Ahad, 30 Jun 2019

Zahid Hamidi Tiada Pilihan Mesti Letak Jawatan Presiden Umno

Presiden Umno, Zahid Hamidi kini menghadapi lebih 87 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Zahid telah pun bercuti sejak Disember tahun lalu sebagai Presiden parti kerana faktor ramainya pemimpin Umno mengugut keluar parti mahu menyertai parti Bersatu.

Mereka kurang yakin dengan kepimpinan Zahid sebagai Presiden parti.

Tugas Presiden kini diambil alih Mohamad Hasan atau Tok Mat, Timbalan Presiden.

Sejak Tok Mat memangku jawatan Presiden parti kelihatan parti Umno semakin pulih imej dan memenangi beberapa pilihan raya kecil. Suasana dalam parti dilihat stabil jika dibandingkan semasa Zahid.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Namun selepas hampir tujuh bulan percutian Zahid, ada tanda-tanda Zahid mahu kembali memikul tugas Presiden. Zahid kini sedang menguji tahap sokongan dan reaksi akar umbi ahli parti.

Masalahnya, Zahid kini sedang menghadapi lebih 87 pertuduhan kes rasuah di mahkamah. Satu jumlah pertuduhan yang lebih banyak berbanding pertuduhan yang dihadapi Najib Razak.

Yang peliknya ahli-ahli Umno seperti bisu dan pekak serta tidak berani bersuara mengenai kes yang dihadapi Zahid.

Ini berlaku seperti bisu dan pekaknya mereka mengenai isu 1MDB semasa Najib berkuasa. Majoriti mereka tidak bersuara.

Akhirnya parti Umno ditimpa malapetaka dalam Pru 14 lalu yang menyaksikan Umno kehilangan kuasa selepas 60 tahun berkuasa.

Nampaknya ia tidak memberi sebarang pengajaran berguna pada ahli parti.

Kes Zahid adalah jelas dan terang ia tidak memberi imej positif pada parti.

Sekiranya Zahid sayangkan parti Umno dia perlu melepaskan jawatan Presiden parti secepat mungkin.

Zahid perlu utamakan parti daripada kepentingan peribadinya. Sekiranya kesnya selesai dan dia berjaya bersihkan dirinya dari semua pertuduhan dia boleh kembali memegang jawatan parti melalui proses parti.

Sudah cukup skandal 1MDB memakan diri Najib, malah Umno dan Barisan Nasional.

Zahid tidak perlu tunggu lama membuat keputusan. Dia tiada pilihan melainkan hanya memberi laluan pada Tok Mat sebagai Pemangku Presiden Umno sehinggalah pemilihan jawatan parti yang baru dapat diadakan.