Jumaat, 22 Februari 2013

Antara Najib dan Anwar

POLITIK adalah satu seni yang serba mungkin. Dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada sahabat yang abadi.

Najib(kiri) Anwar(tengah) dan Tamrin(kanan sekali) meraikan Ketua Pemuda
Begitulah jika dikaitkan dengan dua tokoh yang akan bertarung dalam PRU ke-13 yang diibarat sudah berada dicelah kerongkong dan dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang.

Pada 9 September 1982, Anwar Ibrahim berjaya menewaskan Datuk Hj.Suhaimi Kamarudin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno dengan majoriti 10 undi. Ketika itu Najib adalah penyandang jawatan Naib Ketua Pemuda.

Peringkat awalnya Najib kelihatan kurang selesa mempunyai ketua baru. Namun dia telah menunjukkan kematangannya dengan memberi sokongan dan kerjasama penuh pada Anwar yang dikira orang baru dalam Umno.

Hubungan keduanya terus mantap dan kukuh sehingga menjadi harapan ahli parti dan rakyat sebagai pemimpin muda masa hadapan. Anwar dan Najib telah memperlihatkan persahabatan dan keserasian mereka dalam pimpinan parti. Tiada klu-klek dan curiga mencurigai antara mereka.

Anwar dan Najib...politik teh tarik
Apabila Anwar melepaskan jawatan Ketua Pemuda dan menyerahkan tugas itu pada Najib; proses peralihan itu berlaku dalam suasana ceria dan harmonis. Najib sebagai Ketua Pemuda pula mengisytiharkan sokongan terbuka hasrat Anwar bertanding jawatan Naib Presiden.

Setelah Anwar menang salah satu kerusi dari tiga Naib Presiden dan Najib sebagai Ketua Pemuda, ikatan dan kerjasama antara mereka bertambah erat. Dan ini terus berlanjutan sehingga Anwar berjaya naik satu lagi anak tangga menjadi Timbalan Presiden. Dalam masa yang sama Najib juga naik lagi satu tangga menjadi salah seorang Naib Presiden.

Berdasarkan urutan peristiwa itu dari sejak Anwar menyertai Umno pada 1982 sehingga menjadi orang nombor dua parti, Najib berada di bawah satu anak tangga belakang Anwar dalam hieraki parti.

Kini Najib sebagai Perdana Menteri berada di kedudukan lebih atas dari Anwar. Mereka akan bertembung mengepalai kabilah mereka masing-masing bagi menentukan untuk kesekian kalinya siapa yang akan berada di atas dalam masa 60 hari terakhir ini.

Apakah Najib akan meneruskan kesinambungan dan tradisi kepimpinan negara sejak 55 tahun merdeka itu dan Umno sebagai tunjangnya ? Atau adakah Anwar berjaya memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri  dan membawa satu era baru dalam sejarah politik negara ?

Hanya rakyat yang dapat menentukan hala tuju negara dan nasib masa depan dua tokoh yang masing-masing punya kelebihan dan kekurangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan