Sabtu, 28 Mei 2016

Shahrir Samad Cadang Mahathir Tubuh Parti Baru

TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD, ahli Parlimen Johor Bahru dan veteran Umno telah menggesa Dr Mahathir Mohamad agar menubuhkan parti baru dan bertanding dalam pilihan raya bagi membuktikan sokongan rakyat terhadap beliau.

Shahrir mencadangkan agar Dr Mahathir menjadikan Deklarasi Rakyat sebagai parti baru itu yang dikatakan dapat mengumpul 1.2 juta tandatangan bagi menggesa Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM).

Apakah Shahrir cuba menyindir Mahathir atau memang dia serius mahu negarawan itu menubuhkan parti baru untuk melawan Umno dan BN ?

Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Apa pun tujuan Shahrir, bagi saya cadangannya itu tidak perlu dilayan dan ia bukan satu perkara utama dan penting. Ertinya, ia satu isu remeh dan tidak perlu diberi perhatian pun.

Dr Mahathir telah menjelaskan berkali-kali bahawa agenda utama beliau adalah menjatuhkan Najib. Dalam konteks ini parti-parti politik yang telah ada sudah pun memadai dan tidak perlu lagi pada parti yang baru.

Walau pun Dr Mahathir kini bukan lagi ahli Umno, tidak bermakna beliau akan berada di luar Umno selama-lamanya. Buktinya ketika era Abdullah Ahmad Badawi, beliau keluar Umno sebentar sebagai tanda protes terhadap pimpinan Pak Lah.

Tetapi setelah agendanya selesai berjaya mempengaruhi keadaan dengan pengunduran Pak Lah sebagai PM, beliau kembali semula pada Umno.

Begitu juga dalam suasana kini, beliau keluar sekali lagi dari Umno dengan tujuan agar Najib berundur. Apakah beliau akan berjaya atau tidak hanya masa yang akan menentukan.

Dengan itu soal beliau perlu tubuh parti baru seperti yang diluahkan Shahrir tadi adalah tidak berbangkit. Kerana Mahathir masih mampu bergerak tanpa parti dengan bergabung dengan parti-parti dan badan NGO yang ada bagi mengumpul mereka dalam satu barisan bagi mencapai matlamat utama iaitu pengunduran Najib dari jawatan PM.

Semua orang tahu Dr Mahathir masih lagi berjiwa Umno. Perjuangan beliau sekarang bukan melawan parti yang pernah dipimpinnya tetapi adalah untuk melawan Najib.

Sebab itu bagi Dr Mahathir, gerakan Deklarasi Rakyat adalah satu gerakan mewakili suara rakyat bukan parti-parti politik.

Ada pun gesaan Dr Mahathir agar rakyat tidak mengundi calon BN dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini adalah satu tanda protes dan mesej pada Najib agar cepat berundur bagi memulihkan imej parti dan kerajaan yang tercemar dengan skandal 1MDB.

Dalam usia 90 tahun, Dr Mahathir tidak perlu dan tidak relevan dengan penubuhan parti baru. Oleh itu cadangan Shahrir itu boleh dibakul sampahkan sahaja.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan