Ahad, 17 Februari 2013

Ulama : Agama atau parti ?

DUA orang ulama muda dijangka akan menyertai PRU 13 ini dengan menjadi ahli parti yang akan diputuskan masing-masing. Mereka ialah Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr. Juanda Jaya.

Dr. Asri
Dr. Asri, bekas Mufti Perlis dan kini pensyarah di Universiti Sains Malaysia, dilaporkan akan membuat keputusan akhir bulan ini sama ada menjadi calon bertanding dan parti manakah yang akan disertainya. Begitu juga dengan Dr. Juanda yang kini sebagai Mufti Perlis akan mengesahkan pendiriannya sebagaimana yang dilaporkan.

Dr. Asri telah dikaitkan dengan parti Pas. Dr. Juanda pula dikatakan akan menjadi calon PKR. Sehingga kini tidak ada pengesahan dari keduanya. Cuma desas-desus dan jangkaan para pemerhati politik. Bukan satu perkara mustahil jika kedua ulama ini menolak untuk terlibat dalam politik.

Tetapi sekiranya mereka membuat keputusan menerjunkan diri dalam politik parti, maka semua pihak perlu akur dan menghormatinya. Mereka berdua tentunya mempunyai alasan dan hujah sendiri untuk menjadi ahli politik penuh masa dan bukan lagi sebagai ahli akademik dan ilmuan.

Apakah betul dan bijak sekiranya mereka membuat keputusan untuk terlibat dengan parti politik ? Sudah pasti bila menjadi ahli sesuatu parti, segala pandangan dan pendirian dalam apa sahaja isu akan terikat dengan dasar parti. Sebagai orang berparti, ia perlu taat dan setia pada parti dan tidak boleh derhaka.

Dr. Badrul
Kalau mereka tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti, maka nasib akan menimpa seperti yang berlaku terhadap Dr. Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Dalam keadaan tertentu kepentingan parti itu lebih tinggi dan penting dari segalanya.

Lihat sahaja dalam isu kalimah Allah; dalam saf pimpinan Pas, hanya Dr. Haron Din dan Harun Taib terkial-kial mempertahankan pendirian melarang penggunaannya dikalangan bukan Islam. Sehingga Dr. Harun berkata dia tidak redha jika kalimah itu digunakan bukan Islam.

Lain-lain ulama dalam parti mempunyai sikap berbeza dalam isu ini kerana kepentingan parti itu lebih utama dalam mengejar kuasa. Ada yang terus membisu dari memberi sebarang komen. Inilah masalah dan cabaran yang perlu dihadapi para ulama yang terikat dengan parti politik. Mana lebih utama; parti atau agama ?

Ini belum diambil kira lagi soal berbagai fahaman mempengaruhi dalam parti Pas seperti Syiah, Wahabi dan Khawarij. Apakah ada ulama dalam parti itu berani mendedahkannya ? Haron Din yang dilihat tegas pun sehingga kini tidak berani untuk memperkatakan tentang isu mazhab ini.

Dr. Juanda
Ini semua kerana muslihat parti itu lebih utama dari kepentingan agama. Di sinilah pincangnya ulama politik yang terpaksa menelan segala pahit demi keuntungan politik pilihan raya dan mendapat kuasa. Adakah benar pandangan mengatakan seorang ulama tulen dan sejati tidak akan masuk politik parti ?

Apa yang berlaku terhadap Dr. Badrul Amin Bahron, bekas pensyarah UIA dan pendakwah terkenal satu masa dahulu yang kini telah menyertai PKR ? Begitu juga Dr. Hasan Ali yang lebih berjaya sebagai pendakwah dan pakar motivasi sebelum menyertai Pas. Keduanya dikira gagal sebagai ahli politik. Mereka lebih berjaya dalam profesion ilmuan mereka yang asal.

Kepada Dr. Asri dan Dr. Juanda, apa sahaja pilihan dan keputusan mereka; semoga ia akan memberi manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada masyarakat bahkan pada diri mereka sendiri. Semoga apa yang berlaku pada Dr. Hasan dan Dr. Badrul tidak akan berulang pada mereka.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan