Rabu, 11 Mei 2016

Dr Mahathir Tokoh Yang Minat Pada Ilmu

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah seorang yang suka pada ilmu. Bukti beliau seorang yang suka pada ilmu jelas terlihat pada bidang pembacaannya yang meluas. Dari pembacaannya yang meluas itu dicurahkan pula menerusi penulisan.

Dr Mahathir adalah satu-satunya bekas Perdana Menteri (PM) negara ini yang begitu aktif dan konsisten menulis memberikan berbagai ulasan dan pandangan mengenai isu-isu berkaitan kepentingan bangsa dan negara.

Sejak usia muda lagi beliau sudah pun menulis memberi pandangannya dalam berbagai topik dalam akhbar-akhbar tempatan menggunakan nama penanya - Chedet.


Selain bukunya yang tersohor, "The Malay Dilema" yang pernah diharamkan semasa Tunku Abdul Rahman, Dr Mahathir telah menghasilkan banyak buku. Antaranya; Menghadapi Cabaran dan Panduan Peniaga Kecil. Bukunya yang paling baru adalah "Doctor In The House", sebuah memoir mengisahkan penglibatan awal beliau dalam politik sehingga lah beliau bersara pada 2003.

Yang menariknya tentang Dr Mahathir ialah beliau menulis dan menderafkan sendiri semua hasil penulisannya melalui tangannya sendiri. Beliau menulis dengan tangannya sendiri. Tidak seperti setengah pemimpin atau bekas pemimpin yang menulis melalui Face Book, blog atau menerbitkan buku; kebanyakan penulisan mereka ditulis oleh penulis upahan atau pembantu dan sebagainya.

Sebahagian besar mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menulis hasil penulisan mereka sendiri hatta dalam Face Book. Mungkin juga mereka tidak mempunyai ruang dan masa untuk menulis sendiri dan memerlukan bantuan daripada para pegawai dan pembantu.

Tetapi tidak pada Dr Mahathir. Beliau akan menulis sendiri apa yang ingin dituliskan dan diluahkan segala ilham dan pandangannya dalam sesuatu perkara.


Sehingga kini beliau terus konsisten menulis memberi pelbagai ulasan dan pandangan dalam blognya; Chedet. Dan blognya mempunyai jumlah berjuta pembaca yang sentiasa menunggu ulasan beliau dalam isu-isu semasa negara.

Dengan tidak bertujuan merendahkan tokoh-tokoh tertentu; memang ada bekas pemimpin negara ini yang juga cuba menulis blognya sendiri. Tetapi jelas nampak tidak mendapat sambutan daripada para pembaca.

Pertamanya; blog tersebut ditulis oleh para pembantu dan setiausaha bekas pemimpin tersebut. Bukan dia sendiri yang menghasilkannya. Tetapi yang jelas bekas pemimpin itu memang tidak berkemampuan melontarkan apa yang ada dalam fikirannya melalui penulisan.

Begitu juga apa yang berlaku pada PM Najib Razak. Najib memang sering memberi pandangannya melalui Face Book dan blognya. Namun jelas semua itu dilakukan oleh pegawai-pegawainya di Prime Minister Office (PMO).

Ya, mungkin sebagai PM, beliau tidak mempunyai masa untuk menulis sendiri di dalam FB dan blognya. Maka tugas ini diserahkan kepada para pembantunya.

Sepanjang ingatan saya, semasa Dr Mahathir masih sebagai PM, beliau sering menghantar penulisannya dalam berbagai isu untuk diterbitkan di dalam akhbar harian Utusan dan Berita Harian.

Semua ini membuktikan Dr Mahathir adalah seorang yang suka pada ilmu dan mempunyai tabiat membaca yang meluas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan