Jumaat, 1 Februari 2013

FAM tidak boleh ditegur

APA sudah jadi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan berita terbaru tentang surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Datuk Seri Shahidan Kassim, ekoran kenyataannya mengkritik kepimpinan FAM.

Datuk Seri Shahidan, bekas MB Perlis dan kini ahli jawatankuasa FAM, mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam badan sukan itu dan tidak akan menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar padanya. Tidak pasti kenyataan apakah yang telah menyinggung FAM sehingga timbul kontroversi baru ini.

Sebelum ini bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa telah digantung selama 30 bulan dari memegang apa-apa jawatan dalam badan sukan itu. Hukuman ke atas Annuar diambil disebabkan kritikkannya secara terbuka terhadap prestasi pasukan Harimau Malaya.

Tan Sri Annuar bukanlah orang pertama yang dikenakan hukuman bersabit kritikan atau teguran terhadap FAM. Sebelum itu bekas-bekas Naib Presiden FAM seperti Allahyarkam Datuk Basri Akil dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin juga telah dikenakan hukuman gantung dari memegang sebarang jawatan.

Kes mereka hampir sama iaitu mengeluarkan kenyataan berupa menegur dan mengkritik badan itu. Annuar, Datuk Basri dan Raja Ahmad ternyata terdiri dari mereka yang berani menegur perjalanan FAM demi kemajuan dan kebaikan sukan bolasepak negara.

Tetapi masalahnya FAM sering memberi gambaran betapa ia tidak boleh menerima teguran dan kritikan, hatta dari kaum kerabatnya sendiri. FAM seolah satu badan yang bersifat kuku besi dan tidak terbuka pada sebarang pandangan kedua.

Tan Sri Annuar, Almarhum Datuk Basri dan Raja Ahmad adalah tokoh-tokoh yang telah terbukti keberkesanan dan kejayaan pimpinan mereka di negeri masing-masing; Kelantan, Kedah dan Perak; dalam membangun sukan bolasepak.

Dalam hubungan ini bukan sahaja para pemimpin tertinggi FAM dikenakan tindakan akibat mengeluarkan kenyataan. Malah para jurulatih pun tidak terlepas dari radar FAM. Jurulatih seperti B. Satianathan dan Wan Jamak Hassan turut tidak terlepas dari hukuman gantung akibat terkeluar kenyataan yang dianggap FAM sebagai tidak wajar. Sedangkan jika diteliti kenyataan kedua jurulatih itu sebelum ini bukanlah boleh dianggap besar dan serius.

Namun FAM seperti terlalu sensitif sehingga seolah tidak boleh disentuh langsung. Pada hal kedudukan sukan bolasepak kita masih lagi ditahap mengecewakan. Walau pun ada kejayaan dicipta di situ di sini, namun pada keseluruhannya kita masih ketinggalan di rantau Asean dan Asia, khususnya.

Tindakan Datuk Seri Shahidan untuk tidak menjawab surat tunjuk sebab itu memperlihatkan kekecewaannya dengan sikap FAM. Mungkin baginya ia tidak akan memberi sebarang faedah. Kerana FAM tetap FAM sebagaimana apa yang telah terbukti berlaku sebelum ini pada mereka yang menjadi mangsa hukuman.

FAM perlu berubah. Bimbang nanti badan itu akan diubah disebabkan kemarahan dan kebosanan para peminat bola sepak yang semakin tinggi keghairahannya !


Tiada ulasan:

Catat Ulasan