Ada beberapa pemimpin penting politik mahukan Pru15 diadakan secepat mungkin dengan alasan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin hanya mempunyai majoriti tipis di Parlimen. Dengan itu kerajaan tidak kuat dan stabil.
Di pihak yang lain pula tidak berminat menghadapi Pru15, sekurang-kurangnya sehingga 2023. Kerana mereka mahu mengambil kembali hak dan mandat yang telah dirompak melalui pintu belakang - Langkah Sheraton.
Apa pun pendirian ahli-ahli politik ini bagi negara dan rakyat untuk menghadapi pilihanraya umum sekali lagi dalam tempoh tidak sampai tiga tahun adalah sesuatu yang tidak wajar.
Tambah lagi negara dalam situasi berperang dengan Covid 19 yang sehingga kini belum lagi dapat memutuskan talian jangkitan dan peningkatan kes yang ketara.
Satu lagi faktor ialah kos untuk menyelenggara pilihanraya umum berlipatganda tinggi dari sebelumnya. Kalau sebelum ini memakan biaya ratusan juta kini era Covid 19 ia boleh mencecah angka billion ringgit.
Apa yang menjadi persoalan kita ialah tentang niat sesetengah politikus yang bernafsu sangat mahukan parlimen dibubarkan. Apakah agendanya mahu membela demi kepentingan rakyat yang menghadapi kesulitan tentang kos sara hidup? Isu kemerosotan iklim perniagaan dan ekonomi? Isu pengangguran dikalangan anak-anak muda dan mereka yang kehilangan pekerjaan kesan dari pandemik Covid 19 ? Dan sebagainya dan sebagainya...
Atau ada niat udang di sebalik batu? Atau agenda-agenda lebih penting dari yang tersebut itu.
Kerana setakat ini sekurang-kurangnya ada dua pemimpin tinggi politik sedang menghadapi berpuluh pertuduhan di mahkamah bersabit salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Yang satu itu sudah dijatuhkan hukuman bersalah dan dikenakan penjara 12 tahun dan denda rm 210 juta. Malah ada lagi dua kes sedang berjalan. Nampak gaya tidak ada harapan terlepas. Kemungkinan ke Sungai Buloh gayanya sekiranya diikuti perjalanan perbicaraan yang sedang berjalan sekarang. Ini tiga kes bukan satu. Satu kes sudah selesai dan tunggu proses rayuan. Masalahnya pihak pendakwa pun buat rayuan kerana tidak berpuas hati dengan hukuman. Mereka mahu hukuman ditambahkan lagi.
Dan seorang lagi kes sedang berjalan. Pertuduhan lebih kurang sama berpuluh-puluh senarainya. Kes perbicaraan belum selesai lagi. Nampak gaya pun tidak terlepas dari hukuman.
Mungkin modus operandinya untuk menyelamatkan diri dari mahkamah maka melalui kuasa politik sahaja jalannya.
Maka dengan harapan parlimen bubar dan diadakan Pru15 secepat mungkin dengan impian boleh berkuasa kembali dan seterusnya mempengaruhi mahkamah agar kes mereka boleh diselamatkan.
Kerana parti yang berkuasa melalui jawatan PM akan dapat mempengaruhi perlantikkan Ketua Hakim dan barisan para hakim di semua peringkat.