Khamis, 4 Oktober 2018

Kes Najib Razak : AG Tidak Bersedia?

Peguam Negara Tommy Thomas tidak akan berhujah di mahkamah dalam kes pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak.  Sebaliknya dia melantik dua peguam luar dan bukan dari Jabatan Peguam Negara.

Kedua peguam itu adalah peguam veteran Sulaiman Abdullah dan bekas hakim, Gopal Sri Ram.

Sulaiman akan menumpu kes SRC dan Sri Ram kes 1MDB. Kedua kes melibatkan isu salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang menjadi pertuduhan terhadap Najib.

Tommy Thomas memberi alasan dia mempunyai tugas dan tanggungjawab besar di Jabatan Peguam Negara dan tidak dapat memberi tumpuan penuh mengendalikan sepanjang perbicaraan kes di mahkamah nanti.

Tommy Thomas

Sebelum ini semua AG (Peguam Negara) seperti Tan Sri Abu Talib Othman, Mohtar Abdullah dan Gani Patail - mereka semuanya melakukan sendiri pendakwaan semasa perbicaraan. Ini termasuklah kes-kes berprofil tinggi.



Mohtar Abdullah dalam kes liwat 1 Anwar Ibrahim.

Tan Sri Abu Talib dalam kes bunuh terhadap bekas menteri kabinet Mokhtar Hashim.

Dan Gani Patail dalam kes liwat 2 Anwar Ibrahim. Cuma dalam proses rayuan kes tersebut, Gani Patail telah melantik peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Jabatan Peguam Negara.

Tan Sri Abu Talib Othman

Sejak pertuduhan dan dakwaan dimulakan terhadap Najib, jelas kelihatan prestasi barisan pendakwa terdiri daripada Sulaiman dan Sri Ram setakat ini tidak begitu menyakinkan.

Malah sekiranya diteliti penghujahan peringkat awal lebih memihak pada Peguambela Najib iaitu Muhammad Shafee Abdullah.

Antara hujah dan bantahan awal Shafee adalah berkenaan kegagalan Sulaiman Abdullah menunjukkan surat perlantikan dari pejabat AG.

Kedua kegagalan pendakwa menyediakan segala dokumen berkenaan dengan semua pertuduhan terhadap Najib.

Sebaliknya menurut Shafee, pihak pembela hanya diberikan segala dokumen tersebut dalam format CD. Dan ini tidak pernah berlaku sebelumnya.  Kerana dokumen dalam format CD sukar dibaca dan tidak tersusun seperti tidak pasti mana satu ekor dan mana satu kepala. Ini menyukarkan pihak peguambela dalam proses penyediaan pembelaan.

Jelas mahkamah terpaksa akur dengan hujah-hujah tersebut.

Allahyarham Mohtar Abdullah

Adalah tidak pasti apakah kita harus bersetuju dengan hujah Muhammad Shafee bahawa pihak AG tidak cukup persediaan dalam kes pendakwaan Najib Razak ?

Apa pun perlu diingatkan kedua peguam Sulaiman dan Sri Ram tidak mempunyai pengalaman sebagai pendakwa. Mereka lebih berpengalaman sebagai peguambela.

Dan tugas pendakwa tidak semudah seorang peguambela. Peguambela hanya memerlukan bagi menimbulkan keraguan dalam kes mereka.  Manakala pendakwa mempunyai beban menampilkan bukti yang jelas dan kukuh untuk memenangi sebarang kes.

Dalam kes ini saya melihat Muhammad Shafee sebagai peguam senior mempunyai kelebihan mengatasi Sulaiman dan Sri Ram.

Dan ini terbukti setiap kali selepas sessi mahkamah,  Shafee akan bertemu pihak media dan menjawab serta memberi penjelasan secara terperinci apa yang berlaku dalam mahkamah.

Ini tidak berlaku pada Sulaiman dan Sri Ram.

Dan beliau menunjukkan keyakinan dalam menghadapi kes pertuduhan Najib itu.

Sulaiman Abdullah dan Gopal Sri Ram
Muhammad Shafee Abdullah



Mungkin Najib kini menghadapi ujian besar dalam hidupnya namun beliau bernasib baik mempunyai seorang peguambela yang berkualiti.

Setakat ini kita belum lihat lagi apa-apa kelebihan pada Sulaiman dan Sri Ram.

Dan tentunya Tommy Thomas yang tidak akan muncul di mahkamah dalam kes Najib.

Apa yang bermain di kepala saya adalah : apakah Tommy Thomas memang satu pilihan yang betul sebagai AG ?








Tiada ulasan:

Catat Ulasan