Isnin, 1 Julai 2013

Pas dalam dilema

APAKAH parti Pas akan meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut ?

PRK ini masih akan dikendalikan SPR dibawah pimpinan Tan Sri Aziz Yusuf dan Wan Ahmad Wan Omar; dua personaliti yang dituntut pembangkang agar meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menguruskan pilihan raya di negara ini dengan telus dan cekap.

Tan Sri Aziz dan Wan Ahmad sehingga kini tidak meletakkan jawatan dan tidak akan tunduk dengan tuntutan pembangkang, malah akan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

Ada suara mahu keduanya melepaskan jawatan masing-masing sebelum PRK itu dijalankan. Berdasarkan sikap dan pendirian Pakatan Rakyat selepas PRU13 ia adalah sesuatu yang konsisten dan tegas.

Tetapi sekiranya Pas sebagai anggota Pakatan terlibat dalam PRK ini bermakna ia mengiktiraf SPR dan menerima kerja yang dibuat Tan Sri Aziz dan Wan Ahmad sebelum ini. Tidakkah berlaku kontradik dengan sikap Pas ini ?

Lebih lawak lagi ada pemimpin Pas menyuarakan ingin memberi peluang SPR agar berubah dalam menguruskan PRK Kuala Besut nanti. Nada memberi peluang kelihatan agak mengendur sedikit dari pendirian asal mereka terhadap kewibawaan SPR.

Jika tidak bertanding Pas akan rasa kerugian dengan keadaan dalam DUN Terengganu yang genting; BN 16 Pakatan 15. Pas mengira ini adalah peluang terbaik bagi menggugat kedudukan kerajaan BN.

Namun bagi pemimpin Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, sekiranya Pas menang sekali pun ia tidak boleh menubuhkan kerajaan kerana BN masih lagi mempunyai kelebihan satu suara di tangan Speaker DUN.

Justeru itu DAP tidak begitu ghairah dan berminat dengan PRK Kuala Besut ini. Pakatan Rakyat akan bermesyuarat untuk memutuskan adakah ada keperluan bagi mereka turut serta atau memberi kemenangan percuma pada BN.

PRK Kuala Besut tidak memberi banyak impak pada Umno dan BN secara keseluruhannya. Sebaliknya Pas dan Pakatan yang merasai tekanannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan