Sejak PRU14 telah berlaku tujuh PRK termasuk di Slim, Perak yang mana semuanya dimenangi calon BN. Jelas semua PRK itu menunjukkan para pengundi telah kembali pada BN.
Satu petunjuk lain pula menunjukkan Dr Mahathir telah mulai hilang pengaruh dikalangan para pengundi. Tidak seperti sebelum dan semasa PRU14 dimana populariti dan pengaruhnya begitu kuat sehingga dapat membantu PH menumbangkan BN di Putrajaya.
Ada pandangan mengatakan rakyat telah melakukan kesilapan bila memilih PH menjadi kerajaan pada PRU14 lalu. Apa pun sekiranya dibahaskan ia akan menjadi panjang lebar serta pro dan kontranya.
Namun hakikatnya jika BN tidak tumbang skandal 1MDB tidak akan dibawa ke mahkamah dan kemungkinan besar akan ditutup daripada pengetahuan umum.
Dan tentunya bekas PM Najib Razak tidak akan diheret ke mahkamah. Begitu juga isterinya, Presiden Umno Zahid Hamid dan beberapa pemimpin Umno yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa.
Najib Razak dalam kempennya di PRK Slim telah merayu pada para pengundi agar bersimpati dengannya dengan memberi undi pada BN.
Apakah dengan kemenangan BN di Slim dan beberapa PRK sebelum ini menunjukkan bahawa rakyat bersimpati pada Najib? Dan mahu dia kembali sebagai PM?
Sayugia Najib telah pun didapati bersalah dalam kes SRC dan dihukum penjara 12 tahun. Kini kes itu dalam proses rayuan.
Dan Najib ada dua lagi kes yang sedang dalam proses perbicaraan. Ia itu kes rasuah1MDB dan kes meminda laporan audit 1MDB. Semuanya bersabit dengan salahguna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Kes pertama telah pun disabit dan dihukum penjara 12 tahun. Dua kes lagi pada logiknya Najib tidak akan terlepas. Kemungkinan besar Najib akan kalah dalam dua kes tersebut.
Jadi soalnya apa pun keputusan dalam ketujuh PRK dan pilihan rakyat dalam PRU 15 sekali pun nasib dan masa depan Najib terletak pada para hakim dan mahkamah. Fakta kes dan proses perbicaraan itu yang menentukan.
Apakah rakyat simpati pada Najib atau keputusan pilihanraya yang berpihak pada BN adalah tidak relevan dan tidak akan mempengaruhi keputusan mahkamah.
Kita dapat lihat senario terkini betapa Dr Mahathir mulai hilang pengaruh dan populariti dimata rakyat.
Namun Najib kelihatan semakin popular. Tetapi itu bukan jaminan dia akan terlepas dari hukuman sekiranya ia didapati bersalah. Kes pertama Najib telah pun kalah. Ada baki dua kes lagi. Cuba bayangkan. Ia memang berat.
Kecuali ada tangan-tangan ghaib yang boleh menyelamatkannya.