Selasa, 28 Jun 2022

Pru15 : Pilih Calon Jangan Pilih Parti

 Ahli politik sibuk tidak sabar mahukan Pru15 diadakan segera. Ada yang mahu ditangguhkan dahulu. Tidak kiralah dalam parti mana pun. Masing-masing mempunyai agenda dan kepentingan sendiri. 

Yang susah menghadapi kehidupan seharian dan bergelut setiap hari adalah rakyat marhaen. Pru 15 segera atau ditangguhkan dahulu tidak memberi sebarang makna selagi negara diterajui manusia jenis makan rasuah, songlap, penipu dan penyangak. 

Zahid Hamidi dan Najib Razak adalah antara yang bernafsu mahukan pru 15 dipercepatkan.  Alasannya banyak - agar politik negara stabil, mahu membela nasib rakyat bla, bla.... 

Namun hakikat sebenarnya mereka berdua seperti ibarat rantai besi sedang melilit dibatang leher masing-masing. Mereka sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah. 

Najib sudah dijatuhkan hukuman bersalah di dua peringkat mahkamah. Kini dalam proses menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan. Itu pun tiga empat kes lain terus berjalan sekarang. Sekiranya lepas bebas satu kes, ada tiga lagi kes. 

Melihat pada kes sedang berlangsung sekarang tidak nampak yang Najib boleh terlepas begitu mudah. Mesti ada yang tersangkut. 

Kes Zahid pula sedang dalam pertengahan jalan. Pun tidak nampak kes dia boleh terlepas begitu sahaja. Peratus besar Zahid tersangkut. 


Kartun Rossem


Jadi pelannya sekiranya Pru15 disegerakan dan mereka berdua begitu yakin Umno akan kembali berkuasa penuh tanpa perlu bergantung pada parti lain menubuhkan kerajaan pusat. 

Justeru itu kerajaan boleh mempengaruhi kedudukan kes mereka. Semua ini bukan mustahil. Ia telah berlaku dan akan berlaku. Seperti kes Lim Guan Eng semasa Pakatan Harapan berkuasa. Begitu juga kes pengampunan Anwar Ibrahim. 

Setiap kali kerajaan berubah, kes pun boleh berubah. Banyak lagi contoh-contoh lain yang berlaku bersabit dengan pendakwaan dan kes-kes di RoS. 

Putrajaya boleh mempengaruhi dan menentukan sesuatu kes. Buktinya perlantikkan Peguam Negara banyak dipengaruhi kerajaan yang berkuasa. Kes Tommy Thomas sebagai contoh. 

Kalau Zahid dan Najib mahu pru segera, kenapa pula Ismail Sabri mahu ia ditangguh dulu? 

Kenapa tidak kerana Ismail Sabri tahu dia belum tentu akan kembali sebagai PM selepas Pru15.

Jadi Ismail sekurang-kurangnya akan lega sekiranya kes Zahid dan Najib dapat dimuktamadkan sekitar Ogos dan September tahun ini. Oleh itu peluang Ismail Sabri sebagai calon Presiden Umno lebih jelas. 

Kes rayuan Najib di mahkamah Persekutuan pada Ogos. Kes Zahid pada September mungkin sudah diketahui keputusannya. 

Jadi inilah permainan politik paling mudah untuk difahami jalan ceritanya. Tetapi orang politik memberi seribu alasan dan jawaban yang berbelit-belit bagi menafikan niat hati mereka. 

Semuanya demi tembolok dan kepentingan diri masing-masing. Tidak kira siapa. 

Yang mulut ternganga dan merasai keperitan hidup adalah rakyat marhaen. Pru atau tidak kehidupan mereka belum tentu lebih baik dan selesa. 

Orang politik terus mewah dengan gaji dan elaun puluhan ribu sebulan walaupun sesetengah mereka berwatak macam badut dan berfikiran "half past six".

Tetapi rakyat juga yang bodoh kerana memilih mereka sebagai wakil rakyat. 

Rakyat boleh membetulkan kesilapan tersebut dengan menolak total mereka yang rasuah, tidak cekap, bercakap bodoh dan sebagainya pada pru 15 mendatang. 

Jangan ulangi kesilapan. Pilih lah calon yang bersih dari rasuah, cerdik dan bercakap menggunakan akal. Bukan seperti sekarang ada Menteri yang bercakap macam sampah!! Macam mana lah boleh jadi menteri?? Tidak tahu nak cakap apa. 

Masa Pru nanti pilih calon yang ada kualiti. Tidak perlu pilih calon berdasarkan parti. Kerana tidak akan ada parti yang akan menang dengan majoriti yang besar. 

Pilihlah calon yang bersih dan berjiwa rakyat sebagai wakil kita di Parlimen dan DUN. 

Cukuplah melihat wakil rakyat yang bercakap bodoh, tidak kompeten, dan tidak layak pun berada dalam dewan. Dan mereka pula menerima gaji elaun yang berlebihan.