Isnin, 30 September 2019

Kes 1MDB : Jho Low Tipu Najib..

Dalam kes mahkamah skandal 1MDB yang sedang dibicarakan sekarang dapat dirumuskan Jho Low mempunyai pengaruh besar terhadap bekas PM Najib Razak.

Jho Low bukan sahaja mampu mempengaruhi Najib, malah dia berjaya menggunakan Rosmah Mansor dan Riza Aziz bagi kepentingan dirinya.

Itulah secara kasar rumusan yang boleh dibuat intipati meletupnya skandal 1MDB yang telah menjatuhkan Najib Razak dan Umno/BN khasnya.

Namun perbicaraan kes ini masih berjalan dan masa masih panjang sama ada Najib akan diarahkan untuk membela diri.


Soalnya bagaimana Najib sebagai seorang PM boleh dipengaruhi dan dimanipulasi oleh seorang pemuda yang usianya hanya 30an.

Tidak boleh dinafikan skandal 1MDB merupakan satu pelan terancang Jho Low bagi kepentingannya.

Dari perbicaraan mahkamah banyak keterangan menunjukkan Jho Low menyalahgunakan dana kewangan 1MDB masuk ke akaun syarikat miliknya.

Dalam kes ini peguambela Najib cuba menyakinkan mahkamah bahawa Najib tidak mengetahui penipuan yang dilakukan Jho Low.

Semasa menjadi PM, Najib pernah menyatakan dia tidak pernah berjumpa dengan Jho Low.

Namun hakikatnya Jho Low sering berhubung dengannya dalam urusan 1MDB.

Ada satu foto yang berlegar dalam internet menunjukkan mereka berdua bersama Rosmah Mansor sedang bercuti dalam sebuah kapal layar mewah.

Jho Low memang licik. Dia gunakan Riza Aziz sebagai jambatan berhubung dengan Rosmah. Dan melalui Rosmah memberi ruang untuknya mempunyai talian dengan Najib.

Begitulah cerita 1MDB yang menggegar seluruh dunia.  Najib pun tersungkur kerananya.

Namun Jho Low terus menjadi pelarian dan bersembunyi. Dia tidak berani tampil membersih dan mempertahankan dirinya.

Atau setidaknya tampil membersihkan nama Najib yang dikatakan tidak mengetahui penipuan yang berlaku dalam 1MDB.

Dan bagi Najib pula memang padan dan patut dia tidak lagi menjadi PM. Kerana dia tidak layak sebab dia mudah sahaja ditipu Jho Low.