Ahad, 1 Mei 2016

Tun Ghafar Baba Tokoh Tiada Ganti

TUN GHAFAR BABA telah meninggal dunia hampir 10 tahun. Almarhum adalah bekas Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1986 hingga 1993.

Baru-baru ini Presiden Umno dan Perdana Menteri bersama bekas-bekas pemimpin tertinggi parti telah mengenang dan memperingati jasa-jasa Tun Ghafar di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Melaka negeri kelahirannya.

Allahyarham Tun Ghafar Baba

Antara ucapan PM Najib dalam majlis itu mengenang betapa Tun Ghafar adalah seorang tokoh pemimpin Umno yang perlu dicontohi dan diteladani oleh semua ahli parti. Sepanjang almarhum berkhidmat pada parti beliau telah mempamer dan membuktikan kesetiaan, ketaatan dan ketulenan kepada Umno.

Tun Ghafar ketika berada di luar kabinet kerajaan tanpa sebarang jawatan dan semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, almarhum terus bersikap konsisten dan setia pada parti. Almarhum tidak pernah menunjukkan sikap gila pada jawatan.

Itulah sifat murni almarhum yang ingin disampaikan Najib kepada para pemimpin dan ahli-ahli Umno. Keperibadian almarhum Tun memang sukar dicari ganti.

Tetapi para ahli Umno jangan lupa sejarah apa yang menimpa Tun Ghafar pada 1993. Satu sejarah yang amat memilukan berlaku menimpa Tun Ghafar. Para pemimpin dan ahli-ahli Umno lah yang bertanggungjawab dan berperanan sehingga Tun Ghafar berundur dari bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti.

Pada tahun tersebut Tun Ghafar tidak terlintas difikirannya bahawa Anwar Ibrahim menyimpan hasrat melawannya bagi jawatan nombor 2 parti. Sebelum itu Anwar sebagai Naib Presiden pernah menyatakan beliau tidak akan bertanding melawan Tun Ghafar.

Namun pada saat akhir berlaku sebaliknya. Anwar telah bergerak dan menyusun langkah secara licik ke seluruh Bahagian Umno untuk mengumpul sokongan bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden parti.

Sudah menjadi rahsia umum berlaku politik wang secara berleluasa dari pihak Anwar bagi menyingkirkan Tun Ghafar. Seluruh ahli-ahli Umno memberi sokongan secara besar-besaran berada dibelakang Anwar sehingga Anwar menerima pencalonan terbanyak mengalahkan jumlah pencalonan Tun Ghafar.

Tun Ghafar bersama Dr Mahathir

Tun Ghafar ketika itu dengan rendah diri tanpa protes serta riuh rendah mengambil keputusan menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden. Dengan pengunduran Tun Ghafar dari bertanding secara otomatis Anwar terpilih memegang jawatan tersebut.

Apa yang menjadi misteri hingga kini Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai Presiden Umno tidak menghalang Anwar dari melawan Tun Ghafar. Malah Dr Mahathir tidak juga menyatakan sokongan secara terbuka pada Timbalannya ketika itu - Tun Ghafar. Dr Mahathir kelihatan berkecuali dalam pertandingan itu.

Namun ketika Dr Mahathir menghadapi tentangan daripada Anwar semasa era reformasi, Tun Ghafar tampil ke hadapan membantu dan menyokong Dr Mahathir melawan Anwar.

Peristiwa ini akan diingati sepanjang sejarah. Tun Ghafar diberi jalan keluar seperti kain buruk oleh para pemimpin Umno dan ahli-ahlinya. Ini termasuklah Najib Razak yang ketika itu memberi sokongan kuat pada Anwar Ibrahim.

Hari ini Najib sebagai Presiden Umno mahu para ahli parti mencontohi Tun Ghafar di atas kesetiaan, ketulenan dan ketaatannya pada parti dalam apa jua cabaran dan keadaan. Ini lantaran suasana dalam parti sekarang yang mahukan beliau berundur dari jawatannya. Ironinya gerakan ini di ketuai Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Shafie Apdal dan Mukhriz.

Kenapa baru sekarang mahu menilai dan mengenang Tun Ghafar ? Dahulu semua pemimpin dan ahli Umno melayannya seperti kain buruk. Kesian Tun Ghafar, almarhum tidak pun pernah meluahkan perasaan kecewanya secara terbuka di atas layanan parti terhadapnya.

Pada para pemimpin Umno dan ahli-ahlinya tidak payahlah bersikap hipokrit. Kamu semua boleh pi masuk longkang !!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan