Rabu, 4 Mei 2016

Siasatan 1MDB Seperti Kura-kura

RASA sakit hati dan geram bila membaca laporan tentang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Kononnya sebuah syarikat pelaburan strategik Kerajaan di bawah kementerian kewangan. Kini berhutang hampir RM50 billion ! Hutang kadar faedah mencecah RM3 billion setahun. Itu pun khabarnya gagal dibayar bila sampai masanya.

Oleh kerana 1MDB milik kerajaan maka kerajaanlah yang terpaksa menanggung segala risikonya. Lebih menyedihkan 1MDB adalah dibawah seliaan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Sehingga sekarang tiada seorang pun yang diheret ke mahkamah untuk pengadilan di atas segala kepincangan dan penyelewengan dalam urus niaga 1MDB.

1MDB isu antarabangsa...global

Namun apa yang berlaku di luar negara adalah sebaliknya. Skandal 1MDB bukan sahaja isu dalaman tetapi telah menjadi satu isu seluruh dunia. Transaksi dan pengaliran wang begitu luar biasa sekali dengan jumlah yang besar malah hala tuju pengaliran wang berakhir di destinasi yang meragukan.

Di London, Amerika, Swiss, Luxembourg, Scotland, UAE, Hong Kong dan Singapura - pihak berkuasa masing-masing telah menyiasat, menahan, membeku akaun mereka yang terlibat bersabit 1MDB.

Di Malaysia bekas CEO 1MDB yang jelas dipersoalkan  dalam laporan PAC masih bebas malah masih bertugas dengan Perdana Menteri (PM) di Putrajaya.

Bagi PM Najib dan para pembodeknya segala tuduhan tentang 1MDB adalah fitnah dan agenda pihak asing bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Apakah begitu mudah orang akan percaya alasan remeh itu ? Setidak-tidaknya belum ada sebarang bukti atau dokumen bagi menyokong kenyataan tersebut.

Yang mengelikan semua laporan skandal 1MDB adalah bersumber pada The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang dituduh memfitnah. Tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan terhadap keduanya.

PM Najib pula beberapa bulan dahulu berkata akan mengambil tindakan saman undang-undang terhadap WSJ. Peguam PM pernah berkata beliau akan menghantar saman pada hari Selasa (pada ketika itu). Tetapi sehingga hari ini sudah berapa ribu kali hari Selasa telah berlalu namun tiada apa-apa yang berlaku.

Manakala WSJ sejak itu terus menerus mendedahkan kepincangan dalam 1MDB secara konsisten. Malah mereka terus mempertahankan kredibiliti semua laporan mereka. Adoi laa...malu lah wei... Najib !!

Tiada keraguan lagi memang sah 1MDB memang telah dikong kalikong oleh pihak tertentu. Yang memalukan lagi Peguam pihak Najib mengakui PM tidak mengetahui dan sedar semasa menandatangani segala dokumen berkaitan urusan 1MDB. Maksudnya, dia main sain buta sahaja. Adoi lah...

Siasatan dalam negara nampaknya berjalan seperti kura-kura. Namun di luar negara kelihatan siasatan berjalan langkah demi langkah secara terperinci. Sekiranya siasatan selesai dan lengkap serta ada tangkapan selanjutnya maka banyak lagi mereka yang terlibat akan didedahkan.

Khabarnya, suasana dalam negara sudah ada yang tidak lelap tidur dan terpaksa menelan pil tidur ! Perlu diingat bukan sahaja mereka yang terlibat akan dibawa ke mahkamah malah mereka yang cuba melindungi dan menutupi kes ini turut akan diseret sama.

Kepada mereka yang ingin selamat perlu membuat keputusan cepat dengan mengambil langkah bersedia menjadi saksi skandal terbesar ini yang telah juga mempopularkan imej negara sebagai antara negara paling korup di dunia !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan