Isnin, 26 Februari 2024

Anwar dan Muhyiddin Cakap Tak Serupa Bikin

 Orang kata ahli politik suka cakap bohong. Umumnya percakapan mereka tidak boleh dipegang. Hari ini cakap lain, esok lusa lain pula. Bukan ahli politik sekiranya tidak berbohong. 


Tan Sri Muhyiddin Yassin bekas PM ke 8 telah membuat kenyataan dahulu bahawa PRU 15 adalah terakhir buat dirinya. Beliau tidak akan bertanding lagi. 


Tan Sri Muhyiddin Yassin



Namun kini beliau masih bercita-cita mahu menjadi calon PM buat kali kedua. Beliau masih kekal sebagai Presiden parti Bersatu dan Pengerusi PN. 


Kalau hendak dikira beliau sepatutnya berundur dan memberi peluang pada calon-calon baru yang lebih muda. Tidak cukup lagi kah dengan segala pengalaman dan berbagai jawatan selama lebih 40 tahun dalam parti dan kerajaan? 


Ahli politik sebenarnya tidak tahu bila masa yang tepat dia perlu berhenti. Jangan jadi seperti nasib yang menimpa dua tokoh politik veteran Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah yang ditolak pengundi dan tewas dalam pilihanraya. 


Dr Mahathir hilang deposit di Langkawi. Ku Li pula tumbang di kubu kuatnya Gua Musang, kawasan yang diwakilinya lebih 50 tahun. 


Muhyiddin hendak ikut jejak Dr Mahathir dan Ku Li kah? Lebih baik berfikir sebelum terlambat. Sebelum nasi jadi bubur. Kerana Mahathir dan Ku Li sudah jadi bubur sekarang. 


Lagi pun saya lihat Muhyiddin tidak ada potensi mampu menyaingi dan mengatasi Anwar Ibrahim dalam banyak aspek. 


Bukti paling mudah sekiranya Muhyiddin serius mahu menyaingi Anwar, beliau perlu menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen bukannya Hamzah Zainudin. 


Agak ganjil mahu jawatan PM namun tidak sanggup pikul jawatan Ketua Pembangkang. Jawatan Ketua Pembangkang adalah penting, serius dan berat. 


Kenapa Muhyiddin memberi laluan pada Hamzah?  Sedangkan Hamzah tidak layak pun bertanding jawatan Presiden Bersatu kerana tidak cukup syarat parti iaitu menjadi ahli majlis tertinggi selama dua penggal. 


Itu cerita Muhyiddin. 


Apakah PMX Anwar Ibrahim juga suka cakap bohong? Dengan kata lain, cakap tak leh pakai ?


Sekiranya hendak dikutip percakapan Anwar dari dahulu sehingga sekarang memang banyak dia cakap tak serupa bikin.


Contoh kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan namun ia tidak tunai apa yang diucapkannya. Dia langgar kata-katanya sendiri sambil senyum-senyum sahaja. 


PMX Anwar Ibrahim



Itu belum dikira segala reformasi yang diretorikkan selama ini antaranya tentang kedudukan SPRM diletakkan di bawah kuasa Parlimen, bukannya dijadikan perkakas parti politik mendakwa musuh-musuhnya. Dan lain-lain seperti pemansuhan Akta Hasutan dan memberi kebebasan rakyat untuk bersuara dan mengkritik. 


Namun begitu kita bagi beliau masa sekurang-kurangnya sampai habis penggal sehingga Pru 16. Lepas itu rakyat boleh menilai apakah boleh dipertahankan kedudukkannya atau tolak beliau kembali menjadi Ketua Pembangkang.