Isnin, 9 Mei 2011

Ku Li masih menaruh hasrat jadi PM

TENGKU Razaleigh Hamzah adalah antara wakil rakyat paling lama berada di parlimen sekarang. Semua pemimpin yang sebaris dengannya sama ada meninggal dunia atau telah bersara dari politik.

Ku Li
Kawasan yang diwakilinya ialah parlimen Gua Musang. Gua Musang telah menjadi kubu kuatnya berpuluh tahun dan dia tidak pernah pindah ke kawasan lain.

Pengaruh Ku Li di kawasan ini tidak dapat digugat oleh sesiapa hingga kini. Buktinya, bila beliau menjadi Presiden Semangat 46, beliau telah berjaya mempertahankan kerusinya dari jatuh ke tangan Barisan Nasional. Dan bila parti Semangat 46 dibubarkan dan beliau telah menyertai semula UMNO, beliau telah berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada BN.

Ertinya, Ku Li telah berjaya mempertahankan Gua Musang sebagai kubu kuatnya dalam dua parti yang berbeza. Begitulah betapa kuat pengaruh Ku Li di kawasan tersebut. Malah ada pendapat nakal yang mengatakan Ku Li tetap akan menang di kawasan ini hatta dia bertanding atas tiket bebas.

Kemenangan BN dalam pilihanraya kecil, Galas, baru-baru ini banyak bergantung pada peranan Ku Li dan sumbangan yang telah diberikannya. Dalam pilihanraya tersebut PAS gagal menyaingi populariti dan pengaruh Ku Li, lebih-lebih lagi Galas adalah dalam kawasan parlimen Gua Musang.

Dalam UMNO sendiri peranan Ku Li tidak begitu jelas. Ada pihak yang masih perlukan ketokohannya. Dalam waktu yang sama ada yang curiga tentang kemungkinan beliau mencabar jawatan Presiden UMNO. Justeru itu Ku Li tidak diberi apa-apa jawatan atau peranan penting dalam parti.

Sudah menjadi rahsia umum Ku Li memang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Tetapi nampaknya rezekinya belum ada. Dia pernah lawan Dr.Mahathir dalam jawatan Presiden UMNO, tetapi tewas tipis dengan 40 undi. Sebelum itu beliau bertanding lawan Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO sebanyak dua kali dan tewas keduanya.

Beliau pernah cuba mendapat pencalonan dari bahagian-bahagian UMNO untuk mencabar Pak Lah bagi jawatan Presiden, namun gagal lantaran tidak cukup pencalonan.

Apakah kali ini beliau akan mencuba sekali lagi menentang Datuk Seri Najib pula? Dengan UMNO yang telah membuat perubahan dalam sistem pengundian secara menyeluruh dengan melibatkan semua ahli-ahli akar umbi dan tidak lagi pada para perwakilan bahagian, harapan Ku Li menjadi cerah?

Pemimpin sezaman dengannya seperti Dr.Mahathir, Tun Musa Hitam, Almarhum Ghaffar Baba, malah Pak Lah telah pun meninggalkan "arena" arus perdana UMNO, tetapi politik beliau masih bernyawa dan segar. Cuma apakah "survival" beliau dalam arus politik kini sekadar nyawa-nyawa ikan?

Memang sukar diramal. Sekiranya Ku Li masih berhasrat mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri, ianya adalah satu perjuangan yang cukup sukar. Pengaruh dan popularitinya hanyalah sekadar bahagian Gua Musang dan di lain-lain bahagian UMNO seluruh negara beliau tidak begitu berpengaruh.

UMNO tidak beri tugas dan peranan padanya di peringkat pusat memang boleh difahami. Dengan jawatan apa saja di peringkat tertinggi Ku Li mampu melebarkan pengaruhnya dalam parti. Barangkali, UMNO pusat mahu beliau sekadar berkubu di Gua Musang saja.

Tengku Razaleigh Hamzah masuk politik adalah jasa Allahyarham Tun Razak. Tun Razak melihat potensinya sebagai anak muda keturunan raja bagi mengisi barisan pelapis dalam UMNO. Dan banyak orang mengatakan Tun Razak memang mempersiapkan dirinya bakal menjadi Perdana Menteri.

Tetapi Allah kaya, anaknya pula, Najib, menjadi Perdana Menteri. Ku Li bila dia pandang Najib tentulah ia akan terkenang ayahandanya yang telah berjasa padanya..

Ahad, 8 Mei 2011

Kemampuan Najib teruji

TAN SRI Abdullah Ahmad dalam kolumnya yang terbaru, akhbar Sinar Harian, telah meramalkan UMNO-BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak, akan menang dua pertiga majoriti dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya lagi, Najib lebih cekap dan karismatik jika dibandingkan dengan Pak Lah Badawi. Pandangan beliau itu ada kebenarannya.

Semasa Pak Lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr.Mahathir pada 2003, UMNO-BN berada dalam keadaan kukuh dan stabil. Hampir semua isu dan masalah negara pada masa itu telah dapat diselesaikan dengan baik. Orang-orang melayu pun dalam keadaan bersatu.

Pak Lah mengambilalih kerajaan dalam keadaan yang cukup sempurna, walau ada sedikit sebanyak masalah yang tidak akan mengancam kedudukannya. Justeru itulah bila Pak Lah mengadakan pilihanraya pada 2004, beliau telah berjaya mendapat mandat lebih dari dua pertiga. Satu kemenangan yang besar.

Banyak pemerhati telah memberi kredit pada beliau di atas kejayaan itu dan menggelarnya sebagai Mr.Clean. Tidak banyak orang yang melihat dari sudut lain yang membawa kejayaan pada beliau adalah disebabkan faktor Dr.Mahathir sendiri. Dr. Mahathir telah menyerahkan padanya sesuatu asas yang kukuh dan kuat. Tugas Pak Lah hanyalah meneruskan saja apa yang telah di asaskannya.

Selepas mendapat mandat yang besar dari rakyat, kelihatan kabinet Pak Lah (kabinet terbesar dalam sejarah) mula berbulan madu. Masalah demi masalah timbul. Kelemahan dan ketidakcekapannya dalam mengemudi bahtera semakin terserlah. Dia kelihatan hilang kawalan. Dan lambat membuat sesuatu keputusan.

Maka itulah timbulnya berbagai gelaran dan cemuhan memperlekeh beliau sebagai seorang Perdana Menteri . Antara gelaran yang diberikan ialah beliau suka tidur, slow dan berbagai lagi, termasuk beliau tidak begitu fokus dalam sesuatu masalah dan lebih menyerahkan pada pegawai-pegawainya.

Dan inilah mengundang kritikan dan serangan secara terbuka dari Dr.Mahathir. Tetapi pada awalnya usaha Dr.Mahathir tidak berapa mendapat sokongan kerana kedudukan Pak Lah masa itu agak kebal. Sehingga suatu keadaan pihak media perdana telah memboikot segala upacara yang bersabit dengan Dr.Mahathir.

Jadi, Pak Lah bukan saja menghadapi pembangkang, malah terpaksa menepis serangan dari bekas ketuanya sendiri. Semua yang berlaku tidak membantu, malah menambah beban beliau sebagai PM.

Bila pilihanraya umum diadakan pada 2008, Pak Lah penuh yakin yang BN akan terus berkuasa dengan majoriti kurang sedikit dari 2004. Tetapi apa yang berlaku adalah malapetaka besar. BN bukan saja hilang dua pertiga, UMNO juga telah kalah di banyak negeri. Semuanya tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak negara merdeka.

Begitulah kesan stail kepimpinan Pak Lah dan kini di warisi oleh Najib. Datuk Seri Najib telah mengambilalih teraju negara ini dalam keadaan yang cukup teruk. Segala-galanya telah rosak dan punah gara-gara pimpinan yang lemah dan tidak berwibawa.

Saya masih teringat kenyataan bekas Presiden Gerakan, Datuk Dr.Lim Kheng Yaik, yang menyarankan agar Pak Lah, memecat semua penasihat-penasihat yang berada disekelilingnya. Ini merupakan satu statement yang cukup menyentuh hati orang-orang melayu.

Kini Najib menggalas beban dan tanggungjawab amat besar untuk mengembalikan dan memulihkan keadaan kembali seperti dulu semula. Ia bukan satu tugas yang mudah. Setakat ini Najib telah membuktikan bahawa beliau boleh mengatasinya. Kepimpinannya jauh lebih baik, kemas dan tersusun.

Perdana Menteri sebelumnya telah mengambilalih jawatan dalam keadaan yang baik, tetapi tidak Najib. Najib menerima jawatan PM dalam keadaan tali yang tersimpul dan berbelit-belit. Mampukah beliau merungkainya menjadi lurus?

Kalau menurut Tan Sri Abdullah Ahmad tadi,  yang juga bekas setiausaha politik Tun Razak, ayahandanya, Datuk Seri Najib, mampu melakukannya.

 .

Sabtu, 7 Mei 2011

PRU 13: Ibrahim Ali bertanding di mana?

PILIHANRAYA umum ke 13 diramalkan akan diadakan dalam masa yang terdekat antara Jun hinggalah hujung tahun ini. Hanya Datuk Seri Najib saja yang tahu tarikh sebenar. Beliau masih berteka-teki lagi tentang tarikh keramat itu. Dari dulu hingga sekarang tarikh pilihanraya umum akan menjadi satu elemen yang suspen semua orang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, telah menyatakan mereka telah bersedia bila-bila masa.

Di Kelantan apa yang menarik perhatian ramai ialah tentang wakil rakyat Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali. Semasa memenangi kerusi tersebut dalam PRU lalu, beliau telah menang atas tiket PAS. Sebelum itu Ibrahim Ali masuk gelanggang sebagai calon bebas. Kemudian PAS telah menarik diri dari bertanding dan memberi laluan padanya dengan membenarkan beliau bertanding atas tiket PAS
Datuk Ibrahim Ali

Pasir Mas merupakan "kubu kuat" Ibrahim Ali seolah-olah tidak ada lagi kawasan yang selamat untuknya di Kelantan.Tetapi rekod yang lalu menunjukkan beliau sering tewas di kawasan tersebut. Beliau pernah tewas pada calon pembangkang semasa bertanding atas tiket Barisan Nasional. Sekali lagi beliau tewas dalam pilihanraya negeri di kawasan Pengkalan Pasir pada calon Barisan Nasional. Masa itu beliau bertanding sebagai calon bebas.

Dia gagal ke parlimen atas tiket Barisan Nasional. Tetapi akhirnya beliau berjaya juga melalui bantuan PAS. Sekiranya PAS tidak beri laluan di Pasir Mas, apakah Ibrahim Ali mampu memenangi kerusi tersebut?

PAS pernah mencabarnya agar meletakkan jawatan sebelum ini kerana tindakannya yang sering menyerang pihak pembangkang di parlimen. Di parlimen, walaupun beliau adalah calon bebas, tetapi beliau menang atas tiket PAS. Dan suaranya di parlimen lebih Barisan Nasional dari ahli-ahli Barisan sendiri.

Masalahnya, Ibrahim Ali sendiri tidak diterima sebahagian dari ahli-ahli UMNO. Ada yang menentang tentang kemasukkannya semula dalam UMNO..Justeru itulah wujudnya PERKASA, di mana beliau sebagai presiden dan pengasasnya.

Kini PERKASA sebuah NGO yang memperjuangkan nasib bangsa melayu sebagai bumiputera di negara ini. Ia diperkuatkan lagi dengan sokongan dan dukungan dari Tun Dr.Mahathir yang juga sebagai penasihat badan itu.

Sesekali kelihatan PERKASA lebih menonjol dari UMNO dalam memperjuangkan nasib dan masa depan orang melayu. Ibrahim Ali setelah tidak diterima UMNO, telah menjadikan PERKASA sebagai satu wadah untuk meneruskan perjuangannya.

Apakah beliau merasakan peluangnya untuk ke parlimen kali ini semakin tipis? Atau beranikah beliau bertanding sekali lagi di Pasir Mas dan atas tiket siapa?

Masa depannya sebagai ahli parlimen semakin kelam. Berdasarkan rekod yang lepas beliau tidak mungkin, malah mustahil akan memenangi kerusinya di kawasan Pasir Mas. Di seluruh Kelantan, barangkali tidak ada kawasan yang selamat untuknya, apalagi menerimanya sebagai wakil rakyat.

Dengan itu PERKASA adalah satu-satunya platform baginya untuk meneruskan karier poltik dan memenuhi impian dan idealismanya sebagai Panglima Adijagat dalam memperjuangkan nasib bangsa melayu.

Datuk Ibrahim Ali, mungkin seorang politikus kontroversi dan dicemuh setengah orang, tetapi beliau sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa beliau seorang nasionalis melayu yang begitu prihatin tentang nasib bangsanya

Kelincahannya ialah beliau berjaya menarik Tun Dr.Mahathir berada di belakangnya..



 .

Khamis, 5 Mei 2011

SUATU PENGHINAAN PADA UMAT ISLAM

HAMPIR semua akhbar pada 4 Mei, 2011 menyiarkan sekeping gambar petikan Reuters, memperlihatkan Presiden Amerika, Barack Obama, Naib Presiden, Joe Biden, Setiausaha Negara, Hillary Clinton, Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dan beberapa pegawai keselamatan kebangsaan sedang menyaksikan video operasi serangan ke atas Osama bin Laden di Bilik Situasi, White House.

Barangkali, mereka semua telah melihat setiap detik, satu persatu dengan terperinci dari awal hinggalah Osama terbunuh. Ibarat menonton sebuah filem rambo.

Kematian Osama sudah tidak menjadi isu. Tetapi cara agensi berita asing menyiarkan gambar tersebut ke seluruh dunia yang memperlihatkan satu barisan kepimpinan tertinggi duduk bersama dengan penuh khusyuk sedang  menonton detik-detik kematian seorang pejuang Islam yang menjadi pujaan sebahagian umat Islam.

Apakah Osama seorang pengganas atau Amerika sebagai punca segala keganasan?

Definisi pengganas banyak bergantung di mana kita berdiri. Ada hujah dan alasannya. Banyak sebab dan musababnya.

Kalau Amerika menuduh Osama pengganas, Amerika juga perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu.
Walau apapun sebagai umat Islam kita seharusnya mengambil sikap "Wasatiyah" atau pertengahan dalam apa juga bidang. Sikap melampau dalam apa bentuk sekalipun tidak akan membawa kejayaan.

Sebagai umat Islam kita bersimpati dan bersedih di atas kematiannya. Cara kematiannya dan ditambah lagi dengan tersebarnya gambar yang tersebut di atas telah memberi satu tamparan dan penghinaan terhadap umat Islam.

Tidak ada jalan lain bagi umat Islam untuk mengembalikan maruah mereka dengan mengambil pendekatan secara sederhana dan tidak menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Sentuhan Tun Dr.Mahathir

DALAM era "reformasi" Dr. Mahathir digelar dengan berbagai gelaran. Antaranya, MahaFiraun, MahaZalim dan sebagainya. Pelukis karikatur politik sering melukis gambarnya yang berhidung besar dan lain-lain yang berbentuk sinikal.

Semuanya itu tidak pernah mengganggu tumpuan beliau sebagai seorang pemimpin dan negarawan. Kadang-kadang beliau tersenyum dan biasa saja tentang lukisan kartun gambarnya yang berhidung besar itu.

Dr Mahathir

Dr. Mahathir bukanlah seorang yang sempurna tanpa cacat celanya. Tok Guru Nik Abdul Aziz pernah mengakui bahawa Dr.Mahathir adalah seorang yang bijak.

Sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun banyak jasanya dan tidak kurang mencetuskan berbagai kontroversi.

Tetapi suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa , sumbangan dan jasa beliau begitu banyak pada negara keseluruhannya.

Teknologi internet dan segala kaitan dengannya adalah hasil inisiatif beliau melalui Koridor Multi Media. Tanpanya Malaysia tidak akan maju dan ketinggalan. Putrajaya, nama asalnya Perang Besar, kini menjadi sebuah bandar pintar yang mampu menyesuaikan kedudukannya sehingga 100 tahun lagi.

Kini Thailand dan Pakistan  ingin mecontohi Malaysia mendirikan bandarnya persis seperti Putrajaya. Putrajaya adalah lambang pemikiran Dr. Mahathir yang jauh ke depan. Anehnya, beberapa tahun dulu para pemimpin pembangkang telah berjanji dalam pilihanraya umum, sekiranya mereka memerintah, mereka akan "lelong" Putrajaya yang dianggap mereka sebagai membazir wang rakyat.

Ironinya , kini pakatan pembangkang sedang berusaha menuju ke Putrajaya!!

Satu tindakan dan keputusasn Dr.Mahathir yang saya tidak akan lupa ialah beliau telah menyelamatkan negara dan rakyatnya dari jatuh ke tangan IMF. IMF dalam bahasa yang mudah ialah ALONG, yang sering kita baca dalam akhbar di mana kerjanya memburu dan menyeksa mangsanya yang liat bayar hutang.

Pada 1990an Asia Tenggara telah mengalami krisis kewangan yang teruk. Nilai mata wang Asia jatuh merudum berbanding US dollar. Barang-barang keperluan harian naik dan mahal, meresahkan golongan rakyat yang berpendapatan rendah. Non Performing Loan (NPL) jatuh dari enam bulan hingga ke tiga bulan.

Semuanya tidak membantu, banyak syarikat bangkrap dan muflis, para peniaga kecil terasa perit dan terkepit. Fenomena ini berlaku juga di Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.  DAEWOO sebuah konglomerat terbesar di Korea Selatan tidak dapat "bernyawa" ekoran "bunga" pinjaman bank naik tiga kali ganda. Akhirnya, DAEWOO jatuh ke tangan pemodal barat.

Tidak cukup dengan itu, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan akhirnya melutut dan menyerahkan diri pada badan kewangan antarabangsa IMF.

Tetapi Malaysia di bawah "MahaFiraun" telah mengambil langkah yang bijaksana dengan menambat ringgit RM3.50 bersamaan dengan satu US dollar. Ia adalah satu langkah di luar konvensional dan telah mendapat kritikan terutamanya dari negara-negara barat.

Dengan itu Malaysia telah selamat dari jerat IMF dan dapat membangun ekonominya dengan acuan sendiri.

Dr. Mahathir bukan seorang ulamak, jauh sekali seorang mujahid. Tetapi di bawah pimpinan beliau negara telah terselamat. Seperti pernah beliau katakan, "I do it my way", sempena tajuk lagu Frank Sinatra, yang menjadi lagu kegemarannya. Begitulah sentuhan Dr. Mahathir."my way" yang menjadi amalannya dalam setiap langkah dan tindakan.

Beliau tidak sempurna, malah banyak menimbulkan kontroversi sepanjang berkuasa. Tetapi beliau telah membuktikan yang beliau adalah tokoh politik, ahli ekonomi, penulis, pentadbir dan negarawan yang "extraordinary" dan sering kali berfikir di luar kotak.

Puisi beliau, "Melayu mudah lupa", barangkali, melahirkan isi hatinya tentang kekecewaannya terhadap bangsanya sendiri.

Namun beliau tidak perlu kecewa kerana beliau telah, "I DO IT MY WAY.

Rabu, 4 Mei 2011

Antara Tee Keat dan Soi Lek

BILA bercakap tentang MCA dan pengundi Cina tidak banyak tumpuan diberikan pada batang tubuh Presidennya, Datuk Dr. Chua Soi Lek, yang sebelum ini terpalit dengan isu video seks melibatkan dirinya.

Apa yang menarik, Dr. Chua telah mengaku secara terbuka dan memohon maaf di atas apa yang berlaku. Lebih mengejutkan lagi, dalam pertandingan jawatan Presiden MCA, beliau telah menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, dengan majoriti yang kecil.

Dr Chua Soi Lek

Banyak pemerhati politik tidak menyangka beliau yang terlibat dalam skandal itu boleh menang jawatan Presiden. Kerana Tee Kiat, masa itu sebagai Menteri Pengangkutan, telah menunjukkan prestasi dan rekod yang baik sebagai pemimpin MCA dan wakil rakyat.

Ong Tee Kiat ialah bekas Timbalan Speaker Parlimen dan seorang yang fasih berbahas dalam bahasa Malaysia. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab membongkar skandal PKFZ yang melibatkan penyelewengan berjuta ringgit. Sehingga kes tersebut telah mengheret dua tokoh MCA ke mahkamah.

Ramai meramalkan faktor kejatuhan Ong Tee Keat, ada kaitan dengan kes ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebilangan ahli MCA.

Dan berita terkini ada desas-desus membayangkan Ong Tee Keat, akan digugurkan sebagai calon MCA dalam PRU 13 nanti. Jika ini benar, inilah realiti politik di negara kita di mana pemilihan calon bukan lagi berdasarkan trek rekod berkhidmat, tetapi lebih pada klik atau puak.

Ong Tee Keat

Bagaimanapun, Ong Tee Keat, kini seorang kolumnis di akhbar Sinar Harian, telah menulis dalam kolumnya baru-baru ini bahawa beliau tetap akan mempertahankan kerusi parlimennya di Pandan, walaupun tidak terpilih.

Beliau menegaskan lagi, sekiranya MCA menggugurkan namanya beliau akan bertanding atas tiket Bebas. Kerana beliau yakin seluruh pengundi di kawasan Pandan akan tetap memilihnya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan khidmat yang telah ditunjukkannya.

Justeru itu bolehkah kita menganggap kes pengundi Cina lari ke parti pembangkang ada kaitan dengan kes-kes seperti ini?

Agak terkedu juga bila memikirkan bagaimana seorang yang terlibat dalam skandal boleh dipilih menjadi pemimpin sebuah organisasi besar mewakili suatu kaum. Tetapi perlu diingat, pemilihan pemimpin MCA hanya ditentukan oleh seribu atau lebih ahli dan bukan keseluruhan masyarakat Cina.

Jadi, kalau masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan dengan MCA, maka parti itu haruslah berusaha memperbaiki imejnya sebagai sebuah parti yang bersih dari pemimpin yang mempunyai skandal.

Ong Tee Keat telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang mempunyai imej yang bersih, malah seorang tokoh muda yang berwibawa.

Apakah ahli MCA telah buat pilihan yang silap?

. ..

Selasa, 3 Mei 2011

Melayu bersatu jika terancam

BEGITULAH tajuk di atas seperti yang tersiar dalam Sinar Harian, 3 Mei 2011. Dalam berita tersebut dilaporkan, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata orang melayu hanya akan bersatu sekiranya ada isu atau masalah yang mengancam kedudukan mereka di negara ini.

Menurut Ku Li lagi, ramai di kalangan orang melayu berada di luar parti politik dan majoritinya tidak menyertai mana-mana parti.

"Sebab itu saya katakan, kalau ada isu besar yang menggembarkan kedudukan orang melayu, saya percaya mereka akan bersatu, pada masa itulah mereka akan mencari pemimpin," katanya.

Tidak pasti apakah Ku Li telah membuat kajian dan selidik sebelum beliau mengeluarkan kenyataan itu atau sekadar pandangannya secara rambang.

Sekiranya ada benarnya pandangan ini., maka tentu ia melegakan orang-orang melayu. Lebih-lebih lagi suasana politik orang melayu kini di tahap kritikal. Dua parti melayu terbesar- UMNO dan PAS belum boleh bersemuka sehingga sekarang disebabkan berlainan ideologi.

UMNO kelihatan bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan PAS. Setakat ini PAS menolak bulat-bulat kemungkinan bersatu dengan UMNO yang dicapnya sebagai kebangsaan dan tidak Islamik.

Memang menjadi rahsia umum bahawa ada sebilangan pemimpin PAS yang melihat secara positif kerjasama ini, tetapi dihalang sebahagian pemimpin yang di kepalai Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz. Sehingga suatu ketika Tok Guru telah memberi amaran secara terbuka pada tiga pemimpin tertinggi PAS iaitu Nasharuddin Mat Isa, Datuk Mustapa Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali agar keluar parti dan masuk UMNO.

Di atas kebijaksanaan para pemimpin terbabit, isu ini telah reda dan dikawal sepenuhnya, seolah-olah ianya telah selesai. PAS telah berjaya menutup isu ini agar ia tidak kelihatan berpecah dari dalam . Apa benar ia berpecah atau tidak , kenalah tunggu muktamar parti itu Jun ini.

Tetapi riak-riak menjelang muktamar parti sudah terbayang dengan kemungkinan ada pertandingan dalam semua jawatan tertinggi. Apakah golongan ulamak dapat mengatasi kumpulan profesional yang cuba menguasai parti?

Kesan dan implikasi dari muktamar ini akan dikenal pasti ke arah mana haluan parti, lebih-lebih lagi dalam isu kerjasama dengan UMNO yang menjadi agenda cukup penting pada pada umat melayu dan Islam.

Bagaimanapun, harapan orang-orang melayu agar kedua parti terbesar ini akan menemui titik pertemuan demi kelangsungan survival bangsa melayu dan Islam yang kini semakin diasak dan diserang pelbagai penjuru.

Seperti apa yang di ucap Tengku Razaleigh tadi sekurang-kurangnya menjadi penawar dan pengharapan agar ia menjadi kenyataan bila tiba masanya nanti. Apatah lagi ianya diluahkan oleh seorang yang berdarah raja dan kalangan istana.

DAP dan kuasa politik

LEBIH kurang 20 tahun dulu semasa saya berada di Kuala Lumpur bekerja sebagai wartawan sambilan di akhbar Mingguan Islam, di bawah pimpinan Mohd Sayuti Omar (MS0), seorang penulis politik dan blogger terkenal, saya sempat hadir dan mendengar ceramah pemimpin DAP, Lim Kit Siang, di sebuah hotel terkenal ibukota.

Semasa di Kuala Lumpur saya menumpang di rumah MSO yang terletak di Wangsa Maju. Kami berdua menaiki kereta dan kadang-kadang menaiki bas ke pejabat. Banyak pengalaman suka dan duka bersama MSO masa itu saya simpan. Saya akan cerita dalam catatan yang lain.

Biasanya selepas waktu pejabat kami akan terus pulang ke rumah. Tetapi pada suatu petang, saya mendapat berita ada satu ceramah politik akan diadakan sebelah malam di Federal Hotel. Saya buat keputusan untuk ke sana manakala MSO tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen lain. Jadi saya pun pergi sendirian.

Bila saya sampai di situ orang penuh di bahagian lobby. Saya memberanikan diri memasuki dewan ceramah. Ramai yang hadir berbangsa Cina. Ada beberapa kerat melayu termasuk saya , hanya saling memandang tanpa bercakap hatta tersenyum. Barangkali, dalam hati masing-masing tertanya-tanya gerangan apa kehadiran kami di situ? Ahli DAP atau seorang pemberita?

Di muka pintu dewan kami diberikan satu risalah parti dalam pelbagai bahasa. Ketika saya mula masuk dewan, saya lihat dewan penuh sesak dan ketika itu Tan Sri Lee Lam Thye, Setiausaha Agung DAP sedang berucap dalam bahasa Inggeris. Saya berada di barisan belakang dan saya nampak ramai tokoh DAP berada di atas pentas.

Tiba-tiba dalam dewan kecoh dan bising dan semua orang bangun serta bertepuk tangan. Mula-mula saya tidak pasti apa yang berlaku. Setelah beberapa minit, barulah saya sedar dan nampak yang Lim Kit Siang, baru tiba sambil melambai-lambai tangannya pada para penyokong. Lee Lam Thye, yang sedang berucap pada masa itu terpaksa berhenti ucapannya sementara.

Selepas Lim Kit Siang, mengambil tempatnya di atas pentas, Lee Lam Thye menyambung balik ucapannya tadi. Tanpa mengambil masa yang panjang, Lam Thye, terus menjemput Kit Siang untuk membuat ucapan.

Lim Kit Siang, telah membuat ucapan pembukaannya dalam bahasa Cina. Nadanya cukup berapi dengan suara yang tinggi membuatkan yang hadir bersorak dan bertepuk tanpa henti. Saya tidak faham apa yang dicakapkan oleh Kit Siang. Tetapi mujurlah selang beberapa ketika beliau telah berucap dalam bahasa Inggeris pula. Saya bukan mahir sangat bahasa tersebut, tetapi saya dapat memahami dengan jelas apa yang beliau sampaikan.

Kebetulan masa itu UMNO sedang menghadapi perpecahan antara team A dan B. Team A diterajui Dr. Mahathir dan Ghaffar Baba, manakala team B, Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam.

Antara ucapan Kit Siang, yang saya masih ingat, beliau mengatakan beliau tidak peduli Team A atau B. Baginya apa yang penting dan prioriti utama ialah DAP akan memerintah negara ini. Saya petik perkataannya dalam bahasa Inggeris, "We don't care, as long DAP rule the country".

Kini poltik semasa pertembungan antara UMNO dan PAS semakin tajam. Team A dan B sudah selesai. Apakah impian Lim Kit Siang dan DAP telah lenyap begitu saja? Atau inilah agendanya pada masa mendatang?

Renung-renunglah.

Isnin, 2 Mei 2011

Semakin berserabut dan celaru

SELEPAS upacara angkat sumpah Datuk T dan keenganan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran agar bersumpah sama berdepan dengan mereka yang menuduhnya telah menimbulkan berbagai reaksi dari seluruh lapisan masyarakat.

Setiap golongan bermula dari peringkat Mufti, ulamak, pemimpin politik, orang kebanyakan dan sebagainya telah memberi pandangan mereka masing-masing. Banyak pro dan kontranya, berbagai hujah termasuk dari segi hukum dan syariat Islam.

Bagi mereka yang arif tentang hukum hakam akan menilai dengan tenang. Manakala yang kurang reti dan kurang tahu akan terkial-kial kebingungan dan keliru. Semakin dibacanya sajian berita di akhbar-akhbar, semakin bertambah keliru dan bercelaru.

Dalam konteks ini, suatu masa dulu kita pernah membaca satu kajian yang dibuat di negara ini, melaporkan bahawa majoriti rakyat negara ini tidak suka membaca bahan-bahan yang serius dan bercorak ilmiah. Mereka lebih berminat membaca bahan-bahan ringan atau bercorak misteri, dongeng, cerita-cerita hantu dan sebagainya. Lebih-lebih lagi berita-berita tentang gossip artis, rumahtangga mereka hinggalah ke tempat tidur mereka.

Justeru itu buku-buku novel cinta, hantu jembalang, bomoh misteri dan seumpamanya begitu laris di pasaran. Buku-buku ilmiah kebanyakannya kurang sambutan dan lebih banyak memerap di gudang atau setor.

Sasterawan Negara, A. Samad Said, pernah merungut yang novel karyanya amat susah untuk diulang cetak. Kalau dicetak, paling tinggi jumlahnya lima ribu nashkah setahun!  Berbanding novel-novel karya cinta karya penulis-penuilis muda yang diulang cetak mencecah 100 ribu nashkah.

Begitu juga dalam bidang perfileman. Filem-filem bercorak hantu pontianak, misteri dan fantasi mendapat sambutan luar biasa. Sehingga kutipan tiket mencecah jutaan ringgit. Dan kini semua pengarah muda lebih suka menghasilkan filem-filem bercorak seram.

Itulah fenomena masyarakat kita terkini. Mereka lebih cenderung dan dahaga bahan-bahan seperti ini. Apakah kita mahu menyalahkan mereka?

Mereka tidak bersalah kerana mereka sudah bosan dan muak dengan segala isu dan cerita politik yang tidak berkesudahan. Mereka mencari sesuatu yang boleh menghiburkan dan melapangkan fikiran mereka, setelah setiap hari dibebani dengan berbagai rencah kehidupan yang meletihkan jiwa dan minda.

Isu-isu politik menambah beban fikiran mereka, lebih-lebih lagi isu yang kabur, keliru dan membingungkan. Menjadi tanggungjawab setiap pemimpin masyarakat mencari kejernihan dan kebersihan dalam minda masyarakat kita agar iklim kehidupan kita lebih cerah, bersih dan murni bukan dipenuhi dengan perkara-perkara kotor dan jijik.

Peranan media cukup penting kerana semua yang tertulis akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. .

Ahad, 1 Mei 2011

Kaum Cina: Pilih kerajaan atau pembangkang?

DATUK Seri Najib Tun Razak ketika membuat ucapan di Trengganu kelmarin telah menasihatkan pada kaum Cina di negara ini agar membuat pilihan yang bijak demi masa depan mereka.

Mereka mesti membuat pilihan sama ada mengundi kerajaan atau pembangkang? Ini adalah ekoran dari kenyataan Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek, bahawa MCA tidak akan berada dalam kabinet atau negeri sekiranya ia tidak mendapat sokongan dari kaum Cina.

Kaum Cina tidak boleh menyokong pembangkang, tetapi dalam masa yang sama mahu penyertaan wakil mereka dalam kerajaan. Mereka tidak mungkin memperolehi keduanya.

Kaum Cina mesti buat pilihan. Kerajaan telah banyak membantu orang-orang Cina di negara ini dengan berbagai dasar yang dijalankan termasuk bidang pendidikkan, ekonomi, budaya dan sebagainya. Walaupun kerajaan pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang pro bumiputera, namun kaum-kaum lain tetap dilindungi dan dilayan sama rata.

Mereka seharusnya melihat dan membuat perbandingan kehidupan kaum Cina di Indonesia, misalnya. Di sana kaum Cina telah mengalami suatu proses asmilisasi, di mana identiti mereka sebagai satu bangsa hampir hilang. Sebutan nama dan paras rupa beransur-ansur bertukar menjadi satu bangsa Indonesia.

Di Malaysia kaum Cina tetap dengan identitinya . Malah ada yang tidak tahu pun berbahasa Malaysia. Tetapi mereka tetap dilayan sebagai warganegara. Sekolah Cina masih wujud, budaya mereka bebas diamalkan tanpa apa-apa gangguan dari mana-mana pihak.

Orang-orang Cina patut berterima kasih pada kerajaan. Barangkali, ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hati mereka. Tetapi kita perlu ingat tidak ada satu bangsa pun di negara ini yang berpuas hati dengan kerajaan termasuklah orang-orang melayu yang populasinya lebih 60 peratus di negara ini.

Orang Cina tidak boleh terus dipengaruhi oleh DAP yang sentiasa memainkan isu-isu perkauman yang boleh membawa padah pada negara seluruhnya. Orang Cina cukup arif yang DAP tidak mungkin dapat memerintah negara ini tanpa sokongan dari orang-orang melayu.

Dan majoriti melayu tidak menyokong DAP. Jalan paling selamat bagi kaum Cina ialah memastikan mereka tetap ada suara atau wakil dalam kerajaan untuk menyuarakan segala permasalahan yang melibatkan kepentingan mereka.

Kita percaya mereka tidak akan memperjudikan nasib masa depan mereka dengan terus berada di dalam kerajaan agar usaha kerajaan untuk membina satu bangsa Malaysia akan tercapai.

Peristiwa 13 Mei seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran berguna . Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan peristiwa hitam itu tidak berulang.