Ahad, 26 Februari 2023

Ismail Sabri Yaakob Lambat Buat Keputusan

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno. 

Keputusan ini dikira agak terlewat diambil Ismail Sabri. Ia sepatutnya membuat kenyataan ini beberapa bulan dahulu. 

Umum tahu Ismail Sabri bukan dianggap penyokong kuat Presiden parti Zahid Hamidi.

Malah semasa Ismail Sabri menjadi PM ke 9 beliau kelihatan dibuli oleh Zahid. 


Ismail Sabri Yaakob


Zahid adalah orang utama menekan Ismail agar parlimen dibubarkan secepat mungkin. 

Ternyata tekanan Zahid berjaya dan Ismail terpaksa mengalah. 

Kini Ismail seperti kain buruk yang tidak dihargai. 

Sekiranya Ismail tidak mengalah dengan tekanan Zahid Hamidi, beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri pada saat ini. 

Malah kini bukan sahaja Ismail Sabri menjadi PM paling singkat iaitu selama 14 bulan dalam sejarah bahkan para pemimpin yang sehaluan dengannya seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein dipecat dan digantung sebagai ahli Umno. 

Jelas selepas parlimen dibubar, Ismail hilang jawatan PM dan beberapa pemimpin Umno dipecat dan digantung. 

Maka sah lah Ismail telah dibuli dan dipermainkan Zahid Hamidi dan kuncu kuncunya sebelum dan selepas parlimen dibubarkan. 

Ismail Sabri secara terbuka menyatakan kecewanya terhadap apa yang berlaku lebih lebih lagi keputusan parti menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan. 

Ismail Sabri adalah PM ke 9 merangkap Naib Presiden Umno. 

Adalah tidak munasabah beliau bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden. 

Jawatan yang sesuai bagi Ismail Sabri adalah jawatan Presiden Umno. 

Sebagai bekas PM, Ismail Sabri tidak boleh bertanding jawatan Naib Presiden. Ia tidak kena pada tempatnya dan tidak betul serta tidak munasabah. Ertinya ia tidak logik. 

Maka keputusannya tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden adalah tepat. Cuma kesilapan Ismail Sabri ialah beliau lambat membuat keputusan tersebut. 

Sepatutnya sebagai seorang politikus dan bekas PM sebaik sahaja Umno mengambil tindakan terhadap Khairy, Hisham dan beberapa pemimpin utama parti beliau seharusnya mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden dengan segera. 

Ini sebagai tindak balas dan langkah politik berdasarkan situasi politik ketika itu. Juga sebagai tamparan pada Zahid Hamidi sebagai Presiden yang mencantas para pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya. 

Namun Ismail Sabri tidak mengambil langkah yang bersifat tindak balas atau respons terhadap apa yang berlaku dalam parti. 

Saya kira inilah kelemahan ketara Ismail Sabri sebagai politikus dan bekas PM. 

Sekiranya Ismail bertindak meletakkan jawatan dalam parti beberapa bulan terdahulu ia pasti memberi tamparan hebat pada Zahid dan parti secara umumnya. 

Namun semua itu tidak berlaku. Justeru itu saya kira Ismail Sabri tidak layak menjadi Presiden Umno. Dan tidak mungkin akan menjadi PM buat kali kedua. 

Saya kira Ismail Sabri perlu terus bersara dari politik. Kecuali beliau mahu ikut jejak Dr Mahathir yang semakin hanyut dan tidak tahu bila perlu berhenti dan bersara dari politik.