai firma guamannya sendiri. Beliau muncul di mahkamah baru-baru ini bertindak sebagai salah seorang peguambela Anwar dalam kes perhimpunan haram Bersih yang melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Menurut Yusof, kehadirannya sebagai peguam Anwar tidak mempunyai kaitan dengan politik dan beliau bertindak sebagai seorang profesional. Walau apa pun alasan beliau, isu dan berita ini telah menjadi ibu segala berita pada minggu lalu. Ianya menjadi bahan terhangat mengatasi isu-isu lain seperti isu muzakarah Umno - Pas atau keluarnya Tunku Aziz Tunku Ibrahim dari DAP.

Tindakan Datuk Yusof adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Langkahnya itu sekurang-kurangnya telah menaikkan sedikit "saham" Anwar Ibrahim dalam percaturan politik negara yang sudah hampir di ambang pilihan raya umum.

Tidak boleh dinafikan ianya adalah satu tamparan pada kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak. Tentunya berbagai tafsiran dibuat ekoran keputusan Datuk Yusof itu. Apakah faktor yang mendorong beliau bertindak sedemikian ? Apakah beliau mempunyai masalah dengan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail ?

Namun apa pun isu ini tetap menimbulkan banyak persoalan dalaman dan lebih pada apa yang tersirat dari yang tersurat. Dari seorang pendakwa kerajaan dalam kes Anwar - tiba-tiba bertukar dan sanggup menawarkan diri sebagai peguambelanya adalah sesuatu yang memerlukan penjelasan dari Datuk Yusof sendiri.

Selasa, 22 Mei 2012

Terkenang...


Isu muzakarah Umno - Pas

Hadi kata media salah tafsir         
SETELAH seminggu membuat kenyataan akhbar tentang kesediaan Pas bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno, Abdul Hadi Awang menjelaskan kenyataannya itu telah disalah tafsir pihak media.

Ya, seminggu. Hari ini beliau berkata maksudnya yang sebenar ialah Pas bersedia bermuzakarah dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) - tidak Umno - bagi menjelaskan kekeliruan tentang dasar-dasar parti itu yang dianggap sudah terpesong.

Suasana menjadi bertambah celaru bila Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan beberapa syarat yang tidak munasabah. Antaranya, Umno mesti menerima semua anggota Pakatan Rakyat; DAP dan PKR sekali.

Dengan kenyataan bercanggah sesama pemimpin Pas ini, nampaknya Umno sudah tidak berselera melayan kerenah Pas sedangkan parti itu sendiri yang menimbulkannya terlebih dahulu. Namun pihak media telah dipersalahkan kerana salah petik.

Dari kenyataan Nik Aziz dari awal dengan beberapa syarat yang dikenakannya menunjukkan beliau tidak berhasrat mahu muzakarah ini menjadi kenyataan. Meletakkan berbagai syarat sebelum berjumpa ibarat seperti mengacu pistol di kepala.

Umno tidak perlu berdukacita. Biarkan saja Pas bermuzakarah dengan pihak lain yang masih keliru dengan segala dasarnya berkait dengan negara Islam. Dalam konteks ini Karpal Singh dan DAP adalah pihak yang sepatutnya bermuzakarah dengan Pas.

Apatah lagi Karpal sering kali membantah bila saja Pas menimbulkan soal hukum hudud. Jadinya, Pas dan Nik Aziz sepatutnya memberi kefahaman pada sekutunya DAP agar mereka faham dan tidak keliru sebagaimana hasrat dan kenyataan Abdul Hadi tadi.

Nik Aziz tentunya tidak perlu mengenakan apa-apa syarat pada Karpal dan DAP sebagaimana syarat yang dikenakan pada Umno. Dengan DAP semua beres !

Ahad, 20 Mei 2012

Muhyiddin hadir majlis kahwin anak Nasha

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan sulung bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa hari ini.

Selain TPM ramai pemimpin kerajaan yang hadir termasuk bekas pemimpin Pas yang dipecat yang juga Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Mohd Ali.

Nasharuddin adalah satu-satunya pemimpin dalam Pas yang simpati dan menyokong secara terbuka perjuangan Dr.Hasan yang dipecat parti Pas. Beliau juga secara terus terang telah memberi berbagai pandangan dalam isu semasa dan nasional yang agak bertentangan dengan pimpinan tertinggi parti itu.

Nasha hingga kini masih lagi ahli syura Pas. Walaupun sikap dan pendiriannya agak terbuka dan bersifat positif dengan segala usaha kerajaan, parti Pas terus membisu dan menimbulkan persoalan kedudukannya dalam parti.

Nampaknya, Pas tidak berani mengambil sebarang tindakan terhadap Nasha di atas faktor politik dan hampirnya pilihan raya umum. Memang itulah dasar Pas yang tidak ada prinsip dan faktor undi itu lebih penting dari lain-lain faktor hatta berkompromi dengan dasar perjuangannya.

Para pemimpin Pas sedang berdolak dalik tentang isu muzakarah dengan Umno. Namun kehadiran Muhyiddin dalam majlis jemputan Nasha memperlihatkan keikhlasan dan semangat ukhuwah kedua pemimpin itu dapat diterjemahkan.

Nasha adalah bekas orang nombor dua Pas dan beliau adalah tokoh ulama yang disingkirkan oleh Mat Sabu dalam jawatan Timbalan Presiden parti yang disokong oleh puak Anwarinas yang kini menguasai parti mengatasi golongan ulama.