Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata semua agensi penguatkuasa sudah bersiap sedia sekiranya sempadan dibuka bagi rakyat Malaysia keluar negara dan menerima kunjungan para pelancong luar.
Menurutnya, bila negara sudah masuk ke fasa endemik dan dengan SOP yang akan dikeluarkan nanti pihak polis, imigresen, kastam dan lain-lain bersiap sedia menunaikan peranan masing-masing.
Sekarang kita masih dalam fasa pandemik covid 19. Menurut Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan, negara akan memasuki fasa endemik selewat-lewatnya akhir Oktober ini. Ertinya kita memasuki fasa baru iaitu hidup bersama-sama covid dengan SOP yang mudah tetapi ketat.
Ini tentunya memberi berita gembira pada seluruh rakyat yang telah hampir dua tahun dikurung dan menghadapi pelbagai sekatan dalam menjalani kehidupan seharian.
Pada akhir Oktober juga dijangka lebih 80 peratus rakyat di negara sudah lengkap dua dos vaksin.
Kita berharap tidak akan ada lagi gelombang keempat dan kelima yang akan menjejaskan perancangan negara untuk kembali normal.
Sektor perniagaan, pelancongan dan sebagainya telah mengalami kesan yang amat teruk. Dan ia memerlukan masa untuk pulih seperti sediakala.
Begitu juga bagi mereka yang mempunyai berbagai urusan diluar negara sudah pasti tidak sabar lagi untuk keluar negeri. Mereka yang mempunyai pasangan suami/isteri diluar negara, para pelajar, para peniaga yang menguruskan perniagaan mereka dan lain-lain menanti saat pembukaan sempadan dengan penuh harapan.
Kerajaan diharap dapat merancang exit plan ini dengan berhati-hati agar ia mencapai sasaran yang ditetapkan.
Sudah cukup dua tahun kita berhadapan dengan pandemik ini. Kita perlu melangkah kehadapan demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.