Jumaat, 1 Februari 2013

Kerajaan majoriti kecil

KHALID Samad, AJK Pas pusat mengakui sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara ini tidak ada parti sama ada PKR, DAP atau Pas yang mampu memerintah cara bersendiri. Masing-masing perlu berkongsi kerusi dan tidak ada parti yang boleh mendominasi antara tiga parti itu.

Menurutnya, Pas mungkin bertanding lebih kurang 70 kerusi parlimen. Begitu juga dengan PKR dalam jumlah kerusi yang sama. Manakala DAP akan bertanding paling banyak di 58 kerusi.

Seandainya ramalan penganalisis politik diambil kira yang menyatakan persaingan dalam PRU13 ini memang sengit dan kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti berdasarkan majoriti kecil atau majoriti mudah; bagaimana agaknya kalau Pakatan Rakyat yang berkuasa ?

Satu hakikat yang perlu diakui Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memperolehi kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya ini. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui bahawa PR dapat menawan Putrajaya kali ini tetapi dengan kemenangan yang tipis. Namun baginya yang penting adalah kemenangan dan bukan jumlah kerusinya.

Sebagai sebuah kerajaan baru tentunya ia perlu mengambil masa bagi menyesuaikan dengan suasana baru. Apatah lagi negara ini adalah satu-satunya negara di Asia yang belum dan tidak pernah bertukar kerajaan sejak ia merdeka.

Apa pula sikap pelabur dan negara-negara jiran dan dunia yang tentunya akan mengambil sikap berhati-hati, tunggu dan lihat kemampuan kerajaan yang baru dalam semua segi. Apakah ada perubahan atau pembaharuan besar dalam segala dasar kerajaan.

Dan ini semua mengambil masa yang perlu ditangani kerajaan baru PR ? Dalam rentetan itu apakah ia mampu menghadapi apa sahaja suasana dan cabaran politik yang akan timbul. PR hanyalah satu perkongsian sementara antara tiga parti. Ia bukanlah satu pakatan yang tulen di atas prinsip dan ideologi yang sama. Pakatan ini hanya bekerjasama untuk menumbangkan BN dan mengambilalih Putrajaya.

Antara Pas dan PKR dan Pas dengan DAP sehingga kini masih banyak isu-isu yang mereka tidak sepakat. Namun buat masa ini mereka bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa isu dan hanya fokus bagi menghadapi PRU13.

Ini belum dikira lagi soal lompat-melompat wakil rakyat dalam PR. Setakat ini tidak ada undang-undang yang boleh menyekat dari ahli yang mahu melompat ke parti lawan. Semua kemungkinan ini perlu dihadapi kerajaan baru PR.

Dengan majoriti kecil dan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi kerajaan baru PR ini akan menjadikannya sebuah kerajaan yang lemah. Ia boleh tumbang bila-bila masa seperti yang berlaku di negeri Perak.

Bagaimanapun, sekiranya BN yang berkuasa dengan majoriti kecil ia nampak lebih berkemampuan berbanding PR dalam menghadapi cabaran-cabaran itu berdasarkan kemampuan dan pengalamannya selama  lebih 50 tahun memerintah.

Tetapi bagi mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemenangan BN tanpa dua pertiga adalah tidak bermakna. Ia mahu BN menang dengan selesa bagi memudah dan melicinkan segala rancangan dan transformasi negara yang sedang berjalan sekarang.

Apa pun BN menang dengan majoriti kecil adalah lebih baik dari tidak berkuasa langsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan